Tag: Laos

  • 21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    SERAMAI 21 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja dan Laos diselamatkan, dengan lapan daripadanya pulang ke tanah air hari ini.

    Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, kejayaan itu hasil usaha Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan Vientiane.

    “Lapan mangsa dari Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 4.50 petang tadi dan disambut Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

    “Enam lagi mangsa dari negara itu dijangka tiba 11.50 malam ini. Selain itu, tujuh mangsa dari Laos tiba di KLIA pada 7.50 malam tadi,” katanya yang dipetik Harian Metro.

    Menurut laporan itu, semua mangsa diserahkan kepada polis untuk proses siasatan lanjut.

    Seramai 273 warga Malaysia berjaya diselamatkan sehingga semalam, dengan 213 daripadanya sudah dihantar pulang dan bakinya 60 lagi masih ditahan di depot tahanan imigresen sementara menunggu proses pengusiran.

    “Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kemboja dan Laos atas kerjasama serta komitmen dalam membantu mengesan dan menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket.”

    Katanya, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand dengan kerjasama kedutaan negara terbabit di Kuala Lumpur akan terus komited dalam usaha menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

    Ia turut menasihatkan pihak yang ingin membuat kenyataan berhubung isu itu supaya memaklumkan polis bagi membantu siasatan.

    “Ini penting bagi mengelakkan kenyataan tidak sahih dan disensasikan, disampaikan kepada umum, sekali gus mendatangkan kegusaran serta panik kepada orang ramai.”

  • 261 mangsa sindiket penipuan kerja telah dibawa pulang – Kementerian Luar

    261 mangsa sindiket penipuan kerja telah dibawa pulang – Kementerian Luar

    SERAMAI 261 orang mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja warganegara Malaysia telah berjaya diselamatkan sehingga kini.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Sabtu, jumlah terbaharu itu melibatkan 171 orang mangsa yang telah dibawa balik ke Malaysia dan baki seramai 90 orang masih menunggu proses penghantaran pulang.

    Penerbangan AirAsia AK535 pada 30 Sept adalah penerbangan terkini yang membawa pulang 13 lagi mangsa.

    Pihak Kementerian Luar dan Perwakilan Malaysia di negara-negara yang terlibat terus komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama erat dengan Kerajaan negara-negara yang berkenaan bagi menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini ke tanah air dengan selamat.

    “Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

    “Kementerian Luar sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” tambah kenyataan itu.

    Untuk menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara lebih bersepadu dan menyeluruh, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah berlangsung secara dalam talian pada 27 Sept 

    Mesyuarat turut dianggotai oleh sembilan Kementerian atau Agensi lain iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Peguam Negara (AGC); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM); Kementerian Sumber Manusia (KSM); Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

    Antara cadangan, tindakan yang telah dan akan dilaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini adalah, antaranya mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Perwakilan negara-negara yang terlibat pada 30 Sept.

    Ketua-ketua Perwakilan asing yang berkenaan telah menyatakan komitmen Kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini.

    Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand juga telah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu ini secara cepat dan tuntas.

    Kementerian Luar bersama-sama PDRM juga kini menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih erat di antara PDRM dengan pihak berkuasa negara-negara yang berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini.

    Kementerian Luar juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak K-KOM untuk menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih komprehensif dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terpedaya dan terjebak dalam sindiket ini.- BERNAMA