Tag: lelaki ditahan

  • Serang, samun peniaga bazar Ramadan, 5 lelaki diberkas

    Serang, samun peniaga bazar Ramadan, 5 lelaki diberkas

    POLIS menahan lima suspek disyaki terlibat kes samun peniaga bazar Ramadan yang turut dipukul dan diserang dengan sebatang kayu dalam kejadian di Bandar Putra, Kulai, Johor, kelmarin.

    Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow berkata, suspek lelaki berusia 18 hingga 47 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra Kulai dan Jalan Persiaran Indahpura antara 1.30 tengah hari hingga 10.30 malam tadi.

    Katanya, tangkapan dilakukan susulan aduan diterima daripada peniaga terbabit yang mendakwa didatangi suspek ketika berniaga di bazar berkenaan.

    “Mereka berbincang mengenai perniagaan mercun di tapak bazar itu sebelum seorang daripada suspek yang tidak dikenali menendang pengadu di dada hingga terjatuh.

    “Pengadu kemudian diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu dan dipukul oleh beberapa individu ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, serangan turut menyebabkan pengadu cedera di kepala, muka, tangan serta badan dan dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk rawatan.

    Katanya, mangsa juga kehilangan wang berjumlah RM5,405 dipercayai dirampas suspek dalam kejadian itu.

    “Polis menyelesaikan kes kurang 24 jam laporan dibuat. Sebatang kayu yang dijadikan senjata dan sehelai baju turut dirampas.

    “Hasil siasatan awal, semua suspek mengaku terbabit dan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

    “Usaha mengesan rakan sejenayah yang masih bebas giat dijalankan dan semua suspek direman empat hari hingga 9 April manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 3 ditahan disyaki pecah amanah lebih setengah juta ringgit jualan vape

    3 ditahan disyaki pecah amanah lebih setengah juta ringgit jualan vape

    TIGA lelaki berusia antara 22 hingga 25 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan wang jualan sebuah syarikat menjual vape bernilai RM505,674.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini berkata, mereka ditahan secara berasingan di sekitar Bayan Lepas dan George Town semalam.

    Jelasnya, tiga suspek terbabit ditahan kerana melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan produk syarikat iaitu sebanyak 28,093 botol vape yang bernilai RM505,674.

    ”Kegiatan pecah amanah ini dilakukan menerusi transaksi akaun bank persendirian,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang giat dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan lain, tambah kenyataan itu, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dan seorang lelaki berumur 30 tahun di Jelutong dan Bayan Lepas semalam kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

    Jelasnya, berdasarkan siasatan mereka disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam urusan tawaran kerja sambilan melalui laman jualan Zalora dan urusan jual beli pakaian yang diiklankan melalui Facebook.

    ”Siasatan polis mendapati suspek-suspek itu terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan tahun lalu dan tahun ini. Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM7,234 sehingga RM61,946.

    “Mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, polisnmenasihatkan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau boleh memuat turun di Aplikasi Google Store Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.

  • 3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    TIGA lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, salah seorang suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

    Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 1 April, pukul 12.30 tengah malam di luar stadium.

    ”Pergaduhan berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan lawan, pihak polis berjaya mengawal keadaan serta menahan tiga lelaki tenpatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Video pergaduhan itu yang menunjukkan sekumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan di luar kawasan stadium dipercayai di kawasan Pulau Pinang turut tular di media sosial sejak awal pagi ini.

    Menurut Soffian, hasil awal saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan bebas daripada sebarang jenis dadah dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai.

    Dalam pada itu, katanya, polis juga sedang giat mengesan individu-individu lain yang terlibat dengan kejadian ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

    “Kita juga menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

  • Tiga lelaki ditahan miliki senapang patah, peluru, busur

    Tiga lelaki ditahan miliki senapang patah, peluru, busur

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA lelaki ditahan polis kerana disyaki memiliki senjata berbahaya dalam serbuan di dua rumah dekat Kampung Padang Terap, Kuala Nerang pada 21 Mac lalu.

    Datuk Mohd. Roze Shaari

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 hingga 32 tahun ditahan hasil maklumat awam.

    Menurutnya, pihak polis merampas dua laras senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan bagi memburu hidupan liar sebagai sumber pendapatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan jika disabitkan dengan kesalahan.

    “Dua daripada tiga suspek telah berjaya dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 27 Mac 2023,” katanya.

    Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada membeli mahu pun memiliki sebarang senjata api tanpa lesen sah.

    “Orang ramai juga digalakkan untuk membantu pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pemilikan atau penjualan senjata api serta jenayah melalui talian MERS 999,” katanya.

  • 7 lelaki ditahan, ganja seberat 840.7 kg bernilai RM2.1 juta dirampas

    7 lelaki ditahan, ganja seberat 840.7 kg bernilai RM2.1 juta dirampas

    POLIS Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja selepas merampas 840.7 kilogram (kg) dadah jenis itu termasuk ganja ‘premium’ yang berkualiti tinggi bernilai RM2.10 juta.

    Rampasan itu dilakukan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini dan Changkat Jering, Perak, pada 19 Januari lalu yang mana tujuh lelaki warga tempatan turut ditahan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ganja tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran oleh sindiket itubyang dipercayai aktif mengedar dadah sejak tahun lalu.

    Jelasnya, kesemua suspek berusia 24 hingga 29 tahun yang ditahan bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah politeknik, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.

    Ujar beliau, serbuan pertama dibuat di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth, pukul 6.45 pagi yang mana tiga lelaki yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Myvi ditahan.

    Susulan penahanan mereka, tambahnya, polis berjaya merampas beberapa ketulan mampat ganja seberat 479.72 kilogram di dalam sebuah kereta jenis Ford bernilai RM1.1 juta yang diletakkan di kawasan parkir kereta di Bukit Jambul.

    “Polis turut menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering, kira-kira pukul 7.44 pagi, namun tiada sebarang dadah ditemukan.

    “Polis kemudian menyerbu kawasan tepi jalan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru, pukul 2 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di situ yang mana kita menjumpai dadah jenis ganja yang disimpan di dalam 10 guni plastik seberat 361 kg, namun tiada tangkapan dibuat di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.


    Ujar beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran dan kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Januari lalu.

    Dalam pada itu, tambahnya, ujian saringan air kencing kesemua suspek negatif dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

    Selain rampasan dadah, tambahnya, polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai RM51,500,” katanya.

  • Padah serang pemandu ambulans, tiga lelaki ditahan

    Padah serang pemandu ambulans, tiga lelaki ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki selepas dipercayai menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita di sebuah pasar raya, di Kuala Selangor, semalam.

    Tiga lelaki dipercayai menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita di sebuah pasar raya, di Kuala Selangor, semalam

    Ketiga-tiga suspek berusia antara 17 hingga 35 tahun ditahan di sekitar Kuala Selangor pada pukul 11 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Ramli Kasa, penahanan dibuat susulan laporan dibuat seorang Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang berusia 27 tahun.

    Katanya, pada pukul 8.40 semalam, pengadu menerima panggilan berhubung seorang wanita yang cedera di sebuah pasar raya.

    “Pada pukul 9 malam, pengadu tiba di lokasi dan ketika dalam perjalanan membawa pesakit ke ambulans, didapati ada pihak yang menyerang pemandu ambulans,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, susulan laporan itu polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

    “Punca kecederaan wanita dan punca kejadian masih dalam siasatan. Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat pagi ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 32 saat memaparkan petugas kesihatan yang dihalang ketika membawa seorang pesakit yang cedera.