Tag: Langkawi

  • Vaksinasi tak matang: Dua wanita diarah berpatah balik dari Langkawi

    Vaksinasi tak matang: Dua wanita diarah berpatah balik dari Langkawi

    HASRAT dua pelancong wanita bercuti ke Langkawi terbantut selepas diarahkan polis berpatah balik ke Kuala Perlis yang mendapati suntikan dos vaksin Covid-19 mereka belum cukup tempoh matang 14 hari.

    Dalam kejadian di Terminal Feri Kuah, Langkawi pada pukul 12 tengah hari semalam, kedua-dua wanita berusia 32 dan 35 tahun itu didapati melakukan kesalahan terbabit semasa pemeriksaan polis ke atas semua penumpang.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka dilaporkan bersama-sama menaiki feri penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis untuk bercuti ke Langkawi.

    Katanya, pemeriksaan anggota polis bertugas di balai ketibaan Terminal Feri Kuah mendapati kedua-dua wanita berkenaan menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

    “Namun pemeriksaan lanjut mendapati, tempoh matang suntikan dos kedua diterima mereka belum genap 14 hari atau kurang tiga hari seperti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Shariman berkata, kedua-dua wanita itu kemudiannya dirujuk kepada Pegawai Perubatan yang berada di lokasi pemeriksaan bagi tujuan pengesahan status vaksin mereka.

    “Berikutan itu, kedua-duanya diarah berpatah balik ke Kuala Perlis dengan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada pukul 2 petang semalam,” ujar beliau.

    Pada soalan mengenai projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang masuk hari kelima hari ini, Shariman memberitahu, pihaknya belum mengeluarkan sebarang kompaun ke atas pelancong kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga hari ini.

    Namun beliau menegaskan, semua pelancong yang ingin masuk dan ketika berada di Langkawi dinasihatkan agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak tindakan diambil.

  • Muhyiddin harap kerajaan dengar rayuan pengusaha hotel, inap desa

    Muhyiddin harap kerajaan dengar rayuan pengusaha hotel, inap desa

    MAJORITI pengusaha hotel dan inap desa merayu kepada kerajaan untuk memberikan mereka ruang dan insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga memberikan komitmen untuk memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin bersama jaminan semua fasiliti dan fasiliti penginapan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    “Sebagaimana yang kita sedia maklum, sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pada tahun 2019 sebelum pandemik, sektor ini menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Berikutan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan, sektor ini antara sektor yang paling terjejas oleh pandemik COVID-19,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Hari ini, Muhyiddin berpeluang untuk memantau dan melihat sendiri persediaan pembukaan sektor pelancongan domestik di Pulau Langkawi seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Pulau Langkawi merupakan destinasi pertama yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan oleh MPN sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

    Muhyiddin turut diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abd Mutalib dan menyertai majlis dialog bersama wakil-wakil pengusaha hotel, pengusaha inap desa, pengusaha kereta sewa dan pemandu teksi.

    Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

    Pada majlis dialog tersebut, Muhyiddin telah menerima beberapa memorandum daripada wakil-wakil pengusaha industri pelancongan.

    Beliau akan membawa pandangan dan cadangan mereka kepada MPN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Muhyiddin menambah, di bawah pakej rangsangan ekonomi yang telah beliau umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi.

    Antaranya, kata beliau, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.

    Muhyiddin memberitahu, sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa.

    “Besar harapan saya agar kejayaan pembukaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan dengan selamat dan teratur.

    “Kejayaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini juga bakal menjadi penanda aras kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain dalam masa terdekat, insya-Allah,” jelasnya.

    Beliau berharap agar semua yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik terutamanya peniaga kecil dan sederhana, dapat menikmati manfaat daripada pembukaan gelembung pelancongan ini.

    “Ingin saya tegaskan, walaupun kita telah lengkap divaksin dan diberikan beberapa kelonggaran, saya berharap kita semua dapat terus patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

    “Kepada mereka yang sudah dan bakal tiba untuk becuti di Pulau Langkawi, saya ucapkan selamat beristirahat dan semoga anda semua terus dilindungi, insya-Allah,” ujarnya.

  • Destinasi Langkawi: 1,520 penumpang, 8 penerbangan, seorang positif

    Destinasi Langkawi: 1,520 penumpang, 8 penerbangan, seorang positif

    SERAMAI 1,520 penumpang berlepas menerusi lapan penerbangan ke Langkawi sempena bermulanya projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi, hari ini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kesemua penerbangan itu melibatkan empat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), satu penerbangan Malindo Air dan tiga AirAsia.

    “Saya mendapati ada penumpang telah membawa kit ujian kendiri untuk air liur dan ada pula yang membeli daripada kaunter jualan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2),” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

    Ka Siong yang meninjau proses ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen pengesanan Covid-19 terhadap penumpang ke Langkawi di KLIA dan KLIA2 berkata, setakat tinjauannya pada Khamis, terdapat seorang penumpang disahkan positif Covid-19 selepas ujian pengesanan dijalankan dan telah menjalani proses susulan diperlukan.

    “Beliau (penumpang) juga akur apabila tidak dibenarkan menaiki penerbangan demi keselamatan penumpang lain. Ahli keluarga penumpang yang disahkan positif melalui RTK Antigen juga tidak menaiki pesawat kerana mempunyai kontak rapat,” katanya.

    Ka Siong yang diiringi Pengurus Besar Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Shahrunnizam Abd Jamil berkata, beliau berpuas hati melihat proses ujian RTK Antigen itu yang berjalan lancar sambil dibantu para pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Beliau berkata, ujian pengesanan Covid-19 itu dilaksanakan semata-mata mahu menjamin keselamatan semua pihak dan dalam masa sama memastikan projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi berjalan baik.

    Selain itu, Ka Siong berkata, ketika berinteraksi dengan para penumpang termasuk pelancong asing dari Perancis dan Korea Selatan, didapati mereka gembira apabila sektor pelancongan domestik mula dibuka menerusi projek rintis berkenaan.

    Beliau berkata, mereka juga menyambut baik usaha kerajaan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengenakan syarat ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan demi kebaikan semua pihak.

    Ka Siong berkata, suasana di lapangan terbang yang sudah lama sunyi kini kembali ceria dengan para kakitangan penerbangan mula mengukir senyuman apabila dibenarkan kembali berkhidmat.

    Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan supaya usaha kerajaan untuk memulihkan negara khususnya sektor ekonomi dan pelancongan dapat berjalan dengan baik. – Bernama

  • Pemantauan pematuhan SOP di Langkawi di bahagi tiga zon

    Pemantauan pematuhan SOP di Langkawi di bahagi tiga zon

    PEMANTAUAN pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pembukaan semula industri pelancongan Langkawi mulai esok dibahagikan kepada tiga zon yang tertumpu kepada ‘hotspot’ atau lokasi tumpuan pelancong.

    Pengerusi Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi Saiful Anwar Azmi berkata Zon Satu melibatkan sekitar kawasan Pekan Kuah hingga Ayer Hangat, Zon Dua membabitkan kawasan dari Ayer Hangat hingga Pantai Kok, manakala Zon Tiga dari Pantai Kok hingga Pantai Tengah.

    “Dalam setiap zon ini terdapat lokasi atau produk pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai. Kita bahagikan mengikut zon supaya mudah untuk pemantauan SOP dibuat.

    “Pasukan pemantauan SOP contohnya polis bergerak membuat pemantauan di lokasi pelancongan mengikut zon ini dan mereka akan pastikan semua SOP COVID-19 dan SOP gelembung pelancongan dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai persediaan berkaitan pemantauan pematuhan SOP ke atas pelancong yang akan mengunjungi Langkawi susulan pembukaan semula pulau itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai esok.

    Katanya, antara lokasi atau produk pelancongan yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi termasuk Terminal Jeti Kuah, Dataran Lang, pusat beli belah, premis bebas cukai, lapangan terbang, pusat pelancongan, pusat sukan dan rekreasi serta pantai.

    Dalam pada itu, Saiful Anwar yang juga Pegawai Daerah Langkawi berkata enam jawatankuasa kecil diwujudkan di bawah Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi yang berperanan memastikan projek rintis gelembung pelancongan itu berjalan lancar dan berjaya.

    Katanya, jawatankuasa kecil tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.

    “Pelbagai agensi terlibat sama dalam jawatankuasa-jawatankuasa ini termasuk agensi kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan…(Kita harap) Langkawi akan jadi pusat pelancongan terbaik bukan sahaja di peringkat negara ini tetapi di peringkat dunia,” katanya.

    Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan-persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada task force itu.

    Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana semua yang terlibat itu diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek rintis gelembung pelancongan berkenaan.- BERNAMA

  • Hanya pelancong berdaftar dengan DOF dibenarkan di Langkawi

    Hanya pelancong berdaftar dengan DOF dibenarkan di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEBERAPA peraturan baharu akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah bersama-sama Jabatan Perikanan (DOF) bagi memelihara biodiversiti Taman Laut Pulau Payar dekat Langkawi.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara peraturan tersebut adalah, hanya pengusaha pelancong yang berdaftar dengan DOF Kedah dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan di perairan taman laut tersebut.

    Selain itu katanya, kemasukan pelancong di Taman Laut Pulau Payar akan dihadkan kepada 100 orang seminggu.

    “Taman Laut Pulau Payar juga akan ditutup kepada pelancong pada setiap Selasa dan Rabu.

    “Sektor pelancongan di situ juga akan ditutup selama tiga bulan iaitu antara Mac hingga Mei setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu katanya, kerajaan negeri turut memutuskan untuk memberhentikan semua projek pembangunan di pusat pelancongan itu bagi memastikan kawasan tersebut terpelihara sepenuhnya.

    Menurutnya, kerajaan negeri telah melantik kontraktor untuk membersihkan segala sisa-sisa konkrit di kawasan tersebut bagi memastikan litupan karangan dapat berkembangan dengan baik.

    Dalam pada itu beliau berkata, kajian dijalankan sepasukan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Coral Cay Conservation pada 2004 dan 2005, telah mengklasifikasikan peratusan litupan karang antara 0 hingga 50 peratus di Taman Laut Pulau Payar.

    “Begitu pun pemantauan litupan karang tahunan yang dijalankan DOF pada 202 mendapati kadar litupan karang berada pada tahap 60.8 peratus berbanding 50.88 peratus pada 2019,” katanya.

    Tambahnya, kebanyakan spesis ikan di Taman Laut Pulau Payar adalah daripada kumpulan ikan bernilai ekonomi tingi seperti kerapu dan ikan cupak.

    “Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha DOF ke arah peningkatan sumber perikanan sekali gus membantu kesejahteraan komuniti dan sosioekonomi nelayan serta penduduk tempatan,” katanya.

  • Pelancong ke Langkawi guna pesawat tak perlu surat polis – KJ

    Pelancong ke Langkawi guna pesawat tak perlu surat polis – KJ

    INDIVIDU yang menggunakan pesawat udara untuk melancong ke Pulau Langkawi, Kedah bermula 16 Sept ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Khairy dalam ciapan di laman Twitter berkata hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri tersebut sahaja perlu berbuat demikian.

    “Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, surat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya diperlukan sekiranya pelancong melalui jalan darat,” katanya.

    Pada 9 Sept, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin COVID-19.- BERNAMA

  • Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    PELANCONG domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

    Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

    “Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

    Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

    Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

    Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

    Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

    Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu. 

    Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

    Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

    “Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

    Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

    Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.- BERNAMA

  • Langkawi projek rintis gelembung perjalanan mula 16 Sept.

    Langkawi projek rintis gelembung perjalanan mula 16 Sept.

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan atau “travel bubble” berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

    Beliau berkata, sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September.

    “Sukacita dimaklumkan bahawa, mesyuarat (Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19) bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program “travel bubble” berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

    “Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September.

    “Destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

    Oleh itu katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

    “Selain itu, saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

    “Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama Covid-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” tambahnya.

  • Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    MAYAT seorang lelaki yang disyaki terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaikinya bersama tiga rakan terlanggar boya di selatan Pulau Lalang dekat Langkawi pada Ahad lepas, ditemukan di kawasan paya bakau di Kuala Temonyong, semalam.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata mayat Mohamad Ewandi Husnan, 22, yang masih dalam keadaan lengkap memakai seluar panjang berwarna hitam itu ditemukan terdampar di kawasan paya bakau itu oleh orang awam pada 4.30 petang.

    “Mayat itu telah dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (Langkawi) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata keluarga mangsa membuat pengesahan bahawa mayat yang ditemukan itu adalah Mohamad Ewandi berdasarkan pengecaman pakaian dan ciri-ciri fizikal mayat berkenaan.

    Sebelum kejadian pada 10 pagi itu, mangsa dilaporkan bersama tiga lagi rakannya yang berumur antara 18 dan 53 tahun dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

    Pelanggaran itu menyebabkan kesemua mangsa terjatuh di kedudukan 0.5 batu nautika Pulau Lalang, namun tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.- BERNAMA