PELBAGAI perkara termasuk risiko yang tinggi perlu dipertimbangkan kerajaan sebelum membenarkan individu berusia lebih 18 tahun dan lengkap divaksin untuk merentas negeri atau daerah bagi bertemu ibu bapa.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ini adalah kerana pihaknya melihat kepada risiko untuk membenarkan mereka yang bujang merentas negeri atau daerah begitu besar.

Menurut beliau, sehubungan itu pihaknya mengambil pendekatan awal untuk membenarkan ibu bapa yang tinggal berasingan dengan anak di bawah 18 tahun, sekali gus memantau pelaksanaannya.

“InsyaAllah, kalau ini dapat dijayakan dan jumlah yang kita tengok daripada keputusan ini tidak menyebabkan jumlah kes Covid-19 meningkat, tidak ada sebab kita tidak dapat untuk masa-masa akan datang memperluaskannya kepada mereka yang bujang.

“Jumlah mereka (individu bujang) kalau kita buka kepada mereka, jumlahnya begitu besar dan risiko yang terpaksa kita pikul terlalu tinggi.

“Itu mungkin akan menimbulkan masalah yang lain kalau tidak ada disiplin, tidak patuh SOP, kita tidak mampu memantau dan juga kuat kuasa apa yang telah diumumkan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, keputusan membenarkan ibu bapa yang telah lama terpisah dengan anak-anak di bawah usia 18 tahun ini bersandarkan kepada kesejahteraan kesihatan mental individu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad turut berkata bermula Selasa ini (10 Ogos) mana-mana pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

Selain pasangan suami isteri, ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap juga dibenarkan berbuat demikian untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk memberi kelonggaran bagi aktiviti berisiko rendah kepada penduduk di negeri yang berada di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan keperluan kesihatan mental rakyat terjaga.

“Meskipun kita masih berada dalam Fasa Satu, berkaitan isu kesihatan mental kita boleh mempertimbang beberapa aktiviti yang selamat seperti pergi ke taman dan pasar-pasar malam yang terbuka, kesemua ini kita sedang pertimbang (untuk beri) kelonggaran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu belum dapat diumumkan buat masa ini kerana memerlukan pandangan pakar kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here