Tag: KWSP bersasar

  • PN tak berganjak perjuang isu rakyat termasuk KWSP bersasar – Muhyiddin

    PN tak berganjak perjuang isu rakyat termasuk KWSP bersasar – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak akan berganjak daripada memperjuangkan nasib rakyat termasuk isu tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

    Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan pemandu teksi, Noorazlan Ismail yang sanggup berjalan kaki dari Skudai ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum menuntut dibenarkan pengeluaran KWSP juga selari dengan apa yang sedang diperjuangkan oleh gabungan itu.

    Beliau berkata, ia terutamanya dalam mendesak kerajaan campuran PH-BN membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi mengurangkan beban hidup rakyat.

    “Malangnya sehingga kini kerajaan tidak mahu mendengar desakan tersebut, malah tidak nampak tanda-tanda atau usaha untuk menyelesaikan isu ini.

    “Saya berharap kerajaan melihat apa yang Noorazlan lakukan adalah mewakili ribuan pencarum lain yang turut terkesan teruk dengan tekanan ekonomi pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau berpeluang bertemu dengan Noorazlan dan kagum kagum dengan kegigihan lelaki berusia 48 tahun itu meredah panas dan hujan sepanjang lima hari berjalan kaki lebih 300 kilometer demi menuntut haknya.

    Katanya, beliau bersyukur apabila Noorazlan memberitahu dia sihat dan tiba di Kuala Lumpur dengan selamat semalam.

    “Apa yang Noorazlan lakukan adalah simbol kepada kesusahan hidup rakyat yang mempunyai caruman KWSP tetapi tidak dapat mengeluarkannya ketika berhadapan dengan kesempitan hidup,” katanya.

    Sementara itu, perjuangan Noorazlan yang nekad berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP berakhir selepas tiba di Kuala Lumpur, hari ini.

    Norazlan yang memulakan misi perjalanan solonya pada 28 Mac lalu tiba di ibu negara semalam selepas mengharungi enam hari perjalanan.

  • PN akan terus desak caruman KWSP bersasar dibenarkan

    PN akan terus desak caruman KWSP bersasar dibenarkan

    PERIKATAN Nasional (PN) akan terus memperjuangkan supaya pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dapat mengeluarkan simpanan mereka bagi menampung kos sara hidup yang dihadapi sekarang.

    Menurut Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, beliau telah menerima memorandum daripada pencarum berhubung pengeluaran KWSP bersasar.

    Malah katanya, beliau turut memberi jaminan akan terus membawa perkara itu sehingga kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membenarkan pengeluaran berkenaan.

    Pada masa sama beliau berkata, adalah tidak masuk akal apabila kerajaan merancang mencagarkan wang KWSP kepada bank bagi membolehkan pencarum meminjam daripada bank.

    “Dia nak bawa keluar duit dia… tapi kerajaan suruh pinjam daripada bank yang hanya akan menguntungkan bank. Jadi saya terima memorandum daripada pencarum dan insya-Allah kita akan terus perjuangkan supaya dana KWSP boleh dikeluarkan secara bersasar.

    “Dan juga kita harap kerajaan akan dengarlah rintihan daripada rakyat. Hari ni saya jumpa satu kumpulan pencarum KWSP yang hantar kat saya ni memorandum bantahan rakyat terhadap cadangan kerajaan untuk mencagarkan wang simpanan KWSP pencarum kepada pihak bank.

    “Saya sebenarnya memang rasa tak logik untuk guna akaun KWSP… dana dalam KWSP untuk dicagarkan kepada bank,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Pada 9 Mac lalu, Perdana Menteri kerajaan PH-BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

    Menurut Anwar kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

    Bagaimanapun, pelbagai pihak terutama pertubuhan yang mewakili pencarum mengecam rancangan itu yang mereka sifatkan sebagai ‘gali lubang tutup lubang’ dan tidak mampu menyelesaikan masalah.

  • KWSP bersasar jika PN menang PRU-15 – Muhyiddin

    KWSP bersasar jika PN menang PRU-15 – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mempertimbangkan pengeluaran KWSP bersasar jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, walaupun tidak diumumkan dalam pengumuman Tawaran PN sebentar tadi, PN sedia mempertimbangkan pengeluaran bersasar itu.

    “Tak ada dalam manifesto, tetapi dulu kita buat pun tak ada dalam manifesto, insya-Allah antara perkara yang kita akan lihat balik semula ialah KWSP bersasar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas melancarkan Tawaran PN bagi PRU-15 di Shah Alam malam ini.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau sudah membenarkan beberapa kali pengeluaran KWSP termasuk i-Sinar dan i-Lestari.

    “Untuk pelaksanaan ini (pengeluaran KWSP) secara bersasar, kita perlu melihat jumlah simpanan (pencarum) terlebih dahulu.

    “Ini kerana, pengeluaran tidak boleh dibuat jika sudah tiada simpanan (dalam KWSP),” tambahnya.

    Sebelum itu, Muhyiddin membentangkan tawaran PN yang mengandungi 234 tawaran yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada pilihan raya umum kali ini.

    Antara tunjang yang menjadi tumpuan adalah ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.