Tag: lengkap vaksin

  • Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    HANYA kakitangan sekolah yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki premis sekolah, dedah satu pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM).

    Kakitangan sokongan KPM itu melibatkan pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB) dan bekalan makanan mentah (BMM).

    Menurut pekeliling bertarikh 3 September lalu itu, langkah berkenaan dilaksanakan bagi merealisasikan usaha KPM mencapai imuniti kelompok di kawasan sekolah.

    “Kebenaran itu terpakai untuk penerima dos lengkap yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh kedua suntikan untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

    “Bagi penerima vaksin satu dos keluaran syarikat Johnson & Johnson serta CanSino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.

    Dokumen itu dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Noor Azman Abdul Rahman.

    Arahan itu dibuat selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, bahawa sesi persekolahan secara bersemuka dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 3 Oktober depan, tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Sehubungan itu, KPM mengingatkan kontraktor perkhidmatan PKK, KBK, BMB dan BMM untuk memastikan pekerja seliaan mereka lengkap divaksinasi sebelum memasuki kawasan sekolah.

  • 67.4 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

    67.4 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, sebanyak 67.4 peratus atau 15,772,760 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    JKJAV menerusi perkongsian infografik daman Twitter rasminya, hari ini memberitahu, 36,141,604 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.

    Menurut JKJAV, 20,401,824 individu di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.

    Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 300,501 dos dengan 134,559 daripadanya merupakan dos pertama daripada vaksin dua dos manakala 165,942 adalah dos lengkap.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • 13,022,246 populasi dewasa lengkap 2 dos vaksin

    13,022,246 populasi dewasa lengkap 2 dos vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 13,022,246 populasi dewasa di negara ini sudah diberikan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah itu juga bersamaan 55.6 peratus.

    Sebanyak 55.6 peratus atau 13,022,246 populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan

    “Setakat semalam juga 18,258,947 individu telah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 31,281,193 dos.

    “Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 441,100 dos diberikan semalam dengan 303,545 adalah dos kedua,” jelas JKJAV menerusi laman Twitter miliknya, hari ini.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

  • Kebenaran jumpa anak bawah 18 tahun jadi kayu ukur golongan bujang lengkap vaksin rentas negeri jumpa ibu bapa

    Kebenaran jumpa anak bawah 18 tahun jadi kayu ukur golongan bujang lengkap vaksin rentas negeri jumpa ibu bapa

    PELBAGAI perkara termasuk risiko yang tinggi perlu dipertimbangkan kerajaan sebelum membenarkan individu berusia lebih 18 tahun dan lengkap divaksin untuk merentas negeri atau daerah bagi bertemu ibu bapa.

    Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ini adalah kerana pihaknya melihat kepada risiko untuk membenarkan mereka yang bujang merentas negeri atau daerah begitu besar.

    Menurut beliau, sehubungan itu pihaknya mengambil pendekatan awal untuk membenarkan ibu bapa yang tinggal berasingan dengan anak di bawah 18 tahun, sekali gus memantau pelaksanaannya.

    “InsyaAllah, kalau ini dapat dijayakan dan jumlah yang kita tengok daripada keputusan ini tidak menyebabkan jumlah kes Covid-19 meningkat, tidak ada sebab kita tidak dapat untuk masa-masa akan datang memperluaskannya kepada mereka yang bujang.

    “Jumlah mereka (individu bujang) kalau kita buka kepada mereka, jumlahnya begitu besar dan risiko yang terpaksa kita pikul terlalu tinggi.

    “Itu mungkin akan menimbulkan masalah yang lain kalau tidak ada disiplin, tidak patuh SOP, kita tidak mampu memantau dan juga kuat kuasa apa yang telah diumumkan,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, keputusan membenarkan ibu bapa yang telah lama terpisah dengan anak-anak di bawah usia 18 tahun ini bersandarkan kepada kesejahteraan kesihatan mental individu.

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad turut berkata bermula Selasa ini (10 Ogos) mana-mana pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

    Selain pasangan suami isteri, ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap juga dibenarkan berbuat demikian untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

    Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk memberi kelonggaran bagi aktiviti berisiko rendah kepada penduduk di negeri yang berada di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan keperluan kesihatan mental rakyat terjaga.

    “Meskipun kita masih berada dalam Fasa Satu, berkaitan isu kesihatan mental kita boleh mempertimbang beberapa aktiviti yang selamat seperti pergi ke taman dan pasar-pasar malam yang terbuka, kesemua ini kita sedang pertimbang (untuk beri) kelonggaran,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu belum dapat diumumkan buat masa ini kerana memerlukan pandangan pakar kesihatan.

  • Kelonggaran SOP bagi penerima lengkap vaksin diumum sehari dua lagi – PM

    Kelonggaran SOP bagi penerima lengkap vaksin diumum sehari dua lagi – PM

    Oleh:Bernama

    Kelonggaran dan kemudahan yang akan diberikan kepada penerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 akan diumum sehari dua lagi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menimbang dan mengkaji kelonggaran dan kemudahan berkenaan beserta prosedur operasi standard (SOP).

    “Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu orang ramai yang sudah mendapat dua dos.

    Kelonggaran dan kemudahan seperti contohnya rentas negeri, rentas daerah, nak jumpa ibu bapa atau pasangan suami isteri yang terpisah, itu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Felda Lenga, Pagoh di sini, hari ini.

    Beliau berkata pengumuman itu juga akan melibatkan sektor sosial seperti “dine in” atau makan di dalam premis makanan serta aktiviti riadah dan sukan.

    Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP meskipun kerajaan mengumumkan kelonggaran berkenaan.

    “Kita belum sampai ke nilai ambang atau herd immunity (imuniti kelompok) dan kalau ada keterbukaan, kita belum lagi berada dalam situasi di mana warga kita divaksinasi 100 peratus.

    Apa pun saya akan umumkan dengan SOP yang kita akan tetapkan dan dengan itu saya harap adalah sedikit rasa selesa untuk riadah, bersukan seperti main badminton, golf atau pergi gim dan sebagainya. Ini yang ditimbang MKN cuma belum diumumkan,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus melaksanakan usaha membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 antaranya menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

    “Masih ramai orang yang tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan. Jadi ini komitmen kita kerana saya nak menentukan setiap penduduk Malaysia mendapat makanan di atas meja,” katanya.

    Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil yang diwakili Pengarah Felda Wilayah Segamat Mohd Nizam Abdul Ghani.- BERNAMA