Tag: logo pas

  • PRU-15: Logo Pas di tiga negeri muktamad – Takiyuddin

    PRU-15: Logo Pas di tiga negeri muktamad – Takiyuddin

    SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menggunakan logo PAS di tiga negeri, iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketetapan itu sudah dipersetujui setakat ini.

    “Kita telah mendapat lebih kurang lampu hijau daripada PN untuk Pas menggunakan logo Pas, iaitu bulan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pas.

    “Itu yang diterima dan dipersetujuilah. Kalau kita tengok kenyataan daripada Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun beliau mengatakan beliau memahami rasional Pas meminta penggunaan logo itu.

    “Bagi saya, saya faham mungkin tidak ada masalah. Jadi, maknanya semua calon-calon PN akan menggunakan logo Pas kalau itu dimuktamadkan,” katanya lapor Berita Harian.

    Menjelaskan mengenai keputusan untuk menggunakan logo Pas, Takiyuddin berkata itu langkah strategik kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PKR menggunakan logo sendiri walaupun parti itu satu komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

    “Jadi ia terpulang kepada gabungan. Kalau gabungan membenarkan individu parti itu menggunakan logo itu, boleh digunakan,” katanya.

  • Parti komponen PN dicadang guna logo PAS pada PRU-15

    Parti komponen PN dicadang guna logo PAS pada PRU-15

    Oleh BADLISHAH MAT

    KOMPONEN Perikatan Nasional (PN) seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diseru supaya menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Perwakilan Pas Pahang, Wan Razali Wan Nor menyifatkan, penggunaan logo Pas melambangkan penyatuan dan perpaduan antara parti-parti komponen.

    “Oleh yang demikian, saya sangat bersetuju dengan Perwakilan Terengganu dalam Konvensyen PN mencadangkan supaya Kedah, Kelantan dan Terengganu menggunakan logo Pas pada PRU15 akan datang.

    “Kita juga berharap logo Pas tidak terhad kepada Pas negeri sahaja, tapi sebagai simbol perpaduan, saya suka mencadangkan agar parti-parti lain yang bersepakat dengan Pas seperti Bersatu agar menggunakan logo bulan,” katanya dalam perbahasan Muktamar Pas Ke-68 hari ini.

    Jelasnya lagi, lambang Pas juga menjadi faktor kepada kemenangan parti pada PRU14 yang lalu.

    “Penggunaan logo Pas telah terbukti bukan hanya membawa simbol penyatuan, malahan simbol integriti sebagaimana pencapaian Pas di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Jadi, ini akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat seterusnya mencapai kemenangan pada PRU15,” katanya.