Tag: langgar

  • Lelaki tumbuk, sepak doktor warga emas ditahan

    Lelaki tumbuk, sepak doktor warga emas ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan ugutan terhadap seorang lelaki warga emas dalam satu kejadian di sekitar Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suspek yang menaiki kereta jenis Mercedes berwarna putih melanggar bahagian belakang kereta dipandu seorang doktor berusia 67 tahun di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama.

    “Apabila tiba di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran, kereta mangsa dihalang dari arah hadapan oleh kereta suspek yang kemudian turun dan membuka pintu kereta doktor berkenaan.

    “Suspek kemudian menumbuk pipi kanan selain menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit. Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya sehingga tular dalam media sosial, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata suspek berumur 27 tahun ditahan pada 9.45 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya setelah hadir memberi keterangan.

    “Suspek memukul mangsa kerana tidak berpuas hati selepas arahannya supaya memberhentikan kenderaan tidak diendahkan mangsa setelah kenderaan mereka berlanggar,” katanya dan menambah permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing ke atasnya negatif. – BERNAMA

  • Langgar syarat bon: Mahkamah tolak rayuan Zuraida batal saman PKR

    Langgar syarat bon: Mahkamah tolak rayuan Zuraida batal saman PKR

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman PKR yang mendakwa beliau melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusan sebulat suara berkata mereka bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa isu kesahihan dan kesahan kontrak di antara Zuraida dan PKR hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh.

    “Mahkamah perlu mendengar keterangan penuh secara berdokumen mahupun lisan (viva voce) sebelum keputusan dibuat.

    “Kami tidak mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan isu yang dibangkitkan melalui saman ini yang dirasakan adalah tidak wajar untuk dipertimbang bagi permohonan ini.

    “Justeru, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000 dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan,” kata Vazeer ketika menyampaikan keputusan itu melalui telesidang.

    Turut bersidang Datuk M.Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya.

    Panel itu turut memutuskan bahawa selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili Zuraida, dan peguam Ranjit Singh bagi pihak Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Pada 19 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman yang difailkan parti itu pada 28 Sept 2020.

    Pernyataan tuntutan PKR mendakwa Zuraida, yang kini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah menandatangani bon itu pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

    PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

    Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Feb tahun lepas, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

    PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- BERNAMA

  • Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    POLIS memburu seorang lelaki selepas didakwa terlibat kejadian langgar dan samun seorang wanita di Lorong Stampin, Kuching, Sarawak hari ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku apabila suspek melanggar belakang kenderaan dipandu mangsa sebelum melakukan samun.

    Katanya, susulan itu polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

    “Hari ini, polis mengesan satu rakaman video tular berdurasi 27 saat yang dimuat naik di media sosial dengan memaparkan seorang wanita diragut,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

    “Polis mengalu-alukan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berkenaan kejadian itu,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki yang juga penunggang motosikal dipercayai merempuh kereta dipandu seorang wanita.

    Suspek dilihat berhenti di hadapan kereta mangsa sebelum menghampirinya konon untuk memeriksa kenderaan dilanggar.

    Bagaimanapun, suspek merampas beg tangan lalu melarikan diri. Mangsa cuba mengejar namun gagal.

  • Remaja parah motosikal ditunggang terlanggar tapir melintas

    Remaja parah motosikal ditunggang terlanggar tapir melintas

    MOHD LAZIM ENDUT

    GARA-GARA seekor tapir betina melintas secara tiba-tiba, seorang remaja berusia 20 tahun cederà parah di bahagian kepala selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar haiwan tersebut di Kilometer (KM) 90 Jalan Jerangau-Jabor, Dungun malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, dalam kejadian pada pukul 11.07 malam itu, motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang remaja berkenaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.

    Beliau berkata, sebelum kejadian motosikal ditunggang mangsa yang bekerja sebagai buruh itu dalam perjalanan dari arah Bandar Al- Muktafi Billah Shah (AMBS) menghala ke Bukit Besi.

    Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian katanya, motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak seekor tapir yang dikatakan melintas secara tiba-tiba.

    Menurut Baharudin, memandangkan jarak terlalu hampir, mangsa gagal mengelaknya, lalu terlanggar haiwan liar berkenaan.

    “Berikutan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan luka di bahagian belakang badan sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Baharudin memberitahu, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati seekor tapir seberat hampir 100 kilogram ditemui mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.