Tag: Lee Chong Wei

  • ‘Anggaplah dia epal busuk’, kata Chong Wei ulas kenyataan rasis Guang Yik

    ‘Anggaplah dia epal busuk’, kata Chong Wei ulas kenyataan rasis Guang Yik

    LEGENDA perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kesal dengan kenyataan rasis oleh bekas pemain pelapis badminton negara, Bong Guang Yik.

    Chong Wei menerusi hantaran di Facebook menekankan bahawa sukan mengangkat rasa hormat dan tidak menerima sebarang sikap perkauman.

    Beliau turut menasihatkan agar mana-mana pihak tidak menghancurkan keharmonian rakyat yang erat hanya untuk dikenali ramai.

    “Jangan sesekali demi mengejar nak terkenal, sanggup menghancurkan keharmonian rakyat yang erat. Bukan dibina sehari dua, tetapi berdekad-dekad.

    “Anggaplah dia (Guang Yik) sebiji epal busuk, kawan-kawan,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Dalam pada itu, Chong Wei turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana pantas mengendalikan isu ini.

    Hannah, menerusi respons awalnya berkenaan isu itu, mengecam keras kenyataan bersifat rasis yang dikeluarkan Guang Yik.

    “Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

    “Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya Hannah mengulangi pendirian bahawa sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

    Kenyataan rasis Guang Yik menjadi tular sejak kelmarin melalui perkongsian video berdurasi satu minit 34 saat pemilik akaun tik tok @Ahboybadminton.

    Menerusi klip video yang dimuat naik berdurasi 1 minit 17 saat itu, Guang Yik yang kini menetap di China mendakwa, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menunjukkan kemajuan kerana dikuasai oleh orang Melayu dan amalan berat sebelah.

    Katanya lagi, ibadah solat lima waktu yang dijalankan pegawai dan petugas menjadi antara punca kelemahan pengurusan tertinggi BAM, hingga tidak dapat memberi tumpuan penuh pada aspek latihan pemain seterusnya menghasilkan keputusan positif untuk negara.

    Guang Yik juga dalam komentar kontroversinya mendakwa, semua sumber BAM telah disalurkan kepada Datuk Lee Chong Wei sewaktu jaguh badminton negara itu di puncak karier, hingga melupakan usaha membangunkan generasi pemain pelapis.

  • Lee Chong Wei terima Ijazah Kehormat USM 2 Disember

    Lee Chong Wei terima Ijazah Kehormat USM 2 Disember

    BEKAS pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan sempena Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2 Disember ini.

    Chong Wei yang merupakan anak jati Pulau Pinang itu akan menerima Ijazah Kehormat berkenaan daripada Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.

    Menurut Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Chong Wei merupakan antara lima penerima anugerah utama pada sidang satu upacara konvokesyen tersebut.

    Selain Chong Wei tambah beliau, Tuanku Syed Sirajuddin akan turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Dr. David Lacey yang merupakan tokoh yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains.

    “Penerima lain dalam sidang satu ini ialah Dr. Zhari Ismail yang akan menerima gelaran Profesor Emeritus manakala bekas Naib Canselor USM, Datuk Dr. Asma Ismail akan menerima gelaran Profesor Emerita.

    “Selain itu, seorang pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan  Elektronik, Khaw Teng Kang akan dinobatkan sebagai Penerima Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Upacara Konvokesyen ke-58 USM itu akan bermula pada 2 Disember (sidang satu) di Istana Arau diikuti dengan sidang kedua hingga ke-10 bermula 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

    Menurutnya, seramai 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada upacara konvensyen kali ini termasuk Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana) seramai 1,899 orang;  Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).

    Ujarnya, upacara itu juga akan dilangsungkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

    “Hanya graduan yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan menyertai upacara konvokesyen kali ini manakala untuk sidang dua hingga sidang ke-10 di DTSP, penganugerahan ijazah-ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari,” katanya.