Tag: Lahad Datu

  • Pergaduhan cemari Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu

    Pergaduhan cemari Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu

    MESYUARAT Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, Sabah hari ini berlangsung kecoh dan dicemari insiden pergaduhan.

    Memetik laporan Astro AWANI yang memetik sumber, insiden itu didakwa berlaku akibat provokasi daripada segelintir penyokong-penyokong calon yang bertanding dalam Pemilihan UMNO berkenaan.

    Berdasarkan video tular, ketika Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Mejar (B) Khalid Harun berucap, terdapat penyokong yang tidak berpuas hati menceroboh menaiki pentas.

    Tindakan itu seterusnya menyebabkan lebih ramai lagi penyokong menaiki pentas sehingga mencetuskan pergaduhan.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Rohan Shah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    Tambahnya, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam waktu terdekat berhubung kejadian itu.

  • Kanak-kanak hilang dibaham buaya, bapa cedera

    Kanak-kanak hilang dibaham buaya, bapa cedera

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia setahun dibaham buaya ketika mendayung sampan bersama bapanya di perairan Pangkalan Marin, Lahad Datu, pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 10.05 pagi itu turut mengakibatkan bapa mangsa cedera di beberapa bahagian badan.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.25 pagi.

    Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

    “Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Terdapat dua mangsa yang terlibat iaitu seorang lelaki Palauh dan kanak-kanak lelaki dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro Awani, hari ini.

    Sumsoa memberitahu, lelaki terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala anaknya pula masih hilang dipercayai dibaham buaya.

    “Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu menaiki ambulan untuk menerima rawatan susulan.

    “Pasukan bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi lain di sekitar perairan lokasi kejadian,” katanya.

  • Lahad Datu sukar membangun jika Mohamaddin bersama pembangkang

    Lahad Datu sukar membangun jika Mohamaddin bersama pembangkang

    AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, para pengundi di kawasannya tidak dapat mengecapi nikmat kemajuan sekiranya beliau masih menjadi wakil rakyat pembangkang.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama berkata, terdapat empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkeluasan besar di Lahad Datu.

    Mohammad menambah, sejumlah peruntukan yang besar diperlukan untuk membangunkan Lahad Datu agar setanding dengan kawasan Parlimen yang lain.

    Sehubungan itu, beliau percaya keanggotaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga sebuah parti menyokong kerajaan Pusat boleh membawa kemajuan ke kawasan-kawasan yang diwakilinya.

    “Tiga tahun lebih lagi untuk bertahan dalam pembangkang, apa yang anda jangka jika saya bertahan di situ? Pembangkang tidak bawa apa-apa.”

    “Pilihan raya selepas ini saya akan jumpa pengundi saya dan minta undi lagi, apa yang orang akan kata?

    “Bukankah dengan sendirinya itu memberitahu kepada kita tak payahlah nak jumpa rakyat, pasal dah jadi pembangkang lama tiada bawa apa-apa…dan anda kembali kepada rakyat dan minta undi, saya rasa itu bukan perkara yang bagus,” katanya dalam sidang media menjelaskan sebab beliau menyertai Bersatu.

    Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan Mohamaddin secara rasmi menjadi ahli Bersatu, selepas permohonannya diterima mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi yang dipengerusikan Presidennya, Muhyiddin Yassin.

    Pada 30 Oktober lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana mahu memberi tumpuan memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.

    Mengulas lanjut, Mohamaddin mendakwa Lahad Datu agak terkebelakang dari segi pembangunan menyebabkan beliau nekad menyertai parti itu.

    “Jadi, dengan harapan saya dah masuk Bersatu, bolehlah bawa manfaat kepada rakyat di kawasan saya,” katanya.