Tag: KPMG

  • 1MDB: KPMG bayar kerajaan penyelesaian RM333 juta

    1MDB: KPMG bayar kerajaan penyelesaian RM333 juta

    KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh 2010 hingga 2012.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, perkembangan itu membuktikan tekad kerajaan untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

    “Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurut beliau, penyelesaian itu akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai lalu terhadap KPMG.

    Tengku Zafrul menambah, langkah itu akan mempercepat penyelesaian tersebut yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB yang tertunggak, dan menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.

    “Penyelesaian dengan KPMG, bemilai lebih dari 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

    “Penyelesaian ini tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, dan yang masih diburu oleh pihak berkuasa berhubung dengan skandal kewangan 1MDB,” jelasnya.

    Beliau berkata, Kementerian Kewangan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguat kuasa yang terlibat atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian berkenaan.

  • KL antara 10 bandar di Asia Pasifik dahului hab inovasi teknologi

    KL antara 10 bandar di Asia Pasifik dahului hab inovasi teknologi

    KUALA Lumpur berada di kedudukan kesembilan di Asia Pasifik dan di luar Silicon Valley/San Francisco, Amerika Syarikat sebagai hab inovasi teknologi terkemuka dalam tempoh empat tahun akan datang, menurut tinjauan terbaharu oleh KPMG.

    Dalam Tinjauan Industri Teknologi global 2021 yang melibatkan lebih daripada 800 pemimpin industri, KPMG berkata, ini berdasarkan beberapa faktor di peringkat tempatan seperti infrastruktur dan demografi serta pada peringkat makro seperti persekitaran pengawalseliaan dan insentif cukai nasional yang berpotensi dilaksanakan.

    Ketua sektor Teknologi, Media dan Telekomunikasi KPMG di Malaysia, Guy Edwards berkata, ia tidak mengejutkan memandangkan beberapa kajian dibuat telah mengenal pasti faktor yang menjadikan Malaysia peluang pelaburan yang menarik.

    “Pasti ada keyakinan global yang berterusan terhadap potensi yang ada pada negara sebagai pusat pembangunan, hasil daripada dedikasi kerajaan Malaysia untuk memajukan infrastruktur teknologi negara dengan memperkenalkan inisiatif seperti dasar Revolusi Industri Keempat Nasional.

    “Inisiatif kerajaan itu membantu memperkukuhkan potensi Malaysia sebagai hab teknologi, lebih banyak yang diperlukan selain dari pada memperkenalkan dasar baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tinjauan itu menunjukkan 61 peratus orang dalam industri yakin bahawa pandemik Covid-19 telah mengubah pendapat mereka terhadap bandar mana yang mendahului hab inovasi teknologi.

    Hanya satu pertiga daripada kaji selidik itu berpendapat bahawa Silicon Valley di AS akan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam inovasi, manakala jumlah yang sama menyatakan ia tidak lagi menjadi peneraju. – Bernama