Tag: laporan polis

  • Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuatnya, majoriti perosak politik dan ekonomi adalah golongan bukan Islam dan Bumiputera.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru dalam satu kenyataan mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Marang berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai perkara itu.

    Menurut beliau, pihaknya telah menerima sebanyak 28 laporan polis ke atas Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

    Katanya, siasatan dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

    “Selain itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya malam ini.

    Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

    “PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

  • Anak pelakon tolak vaksin

    Anak pelakon tolak vaksin

    BIMBANG perkara buruk menimpa mereka selepas divaksin, dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di Selangor membuat laporan polis bagi menyatakan hak mereka menolak suntikan vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.

    Seorang pelajar, Azrell Omar Azri Iskandar, 17, berkata, dia berhak menolak daripada menjadi bahan eksperimen dengan dicucuk vaksin selepas dimaklumkan tiada pihak yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

    “Apa yang berlaku terhadap saya selepas menerima vaksin, semuanya atas tanggungan saya sendiri.

    “Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan saya melalui suntikan vaksin ini yang masih lagi di tahap ujian klinikal.

    “Saya tak sanggup mempertaruhkan nyawa saya untuk ujian klinikal ini kerana ada pelbagai kaedah mencegah Covid-19 iaitu melalui cara perubatan homeopati holistik, makanan sunnah yang keluarga saya amalkan bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya hari ini.

    Terdahulu Azrell Omar membuat laporan polis bersama adik perempuannya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati.

    Selain itu, Azrell Omar serta adiknya ditemani ibu mereka yang juga pelakon, Ellie Suriaty Omar.

    Kata pelajar itu, dia ada menerima borang daripada gurunya untuk mendapatkan vaksin dua minggu lalu.

    “Dalam borang berkenaan, kami (pelajar) diberitahu bahawa tiada siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

    “Setakat ini, mereka tidak memaklumkan ada tindakan lanjut akan dikenakan sekiranya tidak mengambil vaksin,” katanya yang memaklumkan semua ahli keluarganya belum mengambil vaksin sehingga kini.

    Mengulas lanjut Azrell Omar berkata, tiada mana-mana individu memaksanya membuat laporan itu yang dibuat atas kewarasan sendiri selepas menilai maklumat diperolehinya.

    Ujarnya, dia mengambil semua maklumat berkaitan vaksin dan Covid-19 daripada Internet termasuk membaca berita dari luar negara selain maklumat daripada ibunya, ahli keluarga serta kenalan.

    “Dari situ saya menilai sendiri maklumat diperoleh dan membuat keputusan untuk menolak disuntik vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat individu berkenaan.

  • 10 laporan polis diterima berkaitan kenyataan Muhyiddin

    10 laporan polis diterima berkaitan kenyataan Muhyiddin

    Polis menerima sebanyak 10 laporan polis berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pihak mencetus kemelut politik ketika ini, tidak senang dengan beliau kerana enggan mencampuri urusan mahkamah.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, sehubungan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat laporan tersebut.

    Beliau berkata, siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut.

    “Buat masa ini, kita belum memanggil dan merakam keterangan mana-mana individu lagi bagi membantu siasatan kes.

    “Kes disiasat mengikut seksyen apa akan dimaklumkan kemudian,” katanya hari ini.

    Rabu lalu, Perdana Menteri berkata, ada kumpulan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

    Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, pihak terbabit cuba menangguk di air yang keruh dengan mencetuskan kemelut politik, walaupun negara sedang berdepan krisis pandemik yang kian memuncak.

    Ini mendorong beberapa bahagian Pemuda Umno seperti Pasir Puteh, Tambun, Kampar, Langkawi dan Alor Setar membuat laporan polis berhubung isu itu.

    Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, laporan itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan wujud desakan kepada Perdana Menteri untuk campur tangan dalam kes mahkamah yang sedang berlangsung.