Tag: lombong

  • Kanak-kanak Rohingya lemas, abang masih hilang

    Kanak-kanak Rohingya lemas, abang masih hilang

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan lemas, manakala abangnya masih hilang dalam kejadian di lombong sebuah kuari pasir di Kampung Permatang Kedundung, Pinang Tunggal di Tikam Batu, Sungai Petani, petang semalam.

    Mangsa, Mamod Shukur Belal Hussain yang berbangsa Rohingya ditemukan pada pukul 8.50 pagi ini oleh penduduk sebelum memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat sejak malam tadi.

    Mangsa ditemukan terapung kira-kira 400 meter daripada tempat dia dan abangnya, Muhammad Nazeri, 6, dipercayai mandi dan bermain sebelum itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

    “Dengan bantuan daripada JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda, kita memulakan gerakan mencari dan menyelamat malam tadi namun gagal mengesan mangsa.

    “Mangsa telah dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala operasi mencari masih diteruskan untuk mengesan abangnya,” katanya.

  • Muhammad Fayyadh Ukasyah anak paling manja – Ibu

    Muhammad Fayyadh Ukasyah anak paling manja – Ibu

    LULUH hati seorang ibu apabila anak lelaki kesayangannya yang hilang sejak petang semalam ditemukan terapung dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah lombong di Taman Kinta Baru di sini hari ini.

    Nur Shamimi Abdul Malek, 27, dilihat tidak berhenti menangisi pemergian Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, 6, yang disifatkan anak paling manja dalam keluarga.

    “Selalunya ketika hendak tidur, dia (Muhammad Fayyadh Ukasyah) mesti cari dan pegang kaki saya dahulu, baru dia boleh tidur malah apabila bangun tidur juga dia akan mencari saya dahulu dan kemudian baru dia buat benda (hal) lain,” katanya yang ditemui pemberita di lombong itu hari ini.

    Ibu kepada lima anak berusia tiga bulan hingga lapan tahun itu berkata dia tidak menyangka Muhammad Fayyadh Ukasyah akan dijumpai di lombong yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mereka kerana anaknya itu tidak pernah pergi ke tempat berkenaan sebelum ini.

    Katanya kehilangan anak keduanya yang merupakan kanak-kanak hiperaktif, kurang pendengaran serta tidak boleh bercakap itu disedari selepas dia selesai mandi pada kira-kira 6.30 petang semalam.

    “Selepas saya mandi dan melihat pintu terbuka, saya segera menyuruh anak sulung mencarinya hingga ke tempat-tempat yang dia selalu pergi bermain termasuk gelongsor di taman permainan namun tetap tidak ditemui,” katanya.

    Suri rumah itu yang turut berkali-kali menzahirkan maaf berkata anaknya itu selalunya akan berlari keluar dari rumah sekiranya pintu pagar tidak ditutup dan memaklumkan ketika kejadian, suaminya yang merupakan seorang operator kilang baru pulang dari kerja.

    Terdahulu, mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah ditemukan terapung di tepi sebuah lombong oleh pasukan operasi mencari daripada Balai Polis Gopeng pada 9.45 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim dilaporkan berkata mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal kanak-kanak itu tidak menemukan elemen jenayah.

    Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut, katanya.- BERNAMA