Tag: Khairy Jamaluddin

  • Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri – Khairy

    Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PANDEMIK selama lebih setahun lalu telah menjejaskan kesihatan mental kebanyakan individu, yang meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

    Justeru, amat penting bagi semua pihak memainkan peranan bagi mengatasi peningkatan risiko tingkah laku bunuh diri ketika ini, yang dipengaruhi akibat pandemik Covid-19.

    Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa semua pihak yang berdepan gangguan emosi untuk mendapatkan bantuan, manakala individu lain boleh memainkan peranan dengan mengambil tahu situasi keluarga dan rakan masing-masing.

    “Bunuh diri boleh dielakkan. Kita semua perlu memainkan peranan. Dapatkan bantuan, belajar untuk mengenal pasti tanda tingkah laku, tunjukkan keprihatinan, jangan diskriminasi.

    “Kami bersedia untuk membantu anda,” katanya menerusi Twitter, hari ini, sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD) 2021.

    WSPD yang disambut pada 10 September setiap tahun, dianjurkan Persatuan bagi Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi menggambarkan komitmen global untuk memberi fokus terhadap pencegahan bunuh diri.

    Sementara itu, Khairy menerusi rakaman video, menegaskan individu yang berdepan gangguan emosi perlu menyedari yang mereka tidak keseorangan.

    “Kepada individu yang sedang bertarung dengan kemurungan, keresahan. Anda tidak keseorangan. Jangan anggap anda keseorangan, walaupun anda di saat paling gelap.

    “Bantuan tersedia. Harap anda dapat mengatasinya dan kami sedia membantu anda,” katanya.

    Khairy turut meletakkan dua talian yang boleh dihubungi bagi mereka yang berdepan gangguan emosi dan memiliki hasrat bunuh diri, iaitu Talian Kasih (15999) dan Befrienders (03-76272929). 

  • Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    Covid:Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat, lima – KJ

    HANYA 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

    “Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

    “Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

    “Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,4450 kluster,” katanya.- BERNAMA

  • Kerjasama KKM, MOSTI diteruskan: Khairy

    Kerjasama KKM, MOSTI diteruskan: Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERJASAMA Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan diteruskan terutamanya dalam penghasilan vaksin untuk manusia serta peranti perubatan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin secara peribadi menyifatkan kerjasama beliau dengan Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr. Adham Baba terjalin sejak di awal pembabitannya dalam politik.

    “Ramai tidak tahu, Dr. Adham sebenarnya bos pertama saya dalam politik.

    “Sebelum ini Dr. Adham memegang jawatan sebagai Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO manakala saya pula sebagai Setiausaha.

    “Saya kuli beliau dulu dan masih lagi…,” katanya dalam ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri MOSTI di Putrajaya, hari ini.

    Khairy berkata, KKM akan terus memberi sokongan kepada MOSTI untuk menghasilkan vaksin seperti Pelan Vaksinasi Antarabangsa yang kini sedang dilaksanakan di kementerian itu.

    “Kita sudah ada vaksin untuk haiwan tetapi tidak ada vaksin manusia di Malaysia,” katanya.

    Katanya, ini penting untuk memastikan keperluan negara pada masa akan datang dipenuhi tanpa perlu lagi membeli vaksin dari luar negara.

  • Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    Kumpulan pertama 76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok – Khairy

    SERAMAI 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin COVID-19 esok menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata kumpulan itu terdiri daripada remaja berumur 16 serta 17 tahun dan remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi iaitu bermasalah dengan sistem imun.

    “Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak…kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

    “Selepas kumpulan awal ini pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Hospital Medan Sementara di Lapangan Terbang Lama, Jalan Utara, di sini hari ini.

    Pemberian vaksin berkenaan susulan daripada keputusan dasar dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja.

    Khairy berkata selepas Sarawak, vaksinasi kepada golongan remaja akan diberikan kepada negeri yang sudah mencapai vaksinasi lengkap 80 peratus golongan dewasa seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor.

    Sementara itu, beliau berkata sebuah Hospital Medan Sementara dengan 108 katil serta dua dewan pembedahan dalam pertimbangan untuk dibina di tapak Lapangan Terbang Lama di Jalan Utara bagi menampung kes-kes COVID-19

    Menurutnya sebuah yayasan antarabangsa menawarkan untuk membina hospital berkenaan dan permohonan mengenai perkara itu sedang dipertimbangkan di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Hospital Medan Sementara ini seharusnya dibina dalam tempoh singkat bagi menampung keperluan kes COVID-19 selain menunggu projek pembinaan Hospital Tawau siap sepenuhnya tahun hadapan,” katanya yang menambah projek Hospital Tawau itu kini 60 peratus siap.

    Terdahulu pada lawatan rasminya ke Tawau, Khairy yang diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut meluangkan masa ke Klinik Sri Balung bagi menyampaikan Anugerah PeKa B40 berikutan pencapaian klinik itu menjalankan saringan kesihatan tertinggi tahun lepas.- BERNAMA

  • Suntikan vaksin Covid-19 pelajar sekolah dimuktamadkan Khamis ini

    Suntikan vaksin Covid-19 pelajar sekolah dimuktamadkan Khamis ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan akan memuktamadkan keputusan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah dalam mesyuarat penyelarasan Khamis ini.

    Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebentar tadi.

  • Pembinaan Hospital Papar baharu lewat, dewan bedah hospital lama pula tak dapat digunakan – KJ

    Pembinaan Hospital Papar baharu lewat, dewan bedah hospital lama pula tak dapat digunakan – KJ

    BAGAIKAN jatuh ditimpa tangga, sudahlah kemajuan pembinaan Hospital Papar baharu yang sepatutnya siap tahun lalu hanya mencapai 22 peratus, dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar yang lama pula tidak dapat digunakan.

    Khairy Jamaluddin

    Demikian pendedahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Hospital Papar, kira-kira sejam perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

    Beliau sehubungan itu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kepada beberapa pilihan termasuklah menamatkan kontrak bagi kontraktor sedia ada.

    Namun tegas beliau, KKM akan membuat penilaian terlebih dahulu, apakah sebab berlakunya kelewatan ini sebelum membuat keputusan segera berhubung tindakan yang sepatutnya diambil ke atas kontraktor berkenaan.

    “Pada masa sama, saya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk berbincang dan memutuskan langkah yang sewajarnya diambil.

    “Sememangnya Papar memerlukan sebuah fasiliti hospital dengan kapasiti yang lebih besar. Hospital yang sedia ada ini terlalu kecil untuk menampung kes-kes yang datang mendapatkan rawatan.

    “Sebab itulah pembinaan hospital yang baharu ini perlu disegerakan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau malam tadi.

    Mengulas mengenai dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar yang lama, Khairy berkata, fasiliti itu tidak dapat digunakan kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang betul untuk sebuah dewan bedah.

    Oleh itu katanya, beliau telah meminta Ketua Setiausaha KKM
    untuk membuat penilaian sama ada dewan bedah tersebut boleh diselamatkan ataupun tidak.

    “Saya telah arahkan supaya laporan dibentangkan kepada saya dalam waktu terdekat,” tegasnya.

    Sementara itu, Khairy meneruskan lawatan kerja untuk hari kedua ke Sabah hari ini dengan mengikuti aktiviti Program Outreach Pemberian Vaksin Kepada Penduduk Pulau Larapan di Semporna.

    “Setelah itu, saya akan mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tawau dan juga meninjau tapak hospital medan di lapangan terbang lama di Tawau,” tambahnya.

  • Kelonggaran rentas negeri tak lama lagi – Khairy

    Kelonggaran rentas negeri tak lama lagi – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERBINCANGAN kini giat dijalankan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pergerakan rentas negeri diberikan dalam tempoh masa terdekat.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, perbincangan berkenaan adalah bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

    Pendekatan yang diambil itu kata beliau adalah bagi membolehkan lebih banyak kelonggaran lain diberikan.

    KHAIRY JAMALUDDIN

    “Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran tertentu) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan yang akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

    “Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi. Ini kerana kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko, justeru berikan kita tempoh sikit lagi,” jelas beliau pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya hari ini

    Selain itu, katanya, kerajaan bertekad untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri-negeri tertentu yang masih merekodkan liputan di bawah paras 60 peratus seperti Sabah, Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

    Menurut Khairy, kementeriannya menyasarkan M semua negeri akan mencapai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus menjelang September.

  • Aplikasi MySejahtera akan ditambah ciri baharu – Khairy

    Aplikasi MySejahtera akan ditambah ciri baharu – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENAMBAHBAIKAN dengan pengenalan ciri-ciri baharu akan dilakukan dalam aplikasi MySejahtera bagi memudahkan penggunanya memaparkan status kesihatan mereka.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan yang dipertanggungjawabkan akan memulakan proses penambahbaikan bagi memudahkan orang ramai memaparkan tahap risiko dan status vaksinasi masing-masing.

    Khairy berkata, satu ciri terbaru dalam aplikasi MySejahtera ialah butang daftar keluar yang ditambah bagi menambah baik proses pengesanan kontak.

    “Sebaik saja meninggalkan satu tempat, perlu sentiasa ingat untuk daftar keluar. Anda hanya perlu menekan satu butang, tiada imbasan diperlukan.

    “Kami akan terus mengemas kini dan menambah baik aplikasi itu dalam minggu-minggu berikutnya,” katanya dalam akaun Tweeter miliknya, malam tadi.

    Ciri baharu dalam aplikasi MySejahtera.

    Jelas beliau, ini akan memudahkan kehidupan rakyat di tengah-tengah penularan pancemik Covid.

    MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak Covid-19 di negara ini.

  • Vaksin CanSino diagih ke Pulau Mabul: Khairy

    Vaksin CanSino diagih ke Pulau Mabul: Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan ,agagihan vaksin CanSino diteruskan ke Pulau Mabul, Sabah pada hari ini.

    Perkara tersebut dikongsikan Ahli Parlimen Rembau itu menerusi ciapan dalam Twitter miliknya.

    Dalam hantaran sama, beliau memuat naik dua keping gambar petugas kesihatan dalam perjalanan ke pulau itu

  • Tiada kematian berkait langsung vaksinasi COVID-19

    Tiada kematian berkait langsung vaksinasi COVID-19

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, tiada satu pun kes kematian yang menunjukkan ada kaitan kasual secara langsung dengan vaksinasi COVID-19.

    Memetik laporan BH, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan sejumlah data mengenai kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) pada minggu depan.

    Menurut beliau, sejak program vaksinasi dilaksanakan bermula 24 Februari sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 34.45 juta dos vaksin sudah diberikan, dengan 20.7 maklum balas AEFI bagi setiap 1,000 dos diterima melalui aplikasi MySejahtera.

    Antara kesan sampingan kecil yang paling banyak direkodkan termasuk sakit di bahagian suntikan, pening kelapa dan kelesuan.

    “Melalui sistem laporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kadar laporan keseluruhan yang diterima adalah 0.53 dalam 1,000 dos.

    “Daripada jumlah ini, 0.04 dalam 1,000 dos yang dilaporkan dikategorikan sebagai AEFI serius, yang majoritinya memerlukan tempoh kemasukan ke wad yang singkat bagi pemantauan dan rawatan,” katanya dalam sidang media yang pertama sebagai Menteri Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan akan membekalkan lebih banyak data terperinci berkaitan COVID-19 kepada umum bermula minggu hadapan, bagi meningkatkan lagi ketelusan kementerian itu dalam pemberian maklumat.

    Tambah beliau, data berkenaan akan disiarkan secara terbuka supaya orang ramai dapat melihat lebih banyak data, berbanding yang dibekalkan Kementerian Kesihatan ketika ini.

    “Saya sudah buat ketetapan supaya budaya kerja di Kementerian Kesihatan selepas ini lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan maklum balas Kementerian Kesihatan kepada pandemik ini, tiada lagi tuduhan kerahsiaan atau tembok maklumat yang tidak dapat diperoleh dari kerajaan,” jelasnya.

    Khairy turut berpuas hati dengan data yang semakin banyak disenaraikan Kementerian Kesihatan sebagai sumber terbuka.

    Pada masa sama, beliau berkata, ketika ini hanya 4,159 individu yang pulang dari luar negara yang dibenarkan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

    Khairy berkata, kebenaran berkenaan dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko, sejarah vaksinasi dan ujian pengesanan COVID-19, negara asal penerbangan serta keadaan rumah yang akan dijadikan lokasi kuarantin.

    “Kita sedia maklum mengenai pendapat bahawa mereka yang kembali ke Malaysia dapat menjalani kuarantin di rumah (ia) adalah tidak betul.

    “Kita tidak berikan kebenaran kuarantin di rumah kepada semua orang,” katanya.