Tag: Lantikan politik

  • Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    PELANTIKAN pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan diteliti semula, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya bincang dengan Presiden UMNO Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), belum dihantar surat, kita akan teliti semula, belum ada pelantikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya.

    Anwar berkata demikian bagi mengulas pelantikan beberapa pemimpin UMNO ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

    Pada 5 April lalu, Abdul Azeez Abdul Rahim diumum oleh Zahid sebagai pengerusi Keda.

    Sementara itu, Anwar berkata pelantikan pemimpin UMNO ke dalam GLC berdasarkan kelayakan dan mereka yang dilantik perlu mengikuti syarat ketat.

    “Ia juga bukan syarikat tersenarai awam, kalau ada kelayakan kita akan lantik.

    “Syarat-syarat kita ketat, mereka (yang dilantik) mesti bertanggungjawab, tak boleh berbelanja lebih, elaun juga dihadkan ikut kelayakan,” katanya. – BERNAMA

  • Ahmad Said dilantik semula Pengerusi Ketengah, kata Zahid Hamidi

    Ahmad Said dilantik semula Pengerusi Ketengah, kata Zahid Hamidi

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan semula Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

    Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, lantikan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

    Menurut Zahid, pembabitan kembali bekas Menteri Besar itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

    Katanya, Ketengah juga akan memberi tumpuan dalam melahirkan usahawan baharu di kalangan penduduk kawasan luar bandar.

    Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di Kuala Nerus, malam tadi.

    Dalam pada itu, Zahid mengesahkan semua calon parti itu akan menggunakan lambang dacing bagi Pilihan Raya Negeri di enam negeri nanti.

    Katanya, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

    “Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • Lantikan politik: Pendirian bercelaru kerajaan PH-BN

    Lantikan politik: Pendirian bercelaru kerajaan PH-BN

    Pada 15 Disember tahun lalu apabila Anwar Ibrahim baru saja memegang jawatan Perdana Menteri, antara tindakan terawal dilaksanakan ialah menamatkan jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik bagi badan berkanun persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat kementerian kewangan (diperbadankan), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi utama.

    Maka, para penyokong PH pun bersorak kegembiraan kerana parti yang disokong mereka dikatakan telah mengotakan prinsip-prinsip yang diperjuangkan iaitu orang politik tidak wajar menjawat jawatan dalam GLC.

    Mereka percaya bahawa janji PH nombor 22 dalam Buku Harapan yang menyatakan bahawa: “Kerajaan PH akan memastikan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

    Namun, semua itu tidak semudah yang disangka kerana hanya dalam tempoh singkat kerajaan telah mengumumkan beberapa lantikan politik walaupun mendapat bantahan beberapa pihak.

    Paling lantang NGO Kumpulan Reformasi Pilihan Raya (Bersih) yang dulunya dilihat amat pro kepada PH.

    Pengerusi Bersih, Thomas Fann dilaporkan kesal dengan kerajaan PH-BN yang meneruskan amalan melantik ahli politik dalam GLC walaupun Anwar katanya sebelum ini pernah mendesak reformasi berhubung perkara itu sejak dua dekad lalu.

    Kata Thomas, pelantikan ahli politik merugikan pengundi kerana akan menjejaskan tumpuan mereka di kawasan masing-masing apabila terpaksa membahagikan tugas korporat dan juga khidmat di kawasan Parlimen.

    Pakar ekonomi dan politik, Dr Edmund Terence Gomez pula berpandangan bahawa pelantikan ahli politik dalam GLC akan menyebabkan banyak mudarat antaranya kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik dan peribadi.

    Dakwanya, sejarah telah membuktikan bahawa wujud pemimpin politik yang dilantik memegang jawatan GLC telah melakukan penyalahgunaan kuasa.

    Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat pula berkata, amalan lantikan politik dalam GLC hanya akan melemahkan peluang kemenangan parti-parti kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat ini.

    Bagi Tok Chey, tidak salah untuk melantik orang politik dalam GLC asalkan mereka mempunyai kelayakan dan kepakaran dalam bidang tersebut dan bukannya dibuat kerana mahu membalas budi sokongan politik.

    Ini kerana sesetengah orang politik mempunyai kepakaran yang hebat sebelum mereka terjun melibatkan diri dalam bidang politik.

    Pengalaman yang mereka miliki boleh dimanfaatkan untuk memajukan GLC asalkan tiada elemen penyelewengan dan berniat mahu menjarah wang GLC bagi kegunaan peribadi.

    Jika dilantik orang politik yang betul, sesebuah GLC akan dapat berfungsi dengan lebih baik kerana jaringan yang mereka miliki berbanding ia diterajui oleh golongan profesional.

    Cumanya apabila kerajaan PH meneruskan lantikan politik, ia menimbulkan masalah kerana dilihat bercanggah dengan pendirian yang mereka perjuangkan selama ini hinggakan penyokong mereka sendiri berasa tidak selesa.

    Mereka jadi keliru dengan pendirian pemimpin atasan yang cakap tidak serupa bikin apabila sudah berada di tampuk kuasa – amat berbeza ketika berada di kerusi pembangkang.

    Paling menimbulkan rasa kurang senang penyokong PH ialah apabila BN yang baru menjadi rakan kerjasama dalam kerajaan PH-BN telah membuat beberapa lantikan politik seolah-olah membelakangkan kuasa yang ada pada parti-parti utama kerajaan.

    Bagi Tok Chey, apa yang berlaku ini dapat membuka mata rakyat bahawa segala sisi sebenar PH yang bercelaru dalam setiap prinsip dan keputusan yang berubah-ubah mengikut kepentingan kuasa dan politik mereka.

  • Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    PELUANG parti-parti kerajaan untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dilihat lemah berikutan isu lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Menurut penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan hilang kelayakan moral untuk mendakwa mereka berlainan daripada kerajaan sebelumnya.

    Beliau berkata, dengan mengikuti amalan lapuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pembatalan pelantikan politik sebelum ini akan dipandang sinis sebagai semata-mata untuk merampas imbuhan daripada yang kalah, bukannya untuk menjaga kepentingan awam.

    “Amalan sebegini sudah berlaku di zaman BN dan menjadi paling teruk semasa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila hampir 90 peratus ahli Parlimen kerajaan yang bukan menteri diberikan jawatan lumayan.

    “Jadi, apabila amalan ini diteruskan, pandangan sinis terhadap kerajaan baharu meningkat, maka pengundi medan tengah yang pada asalnya mungkin cendorong menyokong Kerajaan Perpaduan mungkin malas mengundi.

    “Ia seterusnya melemahkan peluang kemenangan parti kerajaan dalam PRN akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, pelantikan ahli politik untuk mengisi jawatan tinggi di badan berkanun dan GLC juga akan menimbulkan dua masalah utama.

    “Pertama, kalau ahli-ahli politik ini tidak berkeupayaan untuk memegang tanggungjawab, maka pelantikan ini bermaksud kepentingan awam dikorbankan untuk menyaji orang parti pemerintah. Ini kerana badan-badan berkanun dan GLC dinafikan peluang untuk mendapat bakat terbaik.

    “Kalau yang dilantik ialah wakil rakyat, sekalipun mereka berkeupayaan akan terjadi percanggahan kepentingan kerana mereka yang seharusnya menyelia pantau di Dewan Rakyat kini duduk dalam pihak yang patut diselia pantau,” jelasnya.

    Kerajaan dikritik hebat susulan beberapa siri pelantikan politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Antara yang dilantik ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sementara Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Pengerusi Felcra.

    Selain itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pengerusi cabang pelaburan milik Kementerian Kewangan iaitu MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd.

    Terbaharu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Risda.

  • Husam sahkan dilantik Pengerusi SPNB

    Husam sahkan dilantik Pengerusi SPNB

    BEKAS naib presiden Amanah Husam Musa mengesahkan pelantikannya sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang baharu.

    Bagaimanapun bekas exco kanan Kelantan itu enggan mengulas lanjut mengenai pelantikan tersebut buat masa ini.

    “Ambo (saya) belum masuk pejabat lagi, insya-Allah hari Khamis cadangnya. Nanti selepas itu (bagi kenyataan),” katanya ringkas, lapor Malaysiakini.

    Husam berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelantikannya selepas dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

    Terdahulu portal berita tempatan yang memetik sumber turut melaporkan pelantikan Husam.

    Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 Husam pernah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

    Pada pilihan raya umum lalu Husam dicalonkan PKR untuk mewakili PH di Parlimen Pasir Mas, namun tewas kepada penyandangnya daripada PAS Ahmad Fadhli Shaari.

  • BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    PELANTIKAN dua jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikecam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

    Ia merujuk kepada lantikan dua pemimpin UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa 1 Mac 2023.

    Satu lagi lantikan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkuatkuasa 10 Mac lalu.

    Pertubuhan sivil itu juga mengecam pelantikan Datuk Husam Musa selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

    “Pelantikan-pelantikan ini diumumkan ketika UMNO sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang, justeru pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan.

    “Kami mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang usaha awalnya untuk menyelaraskan proses pelantikan GLC dan memerangi kronisme,” kata nya menerusi kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Menerusi kenyataan sama, BERSIH menjelaskan sekurang-kurangnya 25 ahli politik telah dilantik sebagai pengarah dalam GLC atau Badan Berkanun semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

    Bilangan ini meningkat semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik telah dilantik.

    “Sementara kami tidak sepenuhnya melarang ahli politik untuk memegang sebarang jawatan dalam GLC atau badan berkanun, proses pelantikannya perlu direformasi supaya mana-mana pelantikan dibuat dengan telus selepas calon-calon menjalani penelitian agar mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan yang tepat, dan bukannya sekadar ‘ganjaran politik’ untuk mendapatkan sokongan,” katanya lagi.

    Bagi tujuan mereformasi pelantikan jawatan tertinggi GLC, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan badan berkanun, BERSIH telah mencadangkan:

    a) Larangan melantikan wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun. Hal ini telah dilaksanakan di India dan Korea Selatan, dan perundangan yang serupa boleh dikaji dan diteladani.

    b) Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan. Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara wewenang.

    c) Penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. Sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini.

    Selain itu, BERSIH turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan reformasi terbabit dengan segera selain meletakkan mekanisme yang diperlukan bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekali gus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut.

  • Shahidan bidas lantikan politik kerajaan PH-BN boleh pula

    Shahidan bidas lantikan politik kerajaan PH-BN boleh pula

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menyindir Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan mendakwa PH yang sebelum ini menentang rasuah tetapi, kini sudah berjinak-jinak dengan jenayah itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dalam perbahasan di Dewan Rakyat, juga membangkitkan persoalan mengenai pelantikan beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Pada 14 December 2022, Jemaah Menteri kerajaan PH-BN memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan mereka.

    “Pada 10 March 2023, bekas Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Mara yang baharu. Asyraf Wajdi kawan baik saya, saya memang menyokong pelantikannya.

    “Tetapi masalahnya PH kena isytiharkan kepentingan mereka bahawa pelantikan politik sekarang ini boleh buat pula.

    “Dulu mereka kata tidak mahu pelantikan politik tetapi sekarang sudah mahu pula. Jadi saya minta diubah. Berubahlah. Kami terimalah sebab kerajaan selalu berubah-ubah diri mereka. Dulu menentang rasuah, sekarang nampak macam berjinak-jinak pula,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Shahidan berkata, kerajaan yang diterajui PH perlu mengubah pendirian dan akui lantikan politik boleh dibuat dalam kalangan pemimpinnya.

    “Saya cuma minta kerajaan PH yang disokong oleh BN dan juga UMNO ini supaya ubah pendirian mereka bahawa pelantikan politik boleh dibuat dan lantik dalam kalangan Backbenchers ini yang tiada jawatan seperti Rara (Ahli Parlimen Bentong) semua ini lantiklah sebagai pengerusi,” jelasnya.

  • Lantikan politik dikritik banyak pihak, disifatkan ‘cakap tak serupa bikin’

    Lantikan politik dikritik banyak pihak, disifatkan ‘cakap tak serupa bikin’

    BEBERAPA pihak mengkritik langkah kerajaan PH-BN melantik beberapa pemimpin parti politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan dengan menyifatkan langkah itu sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’.

    Menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), lantikan politik itu bercanggah dengan pendirian kerajaan dan keputusan Kabinet yang sebelum ini menamatkan lantikan politik secara serta merta.

    Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, menyifatkan pelantikan politik bercanggah pendirian kerajaan sebelum ini dan merugikan pengundi jika ia membabitkan wakil rakyat pada masa ini.

    “Masa dan perhatian mereka akan dibahagikan antara melaksanakan tugas parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan ADUN sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC.

    “GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang yang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan.

    “Dalam senario terburuk, dana boleh dialihkan secara rasuah untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

    Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menangguhkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi FELCRA bagi membolehkan penyelarasan lantikan di semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi lain, dilaksanakan.

    Baru-baru ini, Ahmad Zahid turut mengesahkan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

    Minggu lalu, kerajaan juga mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau PKR, Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.

    MyCreative ialah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.

    Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, berkata lantikan politik seumpama itu sudah pastinya memberikan persepsi kekeliruan kepada semua pihak.

    Katanya, tindakan itu seolah mengambil jalan pilih kasih dan cakap tidak serupa bikin.

    “Sebelum ini kerajaan campuran mengambil keputusan penamatan jawatan lantikan politik pengerusi dan ahli lembaga pengarah kerana lantikan politik tapi kini lantikan politik terusdigunakan.

    “Sekejap kata boleh dan sekejap kata tidak boleh? Kelangsungan konsistensi itu memang tiada,” katanya.

    Beliau berkata, dengan itu, ketidakpercayaan rakyat semakin menebal terhadap ketelusan kerajaan dalam melaksanakan janji mereka.

    “Apa pun justifikasi yang mereka berikan kepada rakyat, ia tetap sukar diterima dan perubahan keputusan juga akan dijadikan satu parameter untuk mengukur kerajaan campuran ini dari segi ketelusan penyaluran maklumat kepada rakyat,” katanya.

    Dalam perkembangan yang sama, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata MCW memandang positif pelantikan pemimpin politik dalam GLC.

    Katanya, ahli politik yang mempunyai pengalaman dan kepakaran serta kelulusan profesional wajar dilantik jika tiada calon lain yang lebih berkelayakan.

    “Ahli politik ini pasti mempunyai akses dan sumber penting seperti kawalan dan pengaruh politik yang diperlukan untuk menjadikan GLC berjaya.

    “Selain itu, lantikan ini juga dapat memastikan bahawa keputusan-keputusan GLC selaras dengan dasar kerajaan dan objektif nasional.

    “Namun, mereka mestilah diberikan latihan pengukuhan integriti dalam memastikan masalah salah guna kuasa yang sering berlaku dapat dikekang,” katanya.

    Beliau juga mahu kuasa yang diberikan kepada pemimpin politik dipantau dengan teliti dengan pelbagai SOP diperkenal dan diperketatkan.

    “Mereka perlu diberikan taklimat khusus berkenaan limitasi kuasa sebagai rujukan dan garis panduan pentadbiran. Nilai integriti diri mereka juga perlu diuji dan diperkasakan.

    “Pelantikan terkini kerajaan ini pasti akan diteropong secara terperinci kerana mereka pernah menyatakan untuk tidak mahu lantikan politik menerajui GLC,” katanya.

  • Jangan ulang silap lama lantik ahli politik dalam GLC – Pakar ekonomi

    Jangan ulang silap lama lantik ahli politik dalam GLC – Pakar ekonomi

    KEPUTUSAN kerajaan melantik ahli politik mengetuai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan dipersoalkan pakar ekonomi, Ramon Navaratnam.

    Beliau menegaskan, pelantikan ahli politik itu seperti mengulangi kesilapan lama.

    “Tidak adakah pemimpin profesional yang bukan ahli politik?” tanya Ramon Navaratnam, bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan dan bekas presiden Transparency International Malaysia, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas mengenai pelantikan bekas ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Mara, dan Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures baru-baru ini.

    Navaratnam berkata, pelantikan itu tidak konsisten dengan amalan tadbir urus yang baik.

    “Berbanding menuju ke arah meningkatkan profesionalisme, kerajaan mengulangi kesilapan lama,” katanya kepada FMT.

    “Ini memberikan gambaran bahawa (kerajaan) menawarkan ganjaran dan pekerjaan kepada ahli parti.”

    Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih turut mengkritik pelantikan ahli politik kerajaan ke dalam GLC.

    Pengerusinya, Thomas Fann baru-baru ini berkata, amat dikesali Perdana Menteri Anwar Ibrahim membenarkan pelantikan sedemikian selepas berkempen atas platform reformis.

    Selama bertahun-tahun, aktivis dan NGO menggesa agar pelantikan dalam GLC dibuat berdasarkan merit.

    Seorang lagi pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez berkata, beliau percaya pelantikan itu bertujuan menarik minat pengundi Bumiputera menjelang enam PRN yang mesti diadakan tahun ini.

    “Dengan PRN belum selesai di enam negeri, pelantikan-pelantikan ini terutamanya menimbulkan kebimbangan,” katanya kepada FMT.

    Menurutnya, Mara mempunyai kepentingan yang meluas dalam perniagaan dan pendidikan, dan pengerusinya boleh mempunyai pengaruh yang besar ke atas institusi dalam konglomerat itu. Ini boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, katanya.

    Beliau bertanya bagaimana kerajaan akan memastikan Mara tidak dieksploitasi untuk kepentingan Umno, memandangkan Asyraf adalah pengerusi Mara dan badan itu berada bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

    Gomez menggesa kerajaan memberikan justifikasi bagi pelantikan dua ahli politik itu.

    Katanya, wujud keperluan bagi keseluruhan ekosistem GLC dikaji semula dengan tujuan membaharui syarikat-syarikat tersebut demi kepentingan Malaysia dan selaras dengan matlamat penubuhannya.

    “Kita juga memerlukan suruhanjaya bebas untuk memantau perjalanan ekosistem GLC yang luas di Malaysia,” katanya.

  • KJ bidas lantikan politik dalam GLC

    KJ bidas lantikan politik dalam GLC

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).

    Menurutnya, isu tersebut akan memberi kesan terhadap pendirian kerajaan yang menolak amalan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran.

    “Lantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang disahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sangat berbeza dengan pendirian mereka sebelum ini.

    “Walaupun Mara bukan GLC namun ia adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang,” katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 3, disiarkan di Youtube, hari ini.

    Program tersebut turut menampilkan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mengupas lanjut isu lantikan politik yang kini berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, lantikan politik PH di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berbeza semasa Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan dalam parti komponen itu.

    “Sewaktu PH 1.0 pimpinan Tun Dr Mahathir tidak ada lantikan politik dalam GLC. Tetapi hal tersebut berlaku dalam agensi kerajaan ketika pemerintahan beliau.

    “Jadi bagi saya semua sama sahaja. Jadi saya tak boleh kata saya menentang lantikan politik sebab saya pernah berada di kedudukan itu,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Shahril turut mengulas, semasa PH berada di blok pembangkang, terdapat beberapa isu yang akan dibangkitkan terutama jika berkaitan dengan entiti kerajaan.

    Tambahnya, hal itu berbeza sekali selepas menjadi kerajaan apabila mereka mengambil pendekatan yang lebih fleksibel.

    “Terdapat ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilantik dalam entiti yang berkaitan kerajaan,” katanya lapor Sinar Harian.