Tag: Langgar SOP

  • 166 kompaun RM166,000 langgar SOP di pusat hiburan

    166 kompaun RM166,000 langgar SOP di pusat hiburan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESERONOKAN 166 pengunjung termasuk pekerja premis hiburan di Taman Ekoflora, Setia Indah, Johor Bahru terbantut apabila diserbu pihak polis malam tadi.

    Mereka yang berusia antara 20 hingga 45 itu ditahan kerana melanggar standard operasi prosedur (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa dalam peralihan fasa endemik.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, menerusi operasi itu yang bermula jam 11.30 malam, turut ditahan seorang lelaki kerana bertindak menghalang penjawat awam melakukan tugas.

    “Tindakan kompaun berjumlah RM166,000 telah dikenakan terhadap kesemua mereka di bawah Peraturan (17) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

    Kompaun berjumlah RM166,000 dikenakan terhadap kesemua mereka di bawah Peraturan (17) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

    “Individu yang ditahan pula diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi kesemua SOP ditetapkan kerajaan dalam tempoh PPN ketika ini.

    “Pada masa ini, tiada sebarang pengumuman berhubung kebenaran diberikan kepada pusat hiburan untuk kembali beroperasi, mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan,” tegasnya.

    Sehubungan itu, beliau berharap orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang salah laku boleh menghubungi bilik gerakan Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-2254074.

  • Langgar SOP: 56 pengunjung kelab malam dikompaun RM320,000

    Langgar SOP: 56 pengunjung kelab malam dikompaun RM320,000

    POLIS mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM320,000 terhadap 56 pengunjung di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, malam tadi.

    Tindakan itu dikenakan kerana pengunjung terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, Ops Khas Kontinjen Kuala Lumpur itu dijalankan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

    “Pemilik premis dikompaun sebanyak RM25,000 kerana didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN fasa empat (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam).

    “Seramai 56 pengunjung terdiri daripada 36 lelaki dan 20 wanita pula dikenakan kompaun berjumlah RM320,000 keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Azman berkata, ujian saringan air kencing yang dibuat terhadap 23 orang pengunjung yang dipilih secara rawak kesemuanya didapati negatif.

    “Operasi sedemikian akan dijalankan dari masa ke semasa dalam usaha membantu memerangi penularan Covid-19,” katanya.

  • Sertai perarakan kematian, 12 lelaki dihadapkan ke mahkamah

    Sertai perarakan kematian, 12 lelaki dihadapkan ke mahkamah

    SERAMAI 12 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menyertai perarakan kematian sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 13 Oktober lalu.

    Bagaimanapun, tujuh daripada mereka mengaku bersalah manakala empat daripada mereka serta seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

    Mereka yang mengaku bersalah R. Kumar, 39; G. Rukumaran, 33; M. Kanes Kumaar, 28; A. Elango, 35, A. Veera Putthiran, 19; S. Muniswaran, 30 dan S. Rishantheren, 23.

    Kesemua mereka dijatuhi hukuman denda RM3,500 serta penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Sementara itu, D. Stephen Dass, 35; M. Sivasangar, 49; K. Harjun, 18; Mazlan Hassan Sha, 35 dan remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

    Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 November depan.

    Mahkamah turut membenarkan remaja berusia 17 tahun diikat jamin RM1,500 dengan syarat hanya boleh dijamin oleh ibu atau bapanya.

    Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan cara menjalankan perarakan kematian bagi tujuan keagamaan di dalam kawasan tempatan jangkitan.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Besar Kerian Kedah, Sungai Jawi dalam daerah Seberang Perai Selatan kira-kira pukul 2 petang pada 13 Oktober lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman manakala tujuh yang mengaku bersalah diwakili peguam, Anbananthan Yathiraju dan selebihnya tidak diwakili peguam.

  • Langgar SOP: Kerajaan kutip RM72.72 juta kompaun tempoh 18 bulan-Khairy

    Langgar SOP: Kerajaan kutip RM72.72 juta kompaun tempoh 18 bulan-Khairy

    KERAJAAN mengutip RM72.72 juta hasil kompaun akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sejak tahun lalu hingga 31 Ogos lalu.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, jumlah bilangan dan nilai kompaun melanggar SOP yang telah dikeluarkan sejak 2020 hingga kini ialah 181,704 kompaun dikeluarkan.

    Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bertarikh 4 Oktober 2021.

    Khairy berkata demikian sebagai menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang ingin tahu bilangan dan nilai kompaun melanggar SOP yang telah dikeluarkan sejak 2020 hingga kini dan jumlah nilai kutipan kompaun yang diterima.

    Kerajaan sebelum ini mengumumkan individu yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan boleh mendapatkan potongan 50 peratus, jika membayarnya dalam masa tujuh hari.

    Pada masa sama, mereka yang membayar kompaun dalam masa 14 hari juga akan diberi diskaun 25 peratus.

  • Tergamam diserbu polis ketika leka berhibur

    Tergamam diserbu polis ketika leka berhibur

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESERONOKAN 14 lelaki dan wanita berhibur di sebuah kedai makan dan minuman di Jalan Molek, Johor Jaya, Johor Bahru terbantut apabila diserbu dan ditahan polis malam tadi.

    Mereka sama sekali tidak menyangka dan tergamam apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada pukul 9.30 malam itu.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, semua individu berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan kerana terlibat dalam aktiviti hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

    “Mereka dikesan melanggar SOP Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tangkapan terdiri daripada 11 lelaki dan dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing.

    “Penjaga premis dikenakan kompaun RM25,000 atas kesalahan melakukan aktiviti hiburan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis manakala 13 warga tempatan itu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Jelasnya, kompaun dikenakan terhadap mereka kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial dalam premis itu sementara warga asing tersebut direman selama 14 hari atas kesalahan tinggal lebih masa.

    Katanya, menerusi serbuan tersebut turut dirampas satu unit digital amplifier digital; satu unit ‘mixing console’; dua unit mikrofon; satu unit pembesar suara dan tiga keping resit perniagaan.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021yang sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara setahun.

    Selain itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.