Tag: kontraktor

  • Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    SEORANG penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM516,325, antara 2018 hingga 2022.

    Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu yang berkhidmat di Bahagian Jalan jabatan tersebut.

    Suapan yang dibuat dalam jumlah RM1,000 hingga RM95,000 itu didakwa sebagai balasan untuk mencadangkan syarikat proksi seorang kontraktor sebagai subkontraktor bagi projek pembaikan cerun dan membantu mendapatkan bayaran tuntutan.

    Lelaki itu ditahan 6.55 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.- BERNAMA

  • Kontraktor mengaku salah kemuka dokumen palsu dapatkan kontrak

    Kontraktor mengaku salah kemuka dokumen palsu dapatkan kontrak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan kontrak dari sebuah syarikat pembersihan, empat tahun lalu.

    Tertuduh, Ronie Maharudin, 47, mengaku bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik sebuah syarikat, Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018.

    Dia didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan disebabkan itu, lelaki tersebut didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama iaitu penjara tidak lebih dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Februari 2019 di Pejabat E-Idaman Sdn. Bhd., Bandar Baru Stargate, Alor Setar.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farid Wajdi Hanif.

    Terdahulu pihak pendakwa mencadangkan agar pihak mahkamah membenarkan tertuduh dijamin pada kadar RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan ditetapkan di bawah RM10,000 memandangkan tertuduh sudah tidak memiliki pendapatan tetapi selain masih perlu menanggung tiga anak serta ibu bapanya.

    Pihak pendakwaan kemudiannya kembali bangkit selepas itu dan memohon agar jaminan ditetapkan setimpal nilai kontrak kes tersebut yang mencecah RM1.7 juta.

    Hakim kemudiannya menetapkan kadar jaminan pada RM12,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

  • Tidak puas hati dengan CIDB, kontraktor Kelas F anjur demonstrasi

    Tidak puas hati dengan CIDB, kontraktor Kelas F anjur demonstrasi

    PERSATUAN Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) menggesa Kementerian Kewangan mengembalikan pengurusan Kelas F (G1 Bumiputera) kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

    Mereka juga mahu kerajaan menangani kenaikan harga barang binaan.

    Memetik laporan Malaysiakini, dua tuntutan tersebut adalah antara perkara yang terkandung dalam memorandum kepada Kementerian Kewangan bagi menggesa Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz campur tangan.

    Presiden Perkobf, Tukiman Radion percaya langkah itu dapat memastikan kontraktor Bumiputera Kelas F dapat diuruskan dengan lebih baik.

    “Kita sangat berpengalaman dahulu bersama PKK di mana kami dapat diurus dengan begitu baik dan mesra rakyat. Sekarang kami diuruskan oleh pihak CIDB di mana sistem mereka sukar diguna pakai dan banyak melibatkan kewangan.

    “Sebab bila nak perbaharui lesen, kita kena bayar sekali dan kalau gagal kita kena bayar lagi dan seterusnya. Sampai kadang-kadang kami sendiri tak faham sistem apakah yang diguna pakai untuk perbaharui lesen-lesen terbabit,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas perhimpunan aman dan penyerahan memorandum enam muka surat kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

    Tukiman menambah, antara perkara yang paling membebankan kontraktor Bumiputera Kelas F ketika ini adalah tekanan daripada pihak CIDB untuk mereka menaikkan gred.

    Jika tidak ,katanya, taraf kontraktor bumiputera akan ditarik balik dan mereka akhirnya terpaksa menaikkan gred.

    “Maknanya, kami tidak ada lagi keistimewaan sebagai kontraktor kecil bumiputera. Bila kita tidak ada taraf bumiputera ini, kita tidak boleh ambil projek kerajaan lagi.

    “Amat sukar utuk kita perolehi projek swasta manakala kerja ubah suai rumah dikuasai oleh warga asing, jadi kita hanya dapat projek kerajaan,” katanya lagi.

    “Jadi di mana kami nak cari makan? inilah kerja-kerja kami. Kebanyakan kami sudah berusia 50 tahun ke atas. Siapa nak ambil kami bekerja? Jadi kami merayu kepada kerajaan, perkara ini jangan dilakukan.

    “Kami harapkan kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi membahagiakan kontraktor kecil. Itu harapan kami,” katanya.

    Sementara itu, Naib Presiden Perkobf, Sazali Mohamad Yasin berkata, memorandum tersebut dihantar bagi memaklumkan kedudukan sebenar permasalahan yang dialami oleh kontraktor kelas F seluruh Malaysia, seperti kenaikan harga bahan mentah.

    “Kami mohon pertimbangan dan keputusan sewajarnya daripada Menteri Kewangan mengenai isu ini. Memorandum ini untuk memperkasakan kontraktor kelas F yang bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153.

    “Kami sangat tertekan dengan permasalahan hari ini dan rata-ratanya menyokong…itu sebabnya kami berkumpul di Kementerian Kewangan untuk memastikan kerajaan membela kami,” katanya.

    Dalam pada itu, Tukiman berkata, jika memorandum itu tidak mendapat respons yang baik daripada Tengku Zafrul, pihaknya tidak teragak-agak untuk meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Kontraktor dituduh cederakan isteri guna pisau

    Kontraktor dituduh cederakan isteri guna pisau

    SEORANG kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya Jumaat lepas.

    Mohd Ghazali Nor Hisham, 33, didakwa mencederakan Aliza Hasan, 32, menggunakan pisau di Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang, pada 10.30 pagi, 13 Mei 2022.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau didenda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairi Mohamed Said tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan wang jaminan RM20,000. Mohd Ghazali yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan jaminan.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa atau saksi kes itu serta melapor diri sekali dalam setiap bulan di balai polis berdekatan.

    Kes disebut semula pada 19 Jun untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – BERNAMA