Tag: Larkin

  • Untunglah orang Larkin kalau Zulkifli Bujang jadi ADUN

    Untunglah orang Larkin kalau Zulkifli Bujang jadi ADUN

    PENGUNDI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pasti beruntung sekiranya mereka memilih calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang menjadi wakil rakyat mereka pada Sabtu ini.

    Apa sahaja masalah yang dihadapi mereka terutamanya isu perumahan, tanah dan bantuan pasti diberi perhatian sepenuhnya oleh bekas wartawan kanan Bernama TV yang mesra rakyat itu.

    Memetik laporan Utusan TV, Zulkifli turut memberi jaminan akan menyelesaikan semua perkara itu sejajar dengan aspirasi kerajaan PN yang prihatin terhadap isu rakyat.

    “Rata-rata nyatakan soal perumahan, soal tanah dan bantuan khususnya yang sewajarnya diberikan kepada peniaga. Itu yang mereka harapkan.

    “Di bawah PN, kita sentiasa menitik beratkan soal keprihatinan dan kesejahteraan mereka,’’ katanya.

    Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu juga yakin beliau dapat menabur bakti di kawasan DUN Larkin, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

    “Semasa pandemik lalu, kerajaan PN telah melakukan tanggungjawab. Selepas tempoh pandemik, kita perlu memikirkan sesuatu bagaimana hendak menambah pendapatan, menstabilkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

    “Ini adalah antara perkara dan cabaran yang perlu saya fikirkan untuk penduduk di Larkin ini khususnya.

    “Apabila saya menjadi calon di Larkin ini, saya rasa amat faham apa diperlukan oleh rakyat… jadi saya rasa perlu laksanakan apa yang pernah dilalui dahulu. Kalau orang perlukan bantuan maka cari penyelesaian untuk keselesaan penduduk. Maka, itu yang boleh saya tawarkan kepada penduduk khususnya di DUN Larkin ini,” jelasnya.

    Mengenai pengundi muda, Zulkifli berkata, cabaran mendekati mereka juga besar, namun beliau berharap bukan pengundi muda sahaja, tetapi semua lapisan pengundi di kawasan DUN Larkin dapat beramai-ramai keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing, Sabtu ini.

    “Saya menyeru kepada semua yang mengundi di DUN Larkin supaya keluar mengundi dan laksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan masa hadapan kita bersama,’’ ujarnya.

    Pada PRN kali ini, Zulkifli dijangka menang dalam pertandingan enam penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu Mohd Hairi Mad Shah; Dr. Zamil Najwah Arbain dari PKR dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

    Selain itu, DUN Larkin juga bakal menyaksikan kehadiran calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Rasid Abu Bakar dan seorang calon Bebas iaitu Nor Ramadan Buan.

  • Penduduk mahu bakal ADUN Larkin selesaikan masalah banjir kilat

    Penduduk mahu bakal ADUN Larkin selesaikan masalah banjir kilat

    Oleh MUHAMMAD ADIL MUZAFFAR MOHD FISOL

    PENDUDUK di Jalan Tiong, Larkin Jaya mahu anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, segera “turun padang” dan menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan perumahan mereka.

    Menurut penduduk, sejak 2019 sebanyak 25 kejadian banjir kilat telah berlaku di kawasan itu didakwa berpunca daripada projek pembinaan landasan kereta api berkembar berdekatan yang mula dibina pada 2018.

    Setiausaha Surau Ar-Rahman Larkin Jaya, Shahrom Othman berkata penduduk setempat berasa bimbang setiap kali berlakunya hujan lebat.

    “Kami di surau beri peringatan kepada penduduk, di mana sahaja kamu berada, kena bersiap sedia untuk balik kemas surau dan rumah bila berlaku hujan lebat.

    “Kepada pemimpin kami nanti, tunaikanlah janji dan tengoklah kami di sini. Kami bukan nak bantuan duit, tapi bantulah selesaikan masalah rakyat,” katanya.

    Tambahnya lagi, sebuah projek tanaman dan ternakan yang dipanggil “Agro-Tiong” yang diusahakan ahli kariah surau dan penduduk di sini turut terjejas setiap kali berlakunya banjir.

    “Kami tubuhkan Agro-Tiong untuk bangunkan kawasan sekeliling. Tanaman cili, sawi, kacang panjang dan ada juga ternakan ikan dan udang diusahakan oleh penduduk kampung,

    “Setiap kali terjadinya banjir, nilai kerugian dianggarkan tidak kurang RM10,000 dan jemaah serta penduduk terpaksa keluar duit sendiri untuk baik pulih,”

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada PRN Johor ini, Zulkifli Bujang mahu pemaju projek landasan berkembar itu bertindak segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk.

    Dalam kejadian terbaharu, banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam, antara mangsa yang terjejas adalah seorang Orang Kurang Upaya yang menetap di premis surau.

    “Dimaklumkan air naik hingga ke paras lutut dan air masuk ke rumah beliau, jadi kami datang untuk bantu kemaskan,” kata Zulkifli yang turut bersama-sama ahli jawatankuasa Surau Ar-Rahman meredah air banjir itu bagi meninjau kerosakan pada projek Agro-Tiong tersebut.

    Zulkifli bakal berdepan pertandingan enam penjuru menentang Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan NorRamadan Buan (Bebas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Pengalaman Zulkifli jadi wartawan kelebihan fahami rakyat

    Pengalaman Zulkifli jadi wartawan kelebihan fahami rakyat

    PENGALAMAN bertugas sebagai wartawan menjadi kelebihan buat calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang dalam memahami keperluan rakyat seterusnya membantu menyelesaikan isu dihadapi mereka, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, bekas wartawan Bernama TV berusia 44 tahun itu berkata, beliau menceburi bidang kewartawanan sejak berusia 18 tahun, kerjaya yang mengajarnya untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

    “Sebagai wartawan saya bawa isu rakyat kepada pengetahuan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan di sesuatu kawasan, kerana kita faham apa dikehendaki rakyat dan sebagai media kita menjadi pengantara untuk menyampaikan suara mereka (rakyat).

    “Apabila saya menjadi calon di Larkin ini, saya rasa amat faham apa diperlukan oleh rakyat… jadi saya rasa perlu laksanakan apa yang pernah dilalui dahulu. Kalau orang perlukan bantuan maka cari penyelesaian untuk keselesaan penduduk. Maka, itu yang boleh saya tawarkan kepada penduduk khususnya di DUN Larkin ini,” katanya.

    Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian semasa menjadi tetamu pada program Suara Johor terbitan Bernama TV hari ini.

    Beliau berkata, pengalaman bekerja dalam sektor awam juga menjadi kelebihan buat dirinya terutama dari aspek pentadbiran dan perkara itu dilihat adalah kualiti yang perlu ada untuk menjadi wakil rakyat.

    Justeru, beliau berharap pengalaman yang dimilikinya itu akan menjadi penanda aras atau ukuran bagi pengundi untuk menilai kualitinya sebagai seorang calon yang bertanding pada PRN Johor.

    Zulkifli berdepan pertandingan enam penjuru, menentang Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan NorRamadan Buan (Bebas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

  • Zulkifli Bujang guna TikTok perkenalkan diri

    Zulkifli Bujang guna TikTok perkenalkan diri

    KEKANGAN berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang masih agak ketat bukan masalah besar bagi calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang.

    Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin memanfaatkan aplikasi TikTok untuk memperkenalkan dirinya.

    Strategi tersebut berkesan untuk mendekati pengundi-pengundi muda yang sememangnya ramai menggunakan aplikasi yang semakin popular itu.

    Menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam TikTok hari ini, Zulkifli yang juga bekas wartawan kanan merayu kepada para pengundi di DUN Larkin agar memberi beliau peluang untuk berkhidmat dan berbakti kepada mereka.

    “Dengan pengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan, penyiar dan juga penjawat awam, insya-Allah saya akan menggunakan segala pengalaman ini untuk berkhidmat kepada anda semua.

    “Undilah saya, Zulkifli Bujang, calon nombor 4, Perikatan Nasional,” katanya melalui akaun TikTok @zulkiflibujang.

    Zulkifli Bujang
    Zulkifli Bujang beramah mesra dengan orang ramai di sekitar kawasan DUN Larkin. (Gambar: Facebook)

    Pada masa yang sama, beliau turut berkempen secara bersemuka bagi mendekati pengundi-pengundi di sekitar kawasan DUN Larkin.

    “Pagi ini saya sempat bersarapan dan bertemu warga Larkin di Pondok Santapan Jalan Puyuh, Larkin Jaya.

    “Macam-macam cerita yang disembangkan tadi, sambil tu saya ambil perhatian akan isu-isu lokaliti yang ada selain turut berkongsi aspirasi saya kepada warga Larkin.

    “Insya-Allah, saya usahakan yang terbaik untuk warga Larkin,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.