Tag: laporan polis

  • Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    PEMUDA Pas Terengganu membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal yang didakwa berunsur fitnah terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

    Beliau berkata, ia susulan laporan artikel yang dimuat naik di sebuah portal pada 6 Mac lalu.

    “Laporan ini cukup-cukup melampau, ia jauh menyimpang daripada apa yang diucapkan oleh Tuan Guru (Abdul Hadi) sendiri, kami dapati tulisan ini berniat jahat serta mahu melaga-lagakan antara Tuan Guru dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya, semalam.

    Mohd Harun berkata, pihak terbabit digesa membuat permohonan maaf serta menarik balik artikel yang dikeluarkan itu.

    Katanya, jika perbuatan pihak tersebut menyebabkan kesan tidak baik dan berpanjangan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

    “Kami gesa supaya artikel ini segera dipadamkan dan ditarik balik. Kemukakan permohonan maaf. Sekiranya tiada apa-apa tindakan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka,” tegas beliau.

    Ujarnya, artikel berkenaan didakwa bertujuan mengeruhkan hubungan baik antara kerajaan negeri, Presiden Pas dengan pihak istana.

    “Apa yang berlaku pada hari ini melahirkan api untuk menyemarakkan lagi hubungan tidak baik dan bertujuan melaga-lagakan sehingga merebak kepada hubungan parti politik dengan pihak istana.

    “Kita kesal kerana tohmahan dan provokasi ini termasuk isu Himpit 2023 yang apabila diolah secara tidak wajar oleh sesetengah pihak menyebabkan kita dianggap sebagai pengganas,” ujar beliau.

    Pada 2 Mac lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan kenyataan melarang semua pemimpin dan aktivis politik menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

    Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Jelas beliau, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran.

    Isu tersebut turut mendapat maklum balas daripada Abdul Hadi yang mengakui akan meneruskan ceramah seperti biasa walaupun dilarang berbuat demikian.

    Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, tindakan tersebut tidak menjadi satu kesalahan kerana larangan berkenaan sebelum ini telah dibuat dan katanya dalam Islam sendiri tidak memisahkan politik dan agama. – Sinar Harian

  • Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam di Sandakan hari ini kerana memberi wang rasuah kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik balik satu laporan polis terhadapnya.

    Menurut sumber, suspek lelaki beruusia 40-an bertugas di Beluran telah disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kes samun berkumpulan.

    Suspek kemudian menawar serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik pada pada 30 Okt 2021.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi pemberita, mengesahkan penahanan suspek ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

    Katanya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 beserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin, dan dijadualkan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat. – BERNAMA

  • Laporan Shahrir terhadap Thomas diklasifikasi ‘NFA’

    Laporan Shahrir terhadap Thomas diklasifikasi ‘NFA’

    LAPORAN polis oleh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad terhadap bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah guna kuasa diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

    Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai berkata, polis tidak akan menyiasat laporan itu kerana Thomas bertindak mengikut undang-undang.

    “Seorang peguam negara mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa sesiapa mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Peruntukan itu menyatakan bahawa “peguam negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di Mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera”.

    Shahrir dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram RM1 juta bulan lalu selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah ia tidak mahu meneruskan kes itu.

    Ini berlaku selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah, Thomas berkeras mahu mendakwa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu walaupun kertas siasatan kes tidak lengkap.

    Shahrir, bekas pengerusi Felda, kemudian membuat laporan polis terhadap Thomas kerana didakwa menyalahguna kuasa.

    Beliau juga mendakwa terdapat unsur pendakwaan berniat jahat dilakukan terhadapnya selaku seorang ahli politik dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

    Pada masa sama, beliau mendakwa kes mahkamah itu mencemarkan nama baiknya dan keluarga yang turut sama diheret dan diaibkan.

  • Gambar diguna bagi penipuan, DJ Dave buat laporan polis

    Gambar diguna bagi penipuan, DJ Dave buat laporan polis

    PENYANYI veteran, Datuk DJ Dave membuat laporan polis selepas mendapati seorang lelaki menggunakan gambarnya sebagai profil dalam aplikasi WhatsApp bagi tujuan meminjam wang.

    Menurut DJ Dave, 75, beliau sudah menerima lebih 100 panggilan telefon daripada kenalan yang dikatakan hampir terkena dengan sindiket penipuan terbabit.

    “Ingin saya maklumkan ada seorang lelaki yang menyamar sebagai saya, menggunakan gambar profil WhatsApp, kononnya untuk meminjam wang dari anda. Harap berhati-hati.

    “Saya sudah membuat laporan polis berkenaan isu ini dan mengharapkan kes seperti ini tidak berulang atau berlaku kepada orang lain,” katanya.

    DJ Dave yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mengakui terkejut dan dengan tidak menyangka perkara sebegitu terjadi pada dirinya.

    “Sebelum ini, saya ada mendengar daripada rakan-rakan mengenai ‘scammer’ ini, tetapi tidak sangka terjadi pada saya.

    “Saya terkejut kerana gambar yang digunakan sememangnya gambar profil saya. Jadi, saya terus tukar kepada gambar lain,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, DJ Dave menasihati kenalan untuk terus menghubunginya sekiranya masih ada yang menerima mesej sedemikian.

    “Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak terbabit dan sekiranya masih ada yang menerima hantaran WhatsApp, sila hubungi saya atau pengurus dengan segera,” katanya.

  • Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    SEBELAS badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang didakwa menghina institusi Diraja Pahang semasa berceramah baru-baru ini.

    Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Kuantan di sini hari ini. Antara NGO itu ialah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang.

    Bendaharinya Datuk Setia Penggawa Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggung Aziz menyifatkan tindakan ahli politik itu sebagai melampau batas. 

    “Saya memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi memberi pengajaran bahawa ada had dan batasan dalam berpolitik,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Abdul Manan berkata pihaknya juga kesal dengan tindakan Tengku Zulpuri Shah yang didakwa turut menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dalam ceramah itu, seperti yang ditontonnya menerusi klip video berdurasi 1.53 minit yang diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp. – BERNAMA

  • Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    POLIS Johor telah menerima lima laporan polis setakat hari ini berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran parti MUDA di Parit Jawa, Muar, Ahad lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Kita akan maklum nanti (perkembangan). Buat masa ini, polis akan jalankan siasatan,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Bernama, hari ini. 

    Terdahulu, ceramah yang membariskan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA itu diganggu oleh sekumpulan anak muda menaiki motosikal yang didakwa cuba menimbulkan provokasi.

    Difahamkan beberapa parti politik telah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan tersebut. – BERNAMA

  • Bapa pelakon remaja popular buat laporan polis dituduh meraba, pukul anak

    Bapa pelakon remaja popular buat laporan polis dituduh meraba, pukul anak

    POLIS mengesahkan bapa kepada seorang pelakon remaja perempuan membuat laporan polis berhubung pendedahan anaknya di media sosial, baru-baru ini, mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan dipukul lelaki itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, bapa pelakon itu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, semalam, untuk menafikan dakwaan itu.

    Bagaimanapun, beliau berkata, Polis Kuala Lumpur belum menerima sebarang laporan polis daripada pelakon remaja terbabit atau daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

    “Setakat ini, tiada laporan diterima berkaitan perkara itu di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Baru-baru ini, pelakon berusia 15 tahun menerusi satu temubual di YouTube ‘Bros Gang TV’ membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah.

    Menerusi temubual itu, pelakon itu turut mendakwa dia sering diraba dan dicium bapa kandungnya, ketika dia berusia lima hingga enam tahun.

    Lelaki itu juga didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelakon remaja itu termasuk melakukan onani di hadapannya.

    Malah dia dikatakan mengajak anak perempuannya itu menonton video lucah bersama-sama.

    Sementara itu, semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata, pihaknya bersedia memanggil pelakon remaja itu jika ada laporan dibuat.

    Katanya, setakat ini belum ada laporan rasmi diterima pihaknya dan beliau juga baru mengetahui perkara itu menerusi laporan media.

  • Laporan polis dakwaan fitnah menteri, polis akan panggil Rafizi

    Laporan polis dakwaan fitnah menteri, polis akan panggil Rafizi

    POLIS akan memanggil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam masa terdekat berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan menerima laporan yang dibuat malam tadi oleh pegawai khas Abdul Latiff berkenaan tulisan di blog Rafizi yang turut dikongsi di akaun Facebook dan Twitter miliknya.

    “Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 KK (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

    “Penama Rafizi Ramli akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Rafizi dalam beberapa siri pendedahan sebelum ini mendakwa Abdul Latiff dan ahli keluarganya mendapat keuntungan daripada projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion dan kontrak pertahanan lain semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan .

    Rafizi juga menegaskan bahawa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh, yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tersebut.

    Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Latiff, Sayed Ahmad Mu’izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya walaupun menteri berkenaan telah membuat penafian.

    Sayed juga berkata Rafizi mengelirukan orang ramai dengan hanya merujuk draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya, sepertimana yang disebut Abdul Latiff.

    Katanya, ia dilakukan dengan mengabaikan penafian yang terkandung dalam laporan berkenaan yang menyatakan juruaudit tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh individu yang terlibat dalam projek itu.

    Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS dan keluarganya juga tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013.

    Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang perbuatan yang dilakukan individu berkenaan tiada kaitan dengan dirinya.

  • Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan

    Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir ke Bukit Aman semalam bagi memberi keterangan berkenaan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera paling ramai terbabit rasuah.

    Tanpa memberi butiran lanjut, Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A. Skandaguru berkata Abdul Hadi hadir bersama peguamnya.

    “Beliau telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung. Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Hadi susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

    A.Skandaguru sebelum ini dilaporkan berkata polis menerima 28 laporan berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.- BERNAMA

  • Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    Laporan polis terhadap Ahmad Zahid, Abd Latiff

    PARTI Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis, berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap semasa Taklimat Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, klip video dan teks ucapan Zahid di majlis itu tersebar luas di media sosial.

    “Dalam ucapan itu, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    “Susulan itu, kami membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan termasuk terhadap beberapa individu lain yang turut berucap dalam majlis sama selain menyiasat pihak yang memuat naik ucapan berkenaan serta pihak menganjurkan majlis berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada pukul 11 pagi hari ini.

    Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Akmal Nasir turut membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini, terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

    Akmal berkata, laporan polis yang dibuat itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.

    “Pendedahan sudah dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli serta laporan juru audit dalaman menamakan Latiff yang disyaki terbabit dalam skandal LCS.

    “Namun, penafian Menteri berkenaan sehinggalah saat ini hanya melalui kenyataan di Facebook (FB) tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan polis bagi kedua-dua isu berkenaan.

    “Bagi laporan dibuat Amanah, kes dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Satu lagi laporan diterima berkaitan Laporan Audit LCS pula dirujuk ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut,” katanya.