Tag: Konvensyen PN 2022

  • Tuan Ibrahim garis tiga strategi semasa Konvensyen PN

    Tuan Ibrahim garis tiga strategi semasa Konvensyen PN

    KONVENSYEN Perikatan Nasional (PN) 2022 perlu memantapkan sekurang-kurangnya tiga strategi dalam membentuk kekuatan gabungan itu.

    Memetik laporan Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertama ialah konvensyen itu adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kedua kata beliau, setiap perkara yang dibicarakan dalam konvensyen itu memerlukan tindakan susulan, iaitu memperkasakan agenda bertindak di peringkat negeri, bahagian dan kawasan.

    “Kita perlu menggarapkan kekuatan semua organisasi dan ketiga yang juga paling penting ialah kepatuhan kepada keputusan parti dalam menghadapi PRU15.

    “Bagi menghadapi cabaran ini, kita perlu menyedari bahawa PN mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

    “Namun, kita yakin kekuatan yang ada dan rakan kita memerlukan suatu garapan bagi membentuk satu kekuatan,” katanya pada Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, hari ini.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PN juga perlu membicarakan persamaan sesama parti, sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

    Katanya, ini memerlukan keikhlasan dalam perjuangan dan pada masa sama, ahli perlu patuh dan mendukung keputusan parti, bukan merajuk dalam PRU15.

    “Pas bersama rakan dalam kerajaan mendukung Rang Undang-Undang Antilompat yang dibentangkan di Parlimen dan kita juga ke arah mewujudkan pendanaan politik supaya negara menuju ke arah berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PN yang berusia dua tahun, suatu tempoh yang singkat dalam konteks muafakat politik berdepan pelbagai cabaran.

    Menurutnya, dua tahun adalah tempoh bagi meletakkan asas bagi pengukuhan muafakat politik dan cabaran yang dihadapi kali ini tentu jauh berbeza berbanding situasi sebelum ini.

    “Saya suka berkongsi sedikit pengalaman PAS dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN) bersama Barisan Nasional (BN) pada awalnya dan kemudian kita menjemput Bersatu untuk bersama dalam MN.

    “Pada waktu itu, BN bersama PAS dalam MN membuat keputusan mengekalkan Tan Sri Muhyidddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna sebenarnya, mereka (BN) juga menerima kepimpinan Muhyiddin. Dalam pengukuhan ini, kita perlu menggarapkan semua kekuatan yang ada,” katanya.

  • Walau nama hampir sama, PN dan BN bagai langit dan bumi – Muhyiddin

    Walau nama hampir sama, PN dan BN bagai langit dan bumi – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beza Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) amat jauh ibarat langit dan bumi.

    Pengerusi PN itu berkata, walaupun namanya hampir sama, parti yang diterajuinya itu lebih mementingkan kesejahteraan rakyat dan negara.

    Beliau menjelaskan, sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau mengarahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar mencari duit untuk diberikan kepada rakyat yang susah.

    Namun dakwa beliau, BN hanya mementingkan untuk kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka.

    “Jadi, walaupun Perikatan Nasional dan Barisan Nasional namanya hampir sama, tetapi bezanya jauh ibarat langit dan bumi.

    “Saya harap para pengundi jangan salah memilih dalam PRU 15 nanti. Pilih Perikatan Nasional, bukan Barisan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional di Serdang hari ini.

    Pada masa sama, Muhyiddin turut mengingatkan amalan ‘ambil apa yang sempat’ atau ‘rembat apa yang dapat’ atau ‘sakau-menyakau’ tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional (PN).

    Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, ia adalah budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.

    Beliau berkata, amalan itu jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun.

    “Untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti.

    “Pengalaman lalu mengajar kita bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan,” katanya.

  • Fikirkan suara rakyat bukan apa boleh dapat- Muhyiddin

    Fikirkan suara rakyat bukan apa boleh dapat- Muhyiddin

    PRIHATIN Rakyat dan integriti merupakan dua prinsip utama yang dipegang Perikatan Nasional (PN) dalam perjuangannya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi PN itu berkata, inilah dua prinsip yang mungkin sukar untuk ditemui dalam dunia politik yang penuh pancaroba hari ini.

    “Kerana itu, dalam konvensyen pada hari ini, jangan kita berbincang soal diri kita sendiri, atau puak kita sendiri, atau kabilah kita sendiri.

    “Jangan kita bicara apa aku dapat, apa puak aku dapat, apa kabilah aku dapat. Tetapi marilah kita bersama-sama memikirkan apa tawaran kita kepada rakyat. Fikir permasalahan rakyat. Suarakan rasa hati rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaputama pada Konvensyen Perikatan Nasional di Serdang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Datuk Seri Yong Tek Lee; Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Muhyiddin berkata, PN harus cari penyelesaian untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat supaya gabungan itu benar-benar menjadi jurubicara rakyat yang PRIHATIN akan permasalahan dan keperluan mereka.

    “Marilah kita berbincang, bermusyawarah, bertukar pandangan, bagaimana untuk menjadikan prinsip INTEGRITI sebagai landasan utama yang memandu perjalanan parti serta pengurusan dan pentadbiran negara.

    “Kerana kita di dalam Perikatan Nasional ini mewakili suara dan rintihan puluhan jutaan rakyat di luar sana yang sudah muak, sudah jelik dan benci dengan amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang meninggalkan banyak titik hitam dalam sejarah negara kita, yang bukan sahaja merobek kantung negara malah mencalar imej watan kita di mata dunia,” katanya.

    Oleh itu tegas beliau, prinsip Berintegriti dan Prihatian Rakyat menjadi asas pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional.

  • 1,800 dijangka  hadir Konvensyen PN 2022 Sabtu ini

    1,800 dijangka hadir Konvensyen PN 2022 Sabtu ini

    PARTI Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Konvensyen Perikatan Nasional 2022 dan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-2 penubuhan gabungan itu pada 27 Ogos ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, konvensyen julung kali itu akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor dan dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurutnya, semua Presiden parti komponen, pimpinan dan perwakilan PN yang dijangka seramai 1,800 orang termasuk semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri gabungan itu di seluruh negara dijangka hadir.

    “Selain membincangkan isu-isu semasa berkaitan masalah rakyat pasca pandemik Covid-19, Konvensyen ini juga akan menggariskan landasan utama Perikatan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Konvensyen itu juga menetapkan dasar serta hala tuju parti bagi meningkatkan keyakinan rakyat bahawa Perikatan Nasional adalah parti yang mempunyai tawaran yang harmoni, relevan dan segar sejajar dengan aspirasi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada Konvesyen itu juga, Anugerah Prihatin Perikatan Nasional akan disampaikan kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan keprihatinan, pengorbanan serta sumbangan luar biasa kepada negara dan masyarakat.

    “Perikatan Nasional percaya bahawa Konvensyen PN 2022 mampu menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan khidmat bakti parti kepada rakyat serta memperkukuhkan kerjasama parti-parti anggota Perikatan Nasional secara keseluruhannya,” katanya.