Tag: kucing

  • Penyewa kejam, jadikan kondominium ‘rumah sembelihan’ kucing

    Penyewa kejam, jadikan kondominium ‘rumah sembelihan’ kucing

    KEJAM….Itu ungkapan sesuai menggambarkan perbuatan tidak berperi kemanusiaan seorang lelaki yang disyaki membunuh dan mengerat anggota badan kucing di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

    Perbuatan rakyat tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai menyewa rumah itu terbongkar selepas pemilik menemui puluhan rangka, organ dan daging kisar haiwan disyaki kucing.

    Penemuan pada 11 Mac itu didedahkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) di Facebook hari ini yang memaklumkan laporan polis sudah dibuat.

    Menurut kenyataan, kegiatan individu yang membunuh dan mengerat anggota badan haiwan terbabit terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan.

    “Pemilik premis pada mulanya menerima aduan daripada jiran yang tidak tahan bau busuk dari dalam rumah dihuni lelaki tempatan.

    “Hasil pemantauan mendapati keadaan rumah teruk, tragis dan mengerikan dengan banyak keratan anggota badan haiwan ditemui dalam rumah sewa itu.

    “Terdapat sebuah bilik turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang sudah reput,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    MAA berkata, pemilik rumah kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu pada 13 Mac lalu.

    Bagaimanapun, katanya, laporan dibuat tidak dilayan dengan alasan polis tiada kuasa membuat siasatan dan penguatkuasaan, walaupun terdapat Seksyen 428 Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa polis.

    “Aduan akhirnya sampai kepada MAA sebelum dipanjangkan kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya satu tindakan siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh,” katanya.

    MAA menuntut supaya pelaku diheret ke mahkamah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 jika benar berlaku aktiviti kezaliman itu.

  • Wanita Indonesia pukul kucing hingga mati dipenjara enam bulan

    Wanita Indonesia pukul kucing hingga mati dipenjara enam bulan

    SEORANG wanita warga Indonesia yang bertindak kejam memukul seekor kucing jantan jalanan dengan sebatang penyapu sehingga mati dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

    Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga pisang goreng iaitu Hotimah, 60, selepas dia mengaku melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai tidak bernombor di Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini pada 7.46 pagi 20 Ogos lepas.

    Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda minimum 20,000 maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

    Hotimah dilihat menangis dan jatuh terduduk di atas bangku dalam kandang tertuduh selepas mendengar hukuman itu.

    Mahkamah memerintahkan Hotimah, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

    Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS kerana tindakannya yang disifatkan sebagai sangat kejam.

    “Dalam kes ini, OKS telah memukul kucing itu sehingga mati dan ia merupakan makhluk tuhan yang tidak mampu berkata-kata. Kucing itu juga tidak mengganggu atau merosakkan harta benda OKS selain perbuatan OKS memukul kucing ini adalah kesalahan serius dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

    Hotimah, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit jantung.

    “Saya mengaku melakukan kesalahan itu. Saya minta maaf tuan,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, Hotimah yang ketika itu menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah kedai, bertindak memukul kucing yang duduk di atas kerusi di premis tersebut sehingga batang penyapu patah.

    Siasatan mendapati OKS telah memukul haiwan tersebut sehingga mati dan terdapat kesan retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepala kucing itu. – BERNAMA

  • Bukan janin manusia tapi janin kucing

    Bukan janin manusia tapi janin kucing

    JANIN yang ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas sebuah masjid di Kampung Labohan, Kertih di sini disahkan bukan janin manusia sebaliknya adalah janin kucing.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata perkara itu disahkan oleh Unit Forensik Hospital Kemaman.

    “Ujian oleh Unit Forensik mengesahkan bahawa janin yang ditemui bukanlah milik manusia seperti disangka, tetapi sebenarnya janin kucing,” katanya kepada Bernama malam ini.

    Terdahulu, kira-kira 12 tengah hari tadi, anggota kariah digemparkan dengan penemuan satu janin yang menyerupai janin manusia di atas lantai tandas masjid itu.- BERNAMA

  • Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    SEORANG lelaki tempatan ditahan semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan dan khianat terhadap haiwan dengan mencampakkan tiga ekor kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah apartment di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata penahanan suspek lelaki berusia 44 tahun itu berdasarkan laporan polis yang diterima pihaknya, pada Isnin (17 Okt) lepas.

    Beliau berkata laporan itu menyatakan suspek telah bertindak mencampakkan haiwan terbabit daripada tingkat kediamannya.

    “Selain penahanan lelaki itu polis turut menemukan tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersamanya. Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dalam kes ini dengan membuang kucing-kucing milik jirannya itu dari kediamannya dari tingkat 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhruddin berkata suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan. – BERNAMA

  • RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    SEORANG guru tadika mendakwa kerugian RM69,030 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM900 menerusi media sosial, Sabtu lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 25 tahun itu berminat untuk membeli kucing jenis ‘scottish’ dari Indonesia yang diiklankan menerusi Facebook pada 23 Okt lepas.

    “Kemudian wanita berkenaan berbincang menerusi telefon dengan persetujuan harga sebanyak RM900. Mangsa hanya perlu membayar separuh harga dan selebihnya akan dibayar setelah mendapat kucing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Aibee berkata pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM450 ke dalam akaun atas nama Tansiaupenga Siagian melalui pemindahan wang dan kemudian dimaklumkan bahawa kucing tersebut telah ‘dipos’ kepada mangsa.

    Menurut beliau wanita berkenaan telah diminta membuat beberapa bayaran sebagai prosedur sepanjang proses pengeposan kucing tersebut.

    “Justeru, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke dua akaun berbeza berjumlah RM69,030 sejak 23 hingga 24 Okt lepas,” katanya.

    Aibee berkata mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu selain bimbang dokumen seperti gambar kad pengenalan dan alamat rumah disalahgunakan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Niat beli kucing RM500 tapi rugi RM30,050 ditipu

    Niat beli kucing RM500 tapi rugi RM30,050 ditipu

    SEORANG suri rumah mendakwa kerugian RM30,050 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM500 menerusi media sosial, Isnin lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 56 tahun dari Senawang itu berminat untuk membeli kucing jenis Munchkin yang diiklankan menerusi Facebook atas nama akaun ‘Suhair Rahman’ pada 26 Julai lalu.

    “Setelah berbincang melalui Facebook Messenger dengan persetujuan harga sebanyak RM500, wanita berkenaan telah memberikan butiran peribadi untuk diposkan kucing itu ke alamat rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM150 ke dalam akaun atas nama Leny Yohanis melalui pemindahan wang secara dalam talian.

    Ujarnya, wanita itu telah berurusan dengan beberapa individu dan dia diminta membuat beberapa bayaran lagi sebagai wang jaminan semasa kucing berkenaan berada di kastam dan setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, insurans pembelian haiwan, lesen pemilikan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta upah menghantar kucing tersebut.

    “Suspek memberitahu kesemua wang tersebut akan dipulangkan semula kepada wanita itu jika proses selesai dilakukan.

    “Justeru, mangsa memasukkan kesemua wang tersebut ke dalam 10 akaun berbeza,” katanya.

    Beliau berkata, wanita itu turut diugut jika tidak membuat pembayaran, kucing tersebut akan dirampas dan wangnya tidak akan dikembalikan.

    Sementara itu, Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu apabila nombor telefonnya disekat sehingga dia tidak dapat menghubungi individu tersebut.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.