Tag: khianat

  • Bantu ah long simbah cat, bakar kereta untuk kurangkan hutang sendiri

    Bantu ah long simbah cat, bakar kereta untuk kurangkan hutang sendiri

    TERDESAK untuk mengurangkan hutang dengan ah long dari Singapura, dua lelaki sanggup mengambil upah daripada ah long sama untuk mengugut peminjam lain dengan menyimbah cat dan membakar kereta.

    Malah, dua lelaki tempatan itu turut mengajak dua wanita lain dipercayai teman wanita mereka untuk bersekongkol dalam perbuatan khianat tersebut.

    Bagaimanapun, selepas berjaya membakar sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan dalam kejadian di Pulau Pinang, keempat-empat mereka yang berusia 22 hingga 33 itu akhirnya ditahan polis dalam serbuan berasingan di Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, terdahulu polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya dibakar pukul 4.20 pagi di Bukit Tengah, 30 April lalu.

    Pada tarikh sama, ujar beliau, polis turut menerima dua lagi laporan yang membabitkan kejadian membakar kereta masing-masing jenis Perodua Kelisa dan Perodua Alza iaitu di Bukit Minyak dan Air Itam.
    Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang terlibat dalam kejadian itu menggunakan kereta jenis Toyota Yaris berwarna merah.

    “Hasil risikan polis berjaya mengesan kedudukan kereta itu di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh dan ketika serbuan dilakukan pukul 12.05 tengah malam 4 Mei lalu, seorang lelaki dan teman wanitanya yang sedang tidur di dalam kereta itu telah ditahan.

    “Hasil soal siasat ke atas mereka kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak sebelum polis menahan seorang lagi suspek wanita di Kampung Simee, Ipoh, 6 Mei lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgerown hari ini.

    Tambahnya, siasatan, polis mendapati dua suspek lelaki terbabit meminjam wang sekitar RM1,000 hingga RM2,000 daripada seorang ah long dari Singapura yang dikenali sebagai Tian.

    Ujarnya, mereka menerima arahan terus daripada ah long berkenaan untuk melakukan khianat kepada peminjam lain yang gagal membayar hutang dan diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet.

    ”Teman wanita suspek pertama didapati membantu suspek menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps, manakala seorang lagi wanita berperanan menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat,” katanya.

    Jelas beliau, mereka melakukan jenayah itu sejak pertengahan Mac lalu dengan menumpukan kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

    Tambahnya, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951/ Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki ditahan, disyaki khianat pecah cermin rumah bekas isteri

    Lelaki ditahan, disyaki khianat pecah cermin rumah bekas isteri

    POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin rumah bekas isterinya di Taman Pinji Mewah, di Ipoh, seperti yang tular dalam media sosial, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut pada Selasa.

    Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan, polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan, berumur 46 tahun yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kes tersebut, di Taman Ipoh, semalam.

    “Keputusan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini menurut Astro AWANI.

    Suspek akan direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan jenayah).

    Yahaya berkata, dengan tertangkapnya suspek tersebut, polis percaya kes berkenaan telahpun selesai.

    Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video berkenaan sehingga menjejaskan siasatan polis dan menimbulkan kegusaran masyarakat.

    Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 25 saat yang memaparkan seorang lelaki membuat khianat dengan memecahkan cermin sebuah rumah di Taman Pinji Ipoh.

  • Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    SELEBRITI Awal Ashaari yang didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan itu.

    Peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bercadang untuk mengemukakan representasi berdasarkan dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.

    “Kami sahkan sudah menerima dokumen daripada pendakwaan dan bercadang untuk mengemukakan representasi berkenaan pertuduhan. Mohon arahan lanjut mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff.

    Muhammad Iskandar berkata pihak pembelaan boleh memfailkan representasi sekiranya dokumen yang diterima pada hari ini telah mencukupi dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Ketika ditemui media di luar mahkamah, Hamizah berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang telah diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum memutuskan jenis representasi yang akan dikemukakan.

    Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Awal Ashaari dituduh lakukan perbuatan khianat

    Awal Ashaari dituduh lakukan perbuatan khianat

    PENGACARA popular, Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

    Ahmad Awaluddin, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    “Saya mengaku tidak bersalah,” jawab Ahmad Awaluddin yang memakai kot biru gelap ketika ditanya pengakuannya.

    Personaliti televisyen yang lebih dikenali sebagai Awal Ashaari itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Datuk M Reza Hassan dibantu Hamizah Sobree yang mewakili Ahmad Awaluddin memohon jaminan RM3,000 atas alasan pendapatan anak guamnya sebagai pengacara tidak konsisten.

    “Anak guam saya menanggung isteri, dua anak serta ibu bapanya yang tua. Saya mohon jaminan yang ditawarkan oleh pendakwaan dikurangkan,” katanya.

    Mahkamah membenarkan Ahmad Awaluddin diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan kes. – BERNAMA

  • 8 remaja kantoi tuang sabun basuh dalam kolam hiasan

    8 remaja kantoi tuang sabun basuh dalam kolam hiasan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN sekumpulan remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah menengah menuang cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di hadapan pusat beli-belah Kluang Parade, di Kluang membawa padah apabila aksi mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV), pada Ahad lalu.

    Akibatnya, kesemua remaja terbabit yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu ditahan polis kira-kira pukul 9.30 malam tadi setelah mereka menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang, Kluang.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mereka ditahan susulan kes khianat terhadap kolam hiasan tersebut yang dipercayai akibat terpengaruh dengan aksi di aplikasi Tik Tok.

    “Semalam kira-kira pukul 4 petang, pihak polis telah terkesan satu rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

    “Video itu jelas memaparkan tingkah laku sekumpulan penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta dengan menuang dua tong cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di Kluang Parade.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 5.30 pagi, Ahad lalu dan susulan rakaman video tersebut, pihak polis telah mengenal pasti dan membuat tangkapan ke atas lapan lelaki yang disyaki terlibat untuk siasatan selanjutnya,” katanya, hari ini.

    Hang Seng berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta dan ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek pula adalah negatif.

    “Pihak polis mengingatkan bahwa perbuatan vandalisme atau gejala laku musnah iaitu tabiat membinasakan harta benda awam atau harta benda orang lain boleh diambil tindakan undang-undang.

    “Mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya lagi.

  • Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok bit polis

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar pondok bit polis berhampiran Pasar Jelawat, Bachok, pada 11 Sept lepas.

    Tertuduh Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Zamri yang masih bujang didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit polis di Jelawat, Bachok pada jam 2.20 pagi, 11 Sept lepas.

    Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan semula kes.- BERNAMA