Tag: kit ujian

  • Harga baharu kit ujian Covid-19 dimuktamad November

    Harga baharu kit ujian Covid-19 dimuktamad November

    SATU paras harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 akan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu akan dilaksanakan selepas beberapa faktor diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.

    Kerajaan katanya, telah menerima maklum balas dari industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan mencukupi dan berterusan.

    “KPDNHEP sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian kendiri seperti pasar raya.

    “Sudah ada premis yang bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ijni .

    Beliau berkata, pembukaan penjualan kit ujian pantas oleh pasar raya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.

    “Kementerian juga akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.

    Alexander berkata, terdapat lebih kurang enam juta kit ujian kendiri telah berada dalam pasaran.

    “Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September lalu turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit tersebut,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian kendiri memberikan kerjasama.

    “Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik,” katanya.

  • Pulau Pinang harap harga kit ujian sendiri Covid-19 dikurangkan

    Pulau Pinang harap harga kit ujian sendiri Covid-19 dikurangkan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang berharap harga bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) seperti diumumkan Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) boleh dikurangkan.

    Ini kerana menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, permintaan bagi kit ujian sendiri itu dalam kalangan pengguna pasti akan meningkat ketika negara memasuki tempoh endemik bermula hujung Oktober ini seperti disebut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.

    Ketika ini, harga siling borong dan harga runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) itu ditetapkan masing-masing berharga RM16 (harga borong) dan RM19.90 (harga runcit). 

    Serentak itu juga, Kon Yeow mengumumkan sebagai permulaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memperuntukkan sebanyak 500 set kit ujian itu kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk diedarkan kepada rakyat yang memerlukan.

    “Kaedah pengedaran kit itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan menerima sebanyak 1,015,500 dos vaksin bagi sepanjang bulan September ini daripada Kerajaan Pusat yang mana penghantaran pertama akan dilakukan esok.

    Jelasnya, penghantaran itu termasuk bekalan 200,000 dos sebagaimana kelulusan khas oleh KKM minggu lalu.

    “Dengan kelulusan KKM tersebut tidak bermaksud kita menolak tawaran pinjaman vaksin daripada Kerajaan Negeri Selangor.

    “Sebaliknya pada sesi kunjungan hormat Menteri Besar Selangor pada 31 Ogos lalu, kedua-dua pihak bersetuju tawaran tersebut kekal terbuka dan perbincangan akan terus dijalankan berasaskan keperluan semasa di masa hadapan,” katanya.

    Tambah Kon Yeow, sejak penularan Covid-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan kira-kira RM180 juta demi memenuhi keperluan kelengkapan perubatan di hospital-hospital di seluruh negeri ini.

    Katanya, ia tidak termasuk beberapa peruntukan besar lain seperti Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang; Program Penang Saring Covid-19 dan PKRC sebagai usaha awal untuk memperkukuhkan sistem kesihatan awam yang lebih optimu

  • Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    KERAJAAN menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept ini.

     Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan bersama hari ini.

    “Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 berdasarkan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.

    Harga maksimum turut ditentukan berdasarkan maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit serta persatuan farmasi barangan tersebut.

    KPDNHEP juga telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak. 

    Kenyataan bersama itu menyebut KPDNHEP dan KKM bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit berkenaan susulan permintaan terhadap kit ujian itu yang dijangka meningkat berikutan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID19. 

    “Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak COVID-19.

    “KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang,” katanya.

    Kenyataan itu menyebut KPDNHEP akan mengawal harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

    Menurut kenyataan berkenaan, KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga dan mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

    Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 adalah peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh MDA, KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab dari hidung.- BERNAMA