Tag: lelaki

  • Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    PEMILIK akaun Twitter menggunakan nama Zulfadzli@bumilangit yang memuat naik video mengandungi unsur perkauman di media sosial ditahan polis, hari ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini hingga 26 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini pemilik akaun Twitter tersebut difahamkan memuat naik video TikTok yang tular yang menjurus kepada unsur perkauman sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.- BERNAMA

  • Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    SEORANG lelaki yang dipercayai membuat hantaran berbaur ancaman bunuh terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah ditahan polis.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Arjunaidi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat berhubung kes berkenaan.

    Semalam, tular menerusi media sosial tangkap layar Instagram Story dipercayai milik seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempersoalkan kewibawaan dan mengancam keselamatan Seri Paduka Baginda.

    Tindakan lelaki berkenaan mengundang kemarahan orang awam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya. – BERNAMA

  • Lelaki didakwa tipu pemilik syarikat RM100,000

    Lelaki didakwa tipu pemilik syarikat RM100,000

    SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat bagi memperoleh projek membekal bahan mentah dan kering di negeri ini pada 2013.

    Fariz Fadila Ag Kamarudin, 35, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menawarkan untuk membuat usaha sama dengan syarikat terbabit bagi menjalankan projek itu dan mendorong pemilik syarikat menyerahkan RM100,000 di daerah Penampang antara Januari hingga April 2013.

    Fariz Fadila didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

    Hakim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang pejamin selain perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 12 Jan depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapifee manakala Fariz Fadila tidak diwakili peguam. – BERNAMA

  • Lelaki, isteri sarat mengandung berdepan hukuman mati

    Lelaki, isteri sarat mengandung berdepan hukuman mati

    SEORANG lelaki dan isterinya yang hamil tujuh bulan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis, bulan lalu.

    Aidil Shazreen Sanip, 29, dan isterinya, Maizurah Nurshafera Md. Said, 30, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Aidil Shazreeen yang merupakan pekerja penyelenggaraan dan Maizurah.

    Suami isteri itu dituduh bersama-sama mengedar kanabis dengan berat kasar 1,170 gram dalam Proton Persona di hadapan rumah di Kampung Semabok JMMU, Ayer Keroh pada 6.30 petang, 29 September 2022.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.

    Terdahulu, Noor Svetlana memohon agar mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan Maizurah Nurshafera diikat jamin, mengambil kira wanita itu mengandung tujuh bulan dan dijangka melahirkan anak ketiganya pada 27 Disember.

    Bagaimanapun, pendakwaan membantah dengan memaklumkan Seksyen 41B(1) ADB 1952 secara spesifik menyatakan ikat jamin tidak diberikan kepada tertuduh yang melakukan kesalahan membawa hukuman mati.

    Maizurah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    “Terpulang kepada peguam jika mahu membuat permohonan jaminan di Mahkamah Tinggi,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    POLIS sedang menyiasat kes dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Sitiawan, Manjung semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.07 tengah hari semalam daripada seorang lelaki mengenai kejadian di hadapan rumah rakannya, disyaki dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

    Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati pemilik rumah terbabit tinggal bersama isteri dan dua anak.

    “Mangsa memaklumkan bahawa isterinya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada pagi semalam namun tidak mengendahkan perkara tersebut.

    “Pada kira-kira 12.45 tengah hari, pengadu keluar dari rumah untuk mengambil barang lalu menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Yusri berkata pemeriksaan oleh Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mendapati terdapat kesan lubang pada cermin belakang kereta mangsa dipercayai akibat tembakan dan menemukan kelongsong peluru di bawah kenderaan selain kepala peluru di kawasan but kenderaan itu.

    Beliau berkata siasatan rakaman kamera litar tertutup mendapati terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran dan melepaskan sedas tembakan lalu terkena kenderaan mangsa.

    “Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.

    Beliau berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.- BERNAMA

  • Ajal ketika daki Gunung Kinabalu

    Ajal ketika daki Gunung Kinabalu

    SEORANG lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau, hari ini.

    Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang berusia 51 tahun ditemukan malim gunung di KM 3.2 laluan pendakian.

    “Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menerima panggilan kecemasan pada 1.23 tengah hari lalu 12 pegawai dan anggota digegaskan ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

    Lelaki itu diberikan bantuan pernafasan menerusi tindakan awal oleh pasukan MOSAR, anggota Taman-Taman Sabah dan malim gunung sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 4.30 petang,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Lelaki Kanada tunjuk isyarat lucah, polis buka kertas siasatan

    [VIDEO] Lelaki Kanada tunjuk isyarat lucah, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki warga Kanada yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, akibat ditegur kerana tidak memakai pelitup muka.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki Kanada berumur 44 tahun itu hadir ke balai polis berkenaan pada 8.30 malam tadi bagi memberi keterangan setelah menyedari video memaparkan dirinya itu viral di media sosial.

    “Suspek yang menetap dan bekerja di negara ini, disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peratuan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau talian penting polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, suspek ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Ahad lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif suspek terhadap pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang. – BERNAMA

  • Lelaki kasanova didakwa tipu kerani wanita RM152,000

    Lelaki kasanova didakwa tipu kerani wanita RM152,000

    SEORANG lelaki ‘kasanova’ didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang kerani syarikat swasta yang dijanji mahu dikahwini sehingga memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang dan barang kemas berjumlah RM152,500.

    Hisyah Sayuti, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Lelaki itu didakwa menipu wanita berusia 40 tahun itu untuk menyerahkan kepadanya wang dan barang kemas dengan perkahwinan yang tidak wujud dan wanita itu tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini antara 6 Feb hingga 6 Mac lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Lelaki rempuh sekatan jalan raya dituduh cuba bunuh polis

    Lelaki rempuh sekatan jalan raya dituduh cuba bunuh polis

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian di sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 3 April lalu.

    Tertuduh, Muhammad Luqman Hakim Mohd. Shukri, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah hospital kerajaan di sini didakwa dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Lans Koperal S. K. Acharaa.

    Kesalahan di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 1.05 pagi pada 3 April lalu dalam kejadian di susur keluar lorong motosikal (menghala ke Jambatan Pulau Pinang) di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, maka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    Selain itu, beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa memandangkan mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital tempat tertuduh bekerja.

    Bagaimanapun, Hakim Mazdi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan supaya tertuduh atau sesiapa sekalipun yang dikaitkan dengan tertuduh mengganggu mangsa kes tersebut dalam apa-apa cara sekalipun.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

    Sebelum ini, Lans Koperal Acharaa, 32, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang dipandu seorang lelaki ketika sedang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

    Rempuhan itu menyebabkan anggota polis berkenaan terpelanting dan terjatuh di bahagian belakang sebuah kereta Perodua Axia yang sedang berhenti untuk pemeriksaan.

    Difahamkan, mangsa sehingga kini masih menerima rawatan di sebuah hospital namun keadaannya dilaporkan stabil.

  • Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan mengedar 28 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1 juta hasil serbuan di Puchong, Selangor pada 13 Sept lepas. 

    Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Kastam menahan sebuah kereta Proton Saga di tempat letak kereta berhadapan sebuah hotel yang dinaiki dua lelaki.

    Menurutnya, semasa pemeriksaan itu, pemandu kereta bertindak memecut kereta dan melanggar kenderaan pegawai kastam sebelum kedua-dua mereka keluar melarikan diri apabila tiba di tengah jalan di Jalan Bandar, Puchong.

    “Bagaimanapun, anggota kastam berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai manakala seorang lagi rakannya melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan itu menemukan dua beg galas di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih dadah jenis methamphetamine dengan kereta berkenaan disyaki hasil curi,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.

    Abdul Latif berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam beg yang diletakkan dalam bonet kenderaan selain menggunakan kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu serta sentiasa menukar kenderaan lain bagi mengelakkan mereka dikesan.

    Beliau berkata siasatan juga mendapati bekalan dadah itu bukan untuk pasaran tempatan tetapi dihantar ke Indonesia melalui jalan laut.

    Susulan kes berkenaan, beliau berkata empat lagi lelaki dalam lingkungan 27 hingga 31 tahun termasuk seorang yang melarikan diri semasa serbuan pertama turut ditahan di lokasi berasingan Isnin lepas.

    “Dua ditahan di Gua Musang, Kelantan, seorang di Klang, Selangor dan seorang lagi ditahan ketika memberi keterangan di Cawangan Narkotik JKDM di sini, hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Katanya, suspek pertama warga Indonesia direman 14 hari bermula 14 Sept mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama manakala permohonan reman turut dibuat terhadap empat suspek lain bagi membantu siasatan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM merampas sebanyak 16,000 kg dadah jenis amphetamine membabitkan nilai berjumlah RM5.2 bilion, methaphetamine, 624 kg (RM22.5 juta), ketamin 2.6 kg (RM124,160), heroin 3.9 kg (RM337,569) sejak Januari lepas.

    Jelasnya, bagi rekod penahanan pula, sehingga kini 14 orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan tujuh orang kena tuduh (OKT) dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.- BERNAMA