Tag: lelaki

  • Lelaki maut dilanggar kereta api

    Lelaki maut dilanggar kereta api

    SEORANG lelaki warga tempatan berusia 40-an maut selepas dilanggar kereta api di Kilometer (KM) 4.5 Landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran kawasan perusahaan Perai di Kampung Jawa, Butterworth, Pulau Pinang.

    Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.20 malam tadi melibatkan sebuah kereta api yang dalam laluan landasan dari arah Butterworth menghala ke Bukit Mertajam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian itu mangsa maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada seluruh badan.

    “Mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk tujuan saringan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Shafee, siasatan awal polis mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak menceroboh mana-mana kawasan yang dipagari atau cuba melintas landasan milik KTMB kerana boleh membahayakan nyawa serta mengundang kepada kerosakan harta benda.

  • Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    MAHKAMAH Majistret Seremban hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM3,500 ke atas dua lelaki yang mengaku salah menampal poster dan mengedar risalah syarikat pinjaman wang tanpa lesen, minggu lalu.

    Tertuduh, Woon Wan Pau, 46 dan Tan Hai Liang, 37, pada masa sama diperintahkan Majistret, Mahyun Yusof menjalani hukuman penjara lapan bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

    Bagaimanapun kedua-duanya membayar denda terbabit.

    Mengikut fakta kes, Wan Pau dan Hai Liang didakwa membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan mengedar risalah dan menampal poster berkaitan pinjaman kewangan.

    Perbuatan itu dipercayai dilakukan di kawasan Bandar Sri Sendayan kira-kir pukul 3.30 petang, 7 September lalu.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Polis Negeri Sembilan pada minggu lalu menahan lima lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (along) di negeri ini dalam tiga serbuan berasingan.

    Dua tertuduh yang didakwa antara suspek yang ditahan selepas dikesan mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Sri Sendayan.

  • Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.

    Sumber SPRM memaklumkan perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang penjawat awam bersama seorang lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 50-an sebagai balasan membantu syarikat pembekal baja mendapatkan kerja-kerja membekalkan baja cecair organik bernilai lebih RM140,000 kepada sebuah pertubuhan peladang di Selangor.

    Kedua-dua suspek ditahan hari ini pada kira-kira 3 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

    Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam sekitar 9 pagi esok untuk permohonan reman. – BERNAMA

  • Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    SEORANG lelaki kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran menjadi pembantu pemasaran di sebuah syarikat jualan produk dalam talian.

    Pemuda berusia 27 tahun dari Senawang itu mula terjebak dengan sindiket tersebut setelah selepas melihat satu iklan di media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan untuk pekerjaan itu dengan seorang wanita dikenali Ainnie pada 29 Ogos lalu.

    Namun katanya, suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan bagi produk yang akan dijual serta dijanjikan keuntungan 10 peratus daripada hasil jualan tersebut.

    “Mangsa yang berminat kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM111,906 menerusi 25 transaksi kepada syarikat itu dengan wang daripada akaun bank miliknya dan bapa,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, bagaimanapun selepas membuat pembayaran, mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan merasakan sudah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

    Tambah beliau, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Empat lelaki ditahan miliki senapang buatan sendiri

    Empat lelaki ditahan miliki senapang buatan sendiri

    POLIS menahan empat lelaki selepas disyaki memiliki senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di Kampung Batang Nyamor dan Kampung Padang Lebar, Kendong, di sini dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata kesemua mereka yang berusia 31 hingga 45 tahun itu ditahan antara 10.45 malam dan 12 tengah malam menerusi Op Laras oleh Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau.

    “Serbuan pertama pada 10.45 malam di Kampung Batang Nyamor menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri berwarna hitam, satu bekas mengandungi bebola besi serta seunit mesin pemotong besi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata serbuan kedua pada 11.10 malam di kampung sama menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan menemukan selaras senapang angin buatan sendiri berhulu kayu.

    Katanya serbuan seterusnya kira-kira 20 minit kemudian di kampung sama turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri berhulu kayu, satu beg kecil berwarna merah jambu mengandungi 44 bebola besi serta sehelai seluar berwarna hijau.

    Hazri berkata dalam serbuan pada 12 tengah malam di Kampung Padang Lebar pula pihaknya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri, pelbagai jenis peluru antaranya sekotak peluru berwarna putih, 23 butir peluru berwarna putih jenis Lg 67 mm serta sekotak peluru warna kelabu jenis Winchester Super X.  

    Beliau berkata kesemua lelaki itu kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – BERNAMA 

  • 25 lelaki jadi mangsa pemerasan seksual, rugi RM150,000

    25 lelaki jadi mangsa pemerasan seksual, rugi RM150,000

    SEBANYAK 25 kes melibatkan sindiket pemerasan menggunakan taktik panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan  seks melalui platform media sosial dilaporkan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara 1 Januari lalu hingga semalam.

    Kesemua kes itu melibatkan mangsa lelaki berumur antara 17 hingga 50 tahun dengan nilai kerugian sebanyak RM150,000.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan langganan seks dan membuat panggilan video lucah selepas berkenalan menerusi medium media  sosial seperti Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan banyak lagi.

    Jelasnya, bagi kes yang menawarkan langganan seks, suspek akan meminta  mangsa membuat bayaran tertentu sebagai wang deposit dan akan terus meminta bayaran tambahan.

    Katanya, jika mangsa enggan suspek akan  mengugut dengan menghantar gambar  atau video orang yang dicederakan  kononnya mereka akan melakukan perkara yang sama kepada mangsa.

    “Selain itu, suspek juga akan memuat  turun gambar mangsa yang terdapat di  media sosial dan mengugut mangsa  untuk menyebarkan gambar dengan ‘caption’ jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi  kes panggilan video lucah pula, ujar Soffian, suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita yang beraksi lucah serta meminta mangsa berbogel.

    Katanya, pnggilan video itu akan dirakam oleh suspek dan kemudiannya akan mengugut mangsa untuk membuat sejumlah bayaran sekiranya tidak mahu  video tersebut disebarkan kepada kenalan  mangsa atau ditularkan di media sosial.

    “Suspek akan terus cuba menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon  tempatan atau luar negara serta akan  menggunakan lebih daripada satu nombor  telefon bagi mengugut dan menakutkan  mangsa,” katanya.

    Tambah beliau, sindiket itu turut menggunakan beberapa cara pembayaran  antaranya melalui pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian dan Pay Pal.

    Katanya, kesemua kes yang dilaporkan  disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan, Seksyen 385  Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan  ketakutan bagi tujuan melakukan pemerasan dan Seksyen 233 Akta  Kesalahan Multimedia dan Komunikasi  1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan  rangkaian.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang  ramai agar lebih berhati dalam menggunakan apa-apa jua aplikasi atas  talian dan jangan sesekali terpedaya  dengan tawaran perkhidmatan seks serta  langganan urut atas talian. 

    “Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkelakuan lucah semasa membuat  panggilan video dengan mana-mana individu yang baru dikenali bagi mengelakkan dari menjadi  mangsa  sindiket ini,” katanya.

  • Empat lelaki didakwa hina Yang di-Pertua Negeri Melaka

    Empat lelaki didakwa hina Yang di-Pertua Negeri Melaka

    EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, akhir bulan lepas.

    Muhamad Ali Aswad Asngadu, 28, Mohd Hermy Rahim, 34, Ahmad Zaki Yamani Zainon, 45, dan Mohd Hafizuddin Rahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Kesemua tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet melalui laman profil Twitter milik masing-masing secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik ke atas Mohd Ali pada 28 Julai lepas.

    Hantaran komen dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain itu telah dibaca pengadu pada 29 Julai sekitar pukul 1.07 pagi di Ujong Pasir, Kampung Atap di sini.

    Kesemua tertuduh, masing-masing bekerja sebagai jurutera, ahli perniagaan, jurujual dan penyelia itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

    Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivasangari menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang selepas mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Sept depan dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

    Peguam Saiful Ambar Abdullah mewakili Ahmad Zaki Yamani manakala tiga tertuduh lain diwakili peguam P. Purshotaman. – BERNAMA

  • Akibat hutang, lelaki maut dipukul beberapa individu

    Akibat hutang, lelaki maut dipukul beberapa individu

    RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang dipercayai berdepan masalah hutang maut ketika menerima rawatan di hospital setelah dipukul beberapa lelaki dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi di Jalan Tan Yok Fong, Kulai, semalam.

    Mangsa berusia 46 tahun itu pada awalnya dilaporkan cuba memasuki kediaman seorang wanita yang berusia 31 tahun di lokasi tersebut sebelum kejadian disedari wanita berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, polis telah menahan wanita berkenaan berserta tiga lagi lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia yang berusia antara 31 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan.

    “Dalam kejadian itu, penghuni rumah iaitu seorang wanita yang sedang tidur menyedari kediamannya cuba dimasuki seorang lelaki sebelum bertindak menghubungi rakannya. Lelaki itu yang melihat kehadiran rakan wanita itu cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

    “Pergelutan tersebut telah menarik perhatian orang awam. Setibanya polis di lokasi lelaki berkenaan didapati telah dipukul orang awam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Tambah Beng Yeow, lelaki itu yang mengalami kecederaan parah dilaporkan maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada pukul 9.45 malam tadi.

    Polis turut memburu seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut dan berdasarkan siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang.

    Beberapa barangan turut dirampas polis bagi membantu siasatan antaranya termasuk dua telefon bimbit, sebuah kenderaan, satu batang paip PVC sepanjang 80 sentimeter dan satu botol air yang telah pecah.

    Kesemua individu yang ditahan kini direman selama enam hari bermula hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.