Tag: letupan

  • Dua mesin ATM diletupkan, 3 suspek larikan RM349,000

    Dua mesin ATM diletupkan, 3 suspek larikan RM349,000

    TIGA suspek dipercayai meletupkan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank sebelum melarikan sejumlah RM349,000 dari mesin berkenaan dalam kejadian di Setia Alam pagi tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian pada pukul 6.48 pagi tadi.

    Polis yang bergegas ke tempat kejadian kemudian mendapati dua mesin ATM dalam keadaan rosak teruk dipercayai diletupkan.

    Siasatan awal di lokasi mendapati sebuah mesin ATM dapat dibuka manakala sebuah lagi tidak berjaya dibuka.

    “Siasatan setakat ini juga mendapati tiga suspek dilihat memasuki premis ATM bank berkenaan. Suspek menaiki kereta berwarna putih disyaki jenis Mitsubishi ASX.

    “Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kabur dan tidak jelas kerana suspek menyembur CCTV di premis bank menggunakan cat hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, pihak forensik Unit Pemusnah Bom (UPB) turut ke tempat kejadian bagi memastikan keadaan selamat serta membantu siasatan.

    “Siasatan dari pihak forensik menyatakan letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas. Tiada kesan kebakaran di tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    “Anggaran keseluruhan kerugian adalah RM409,000 yang mana wang tunai sebanyak RM349,000 manakala selebihnya kerugian mesin ATM terbabit yang berharga RM30,000 setiap satu,” katanya sambil menambah gerakan mengesan suspek sedang diperhebat.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai Penyiasat kes ASP Mohammad Khairi di talian 012-2666025,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 8 saat memaparkan keadaan mesin ATM berkenaan dalam keadaan rosak teruk.

  • [VIDEO] 2 letupan bom, 20 mangsa terbunuh

    [VIDEO] 2 letupan bom, 20 mangsa terbunuh

    SEKURANG-KURANGNYA 20 orang terbunuh dan beberapa mangsa lagi cedera dalam dua kejadian letupan bom berasingan di selatan Somalia pada Rabu.

    Seorang pegawai polis di bandar Marka, wilayah Lower Shabelle memberitahu Agensi Anadolu (AA) bahawa seorang pengebom bunuh diri bertindak meletupkan dirinya sehingga mengorbankan 13 orang, termasuk Datuk Bandar, Abdullahi Ali Wafow, pengawal keselamatan dan orang awam.

    Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

    Marka yang terletak 90 kilometer dari Mogadishu, ibu negara Somalia, merupakan sebuah bandar utama yang menempatkan beberapa kontinjen misi pengaman Kesatuan Afrika (AU).

    Serangan tersebut berlaku berhampiran ibu pejabat pentadbiran Marka.

    Kumpulan pengganas Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Di wilayah yang sama, letupan periuk api menggegarkansebuah pasar di bandar Afgoye, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan lebih 14 mangsa yang lain, menurut seorang pegawai keselamatan serantau di Lower Shabelle.

    Serangan di Afgoye turut memusnahkan bangunan dan kedai berhampiran, menurut seorang saksi.

    Afgoye terletak 30 kilometer dari barat daya Mogadishu.​​​​​​

    Sementara itu, Turkiye mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang membawa maut di Somalia.

    “Kami amat sedih apabila mengetahui ramai orang, termasuk pegawai dan orang awam terkorban atau cedera dalam serangan pengganas yang berlaku di Afgoye dan Marka,” lapor AA memetik kenyataan Kementerian Luar Turki. – BERNAMA

  • Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera apabila alat memasak stimbot di sebuah restoran meletup dalam kejadian di Alam Mesra di Kota Kinabalu, malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 9.06 malam dan 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Mangsa mengalami kecederaan ringan pada kulit akibat letupan dari dapur alat memasak stimbot ketika mula dihidupkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kanak-kanak yang cedera itu dihantar orang awam ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

    “Mangsa dewasa diberi rawatan awal pihak Kementerian Kesihatan di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya menambah pihak bomba melakukan pemeriksaan menyeluruh di restoran berkenaan bagi memastikan tiada unsur bahaya dan operasi ditamatkan pada pukul 9.41 malam. – BERNAMA

  • [VIDEO] Letupan rumah ibadat Sikh-Hindu, 2 terbunuh

    [VIDEO] Letupan rumah ibadat Sikh-Hindu, 2 terbunuh

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang awam terbunuh dan tiga anggota keselamatan cedera dalam tiga siri letupan di sebuah rumah ibadat Sikh-Hindu yang terletak di Kabul, Afghanistan pada Sabtu, lapor Xinhua.

    “Kami mendengar satu letupan kuat di pintu pagar sebuah kuil di kejiranan Kart-e-Parwan sekitar 6 pagi waktu tempatan.

    “Dua lagi letupan berlaku di dalam kuil itu,” kata seorang saksi.

    Pasukan keselamatan telah mengepung kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga dan beberapa das tembakan amaran turut dilepaskan oleh pasukan keselamatan.

    Menurut laporan awal, lelaki bersenjata menyerbu masuk bangunan itu dan tiga anggota keselamatan cedera akibat kejadian itu.

    Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan asap kelihatan daripada bangunan dua tingkat itu yang dikelilingi tembok. Media dan orang ramai tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian.

    Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini.

    Pada Mac 2020, seramai 24 penganut terbunuh apabila sebuah rumah ibadat Sikh-Hindu diserang di pusat bandar Kabul.

    Pada Jumaat, seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas letupan melanda sebuah masjid di wilayah Kunduz di utara negara itu. – BERNAMA

  • Tiga termasuk anggota keselamatan maut dalam letupan bom

    Tiga termasuk anggota keselamatan maut dalam letupan bom

    SEKURANG-KURANGNYA tiga terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam insiden letupan bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan keselamatan di Mogadishu, Somalia pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Jurucakap polis Somalia, Abdifatah Adan Hassan ketika dihubungi AA berkata, dua anggota keselamatan antara yang maut dalam serangan di pusat pemeriksaan keselamatan yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde di Mogadishu.

    Sehingga kini belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

    Serangan itu berlaku ketika Somalia sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan presiden yang telah lama tertangguh.

    Somalia turut dibelenggu kemelut politik yang menyaksikan perebutan kuasa antara Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed dan Perdana Menteri Mohamed Hussein Roble. – BERNAMA

  • [VIDEO] Letupan hotel: 22 mangsa maut, 64 cedera

    [VIDEO] Letupan hotel: 22 mangsa maut, 64 cedera

    SATU letupan kuat berlaku pada Jumaat di Hotel Saratoga di Havana, ibu negara Cuba, mengakibatkan kematian dan kerosakan teruk, lapor Agensi Anadolu.

    Memetik laporan Bernama, Pejabat Presiden Cuba mengesahkan setakat ini 22 mangsa disahkan meninggal dunia dan 64 yang lain cedera.

    “Operasi mencari dan menyelamat diteruskan susulan kemungkinan masih ada mangsa terperangkap,” menurut kerajaan di Twitter.

    Penduduk tempatan turut membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

    Kerajaan Cuba mendakwa letupan itu berkemungkinan disebabkan oleh kerja penyelenggaraan membabitkan gas cecair yang dilakukan di hotel.

    Hantaran di media sosial memaparkan bangunan hotel mengalami kerosakan teruk.

    Kejadian berlaku pada tengah hari di hotel yang terletak di Paseo del Prado.

    Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel yang melawat lokasi kejadian berkata “Letupan itu bukan bom atau serangan, tetapi kemalangan yang tidak disengajakan.”

    Kebocoran gas dipercayai menjadi punca kepada kejadian itu, lapor Xinhua.

    Hotel lima bintang itu dalam proses dibuka semula pada 10 Mei sebagai sebahagian usaha pemulihan industri pelancongan di pulau itu.

    Operasi menyelamat masih dijalankan.

  • [VIDEO] Kilang tapis minyak haram meletup, lebih 100 mati rentung

    [VIDEO] Kilang tapis minyak haram meletup, lebih 100 mati rentung

    LEBIH 100 orang terbunuh berikutan letupan di loji penapisan minyak haram di Imo, selatan Nigeria, lapor Agensi Berita Xinhua memetik sumber rasmi dan tempatan pada Sabtu.

    Letupan berlaku lewat Jumaat di loji penapisan minyak haram di kawasan Egbema dekat sempadan antara Imo dan Rivers.

    “Berlaku kebakaran di tapak loji haram yang mengakibatkan lebih 100 rentung dan mangsa tidak dapat dikenal pasti,” kata pesuruhjaya sumber petroleum di Imo, Goodluck Opiah.

    Beliau berkata, kerajaan sedang memburu pengendali penapisan minyak haram itu yang dipercayai telah melarikan diri.

    Tapak penapisan minyak haram itu beroperasi dengan mencuri minyak mentah daripada saluran paip milik syarikat minyak.

    https://youtu.be/gq7UhZOzKP8

    Vandalisme saluran paip minyak dan kecurian minyak sering dilaporkan di Nigeria, menyebabkan ekonomi negara ini mengalami kerugian besar. – BERNAMA

  • Letupan kelab malam: Seorang maut, 24 cedera

    Letupan kelab malam: Seorang maut, 24 cedera

    SEORANG terbunuh manakala 24 lagi cedera dalam satu insiden letupan di sebuah pusat hiburan di Baku, Azerbaijan, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan pada Sabtu.

    Letupan yang turut mencetuskan kebakaran itu berlaku di sebuah kelab malam kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

    Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ehsan Zahidov berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran gas.

    Kejadian itu turut menyebabkan beberapa kediaman dan kenderaan musnah. – BERNAMA

  • Kapal tentera laut meletup, tiga kelasi maut

    Kapal tentera laut meletup, tiga kelasi maut

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    LETUPAN di sebuah kapal tentera laut India pada Selasa mengorbankan tiga anak kapalnya.

    Kapal pemusnah peluru berpandu INS Ranvir itu sedang berlabuh di limbungan laut Mumbai ketika letupan berlaku.

    “Kru kapal bertindak pantas mengawal keadaan. Tiada kerosakan material besar dilaporkan,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

    Kapal itu ditugaskan bersama Markas Timur Tentera Laut sejak November tahun lalu dan dijangka kembali ke pelabuhan pangkalannya tidak lama lagi, tambahnya.

    Siasatan telah diarahkan untuk mengetahui punca letupan.

    Sebelas anak kapal cedera dalam insiden itu, yang berlaku di ruang dalaman kapal, lapor media India.

    INS Ranvir, yang dibina di bekas Kesatuan Soviet, mula digunakan pada April 1986, menurut maklumat di laman web tentera laut. – BERNAMA