Tag: laporan siasatan

  • Waris mangsa Double Six persoal laporan dirahsiakan terlalu lama

    Waris mangsa Double Six persoal laporan dirahsiakan terlalu lama

    WARIS mangsa pesawat Double Six pada 1976 di Sabah menimbulkan lebih banyak persoalan berkaitan laporan hasil siasatan nahas terbabit yang dikeluarkan selepas tempoh agak lama.

    Memetik laporan Berita Harian, Iskandar Sulong, anak bongsu kepada Menteri Kewangan Sabah ketika itu, Datuk Salleh Sulong berkata, seperti majoriti waris keluarga mangsa lain, beliau juga tidak berpuas hati dengan hasil laporan terbabit.

    “Saya cuma rasa tidak puas hati kenapa mereka (pihak bertanggungjawab) tidak beritahu sebab sebenarnya sejak awal lagi. Waktu kejadian saya berumur lima tahun, sekarang saya berumur 52 tahun.

    “Sejak saya kecil, fikiran saya terganggu (disebabkan tragedi Double Six). Tambahan pula, saya cenderung untuk menunggu hasil laporan dilepaskan dari Kerajaan Australia,” katanya, hari ini.

    Menurut Iskandar, ahli keluarganya yang lain juga mempunyai pandangan sama terhadap laporan hasil siasatan pesawat itu.

    Beliau turut memberitahu berkemungkinan besar pihaknya akan membuat tuntutan agar kerajaan tampil dengan laporan terperinci mengenai tragedi berkenaan.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden UPKO, Donald Peter Mojuntin mempersoalkan mengapa laporan berkenaan diletakkan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) selama 47 tahun sedangkan ia “tidak berbahaya” dan menawarkan “penjelasan mudah” punca kepada nahas.

    Donald adalah anak kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan negeri ketika itu, Peter Mojuntin, antara 11 terkorban dalam tragedi itu.

    “Kami keliru mengapa laporan itu dirahsiakan bagi tempoh sangat lama. Ada pegawai kerajaan dan menteri berkata laporan itu dirahsiakan kerana melibatkan kepentingan awam. Ada juga yang berkata ia melibatkan keselamatan negara.

    “Tetapi, mereka boleh sahaja memaklumkan semua ini 46 tahun lalu. (Laporan) ini anti-klimaks,” katanya kepada FMT.

    Tambahnya, beliau menggesa kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat mengapa laporan itu perlu dirahsiakan.

    Menurut laporan tragedi yang dinyahklasifikasi, tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kemalangan tragik pesawat terhempas pada 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

    Menurut laporan itu, pesawat itu diselenggara mengikut jadual dan terbang dengan had berat yang dibenarkan.

    Bagaimanapun, kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal, kata laporan itu.

    Kata laporan itu, jelas prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional.

    Kata laporan itu, syarikat itu perlu ada sistem pemantauan untuk memastikan semua prosedur dipatuhi, tambahnya satu contoh adalah pemantauan masa rehat kru penerbangan.

    Juruterbang pesawat itu dilaporkan sudah melebihi masa bertugas selama 67 minit ketika kemalangan berlaku. Jumlah masa bertugas ditetapkan kepada 10 jam. Manual operasi syarikat menunjukkan masa kru penerbangan mula bertugas adalah dua jam sebelum berlepas dan sejam selepas penerbangan.

    Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

  • Laporan siasatan dakwaan buku Tommy didedahkan, boleh diakses terbuka

    Laporan siasatan dakwaan buku Tommy didedahkan, boleh diakses terbuka

    SYOR-syor dikemukakan dalam laporan Pasukan Petugas Khas siasatan ke atas pelbagai dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, dipercayai akan membantu kerajaan membuat keputusan sewajarnya berhubung dakwaan terbabit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata demikian dalam kata pengantar laporan itu yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Orang ramai boleh mengakses laporan dalam bahasa Inggeris yang mengandungi 225 muka surat itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu mengumumkan kerajaan menyahklasifikasikan dan akan mendedahkan laporan siasatan ke atas dakwaan dalam buku berkenaan.

    Dalam kata pengantarnya, Wan Junaidi turut berharap penemuan dalam laporan itu akan memberi pencerahan kepada banyak persoalan dan reaksi bercampur-campur yang diterima ketika buku terbabit kali pertama diterbitkan.

    “Pasukan Petugas Khas (STF) itu ditubuhkan untuk ‘mencari fakta’ berhubung dakwaan dalam buku berkenaan.

    “STF telah mengenal pasti dakwaan, melakukan analisis terhadap pemerhatiannya dan akhirnya mengemukakan syor-syor melalui laporan ini kepada kerajaan,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Wan Junaidi sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih kepada keseluruhan pasukan berkenaan atas komitmen serta dedikasi mereka melaksanakan perundingan dengan pelbagai pihak pemegang taruh dan meneliti semua dokumen berkaitan dalam menyediakan laporan itu.

    Beliau turut berterima kasih atas komitmen diberikan pelbagai pihak pemegang taruh yang membantu pasukan khas berkenaan melaksanakan tugas mereka.

    Sementara itu Pengerusi STF berkenaan, Datuk Seri Fong Joo Chung, dalam kata pengantarnya pula berkata sepanjang tempoh lapan bulan, pasukannya sudah melaksanakan 19 perundingan dengan pelbagai pihak serta pemegang taruh, meneliti dokumen dan mendapatkan maklum balas bertulis terhadap dakwaan dalam buku terbabit.

    “STF ini tidak terlepas daripada berdepan cabaran berikutan ada pihak yang tidak bersedia untuk tampil ke hadapan STF atau memberikan maklumat mahupun menyediakan maklum balas bertulis kepada STF.

    “Bagaimanapun, ini tidak menghalang STF daripada melaksanakan siasatan yang teliti, bebas dan komprehensif terhadap dakwaan dikenal pasti dalam buku itu,” katanya.

    Pada 30 September lalu, Perdana Menteri dilapor mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh Tommy, dilaksanakan dengan segera.

    Ismail Sabri dipetik berkata, Pasukan Petugas Khas sudah membentangkan laporan siasatan ke atas dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari berkenaan.

    Berdasarkan siasatan yang dibuat, beliau berkata, pasukan itu mengkategorikan 19 isu penting dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama, iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional; serta kenyataan berbaur hasutan.