Tag: kuarantin

  • Menteri pulang dari bercuti luar negara kena kuarantin

    Menteri pulang dari bercuti luar negara kena kuarantin

    SEMUA menteri yang sedang bercuti di luar negara dan diarahkan pulang segera masih tertakluk kepada perintah kuarantin seperti ditetapkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    “Buat masa ini, mereka mesti menjalani kuarantin. Walaupun dipanggil pulang, sangat penting untuk berwaspada dan berhati-hati dalam hal ini dan perkara (kuarantin) ini masih lagi terpakai,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita sama ada menteri yang diarahkan pulang tertakluk kepada kuarantin atau mereka akan diberikan pengecualian tertentu memandangkan negara berdepan masalah banjir.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Bentong, Pahang berkata, menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan cuti masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

    Susulan pengumuman berkenaan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan turut memaklumkan, cuti semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan serta agensi kerajaan dibatalkan serta-merta.

    Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus melanggar perintah kuarantin dan dilihat melawat mangsa banjir di kawasan Parlimennya, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat perkara berkenaan.

    “Beliau memohon pengecualian kuarantin untuk perjalanan antara 8 Dis hingga 12 Dis. Beliau menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki bersama tiga wakil rakyat lain.

    “Pengecualian itu telah diluluskan kerana protokol ujian dan pelepasan yang kami ada untuk perjalanan rasmi,” katanya.

    Menurut Khairy, apabila Hasanuddin tiba di Malaysia pada 22 Dis, pengecualian awal ditolak kerana diminta melakukan kuarantin di rumah, manakala Pusat Tindak Balas dan Kesiapsiagaan Krisis (CPRC) KKM juga menghantar e-mel kepada Hasanuddin pada 20 Dis memaklumkan perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) adalah diluluskan.

    “Kami kini menyiasat kes itu dan melihat ke mana beliau pergi, dari Turki ke Iran dan Pakistan dan di mana lagi dan mengapa apabila menerima e-mel mengenai HSO pada 20 Dis, beliau melanggar (perintah) kuarantinnya,” katanya.

    Bagaimanapun, Khairy berkata, hanya denda RM1,000 akan dikenakan kepadanya sekiranya Hasanuddin didapati melanggar tempoh kuarantin.

    Ditanya mengenai langkah pengawalan jangkitan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, Khairy berkata KKM telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Kami faham situasi di PPS menyukarkan mangsa banjir untuk patuh SOP. Tetapi kami tempatkan pegawai kesihatan di PPS untuk pantau dan nasihatkan untuk terus patuh SOP. Mereka (mangsa) diwajibkan pakai pelitup muka,” katanya.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat 405 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

    Susulan itu, Khairy berkata, pihaknya menjalankan langkah pencegahan secara bersasar dengan mengasingkan individu yang positif COVID-19 serta-merta selepas mendapat keputusan ujian saringan.

    Selain itu, beliau berkata, KKM juga mewujudkan pelbagai fasiliti kesihatan di kawasan terjejas banjir khususnya di PPS antaranya kit medik, klinik bergerak dan klinik medan yang ia bukan sahaja dikhususkan untuk mengelak penularan COVID-19 malah sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit bawaan air banjir.

    “KKM menyediakan bekalan ubat mencukupi. Jadi, mana-mana individu (mangsa banjir) yang berasa tidak sihat perlu segera mendapatkan rawatan,” katanya. – BERNAMA

  • MKN longgar SOP pelawat ke Labuan mulai 24 Sept

    MKN longgar SOP pelawat ke Labuan mulai 24 Sept

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih longgar bagi memasuki Labuan mulai 24 Sept ini.

    Pengarah MKN Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud berkata menerusi SOP baharu itu, pengunjung ke pulau ini tidak lagi wajib menjalani kuarantin dan hanya perlu menunjukkan keputusan RT-PCR atau RTK-Antigen yang negatif, lengkap vaksinasi COVID-19 dan tidak bergejala ketika tiba di Labuan.

    Beliau berkata kelonggaran tersebut adalah selari dengan peralihan Wilayah Persekutuan itu ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lepas.

    “Kita sedang menumpukan pada usaha menyeimbangkan ekonomi pulau bebas cukai ini dengan kesejahteraan dan kesihatan penduduk, oleh itu, kami, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan tekad untuk melindungi Labuan daripada kembali berdepan waktu yang sukar, tanpa menjejaskan kestabilan ekonominya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Beliau berkata pelawat mestilah menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum berkunjung ke pulau itu atau melakukan ujian air liur RTK-Antigen (yang diperakui pengamal perubatan berdaftar atau petugas kesihatan Kementerian Kesihatan), 48 jam sebelum tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Labuan atau terminal feri.

    Sementara itu, bagi mereka yang belum melengkapkan vaksin wajib menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari kelapan, kata Mohd Hafiez

    “Pelawat yang bergejala ketika tiba di pintu masuk di sini atau keputusan ujian COVID-19 mereka didapati tidak sah, dikehendaki menjalani kuarantin selama lima hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari keempat, manakala 10 hari kuarantin bagi individu yang belum lengkap vaksinasi diikuti saringan RTK-Antigen pada hari kelapan,” katanya.

    Menurut Mohd Hafiez syarat-syarat kemasukan bagi pengunjung dari luar negara pula adalah berbeza, iaitu tempoh kuarantin 14 hingga 21 hari berdasarkan penilaian risiko COVID-19 di pintu masuk dan mereka yang telah menerima vaksin penuh boleh menjalani kuarantin di rumah.

    Beliau berkata pengangkut harian yang membawa barangan keperluan dari Sabah ke Labuan haruslah memiliki kad kesihatan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Labuan, dengan syarat mereka telah lengkap vaksinasi dan menunjukkan keputusan negatif bagi ujian RT-PCR atau RT-Antigen yang dilakukan tiga hari sebelum memasuki pulau ini.

    “Kad kesihatan mestilah diperbaharui setiap minggu dan mereka tidak menunjukkan simptom ketika tiba di terminal feri Labuan, kakitangan kesihatan akan menjalankan saringan COVID-19 secara rawak ke atas pengangkut bagi tujuan pemantauan,” katanya.- BERNAMA

  • Lim Guan Eng dikuarantin, bicara ditangguh ke 22 Sept

    Lim Guan Eng dikuarantin, bicara ditangguh ke 22 Sept

    PERBICARAAN kes Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu ditangguhkan ke 22 Sept ini selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

    Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 Sept depan.

    “Saya memohon penangguhan bagi perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada hari ini sehingga 10 Sept depan. Kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi,” kata Gobind.

    Permohonan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Hakim Mahkamah Sesyen Azura Awi membenarkan permohonan pihak pembelaan dan mengarahkan perbicaraan bersambung semula pada 22 hingga 24 Sept depan seperti yang dijadualkan sebelum ini.

    Hari ini sepatutnya memasuki hari kelapan perbicaraan dengan empat saksi pendakwaan telah memberi keterangan setakat ini, pada perbicaraan yang bermula pada 13 Julai lepas.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

    Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.- BERNAMA

  • Polis kenal pasti 2 lelaki langgar perintah kuarantin

    Polis kenal pasti 2 lelaki langgar perintah kuarantin

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA lelaki yang melanggar perintah kuarantin dengan keluar membeli makanan ketika masih memakai gelang merah jambu Kementerian Kesihatan telah dikenal pasti oleh polis.

    Dalam kejadian di kawasan Taman Sierra Perdana, Masai, Johor, Rabu lalu, kedua-dua individu itu merupakan warga tempatan yang berusia 23 dan 46 tahun.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, perbuatan mereka dikesan susulan tular sebuah video yang dirakam seorang individu lain berhubung kejadian itu.

    Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu adalah kontak rapat pesakit Covid-19 dan mereka perlu menjalani kuarantin bermula Sabtu lalu hingga 23 Ogos ini.

    “Pihak polis mengesan sebuah video berdurasi satu minit 32 saat yang tular memaparkan dua individu dengan gelang pink melanggar perintah kuarantin di kawasan tersebut.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8 malam. Kedua-dua lelaki itu sepatutnya menjalani proses kuarantin kendiri dan bukannya keluar membeli makanan,” katanya di sini, hari ini.

    Mohd. Sohaimi berkata, polis akan memanggil kedua-dua lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam selepas mereka tamat menjalani kuarantin kendiri.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh dikompaun RM5,000.

    Malah, siasatan juga boleh dibuat mengikut Sekysen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya.