Tag: ketulan mampat ganja

  • 3 beranak ditahan bersama ketulan mampat ganja, heroin bernilai lebih RM50,000

    3 beranak ditahan bersama ketulan mampat ganja, heroin bernilai lebih RM50,000

    POLIS Pulau Pinang menahan tiga beranak yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan heroin untuk pasaran tempatan dalam serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Selasa lalu.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintenden Mohd. Nor Daud berkata, turut ditahan daripada pasangan suami isteri dan anak mereka itu adalah dadah jenis ganja dan heroin bernilai RM53,265.

    Menurut beliau, suspek pertama iaitu lelaki berusia 49 tahun yang juga disyaki dalang sindiket itu ditahan dalam serbuan pukul 9 pagi di sebuah kawasan taman permainan di Bukit Mertajam yang mana polis merampas satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 7.20 gram bernilai RM550.

    Berdasarkan maklumat daripada suspek, ujar beliau, polis seterusnya menyerbu sebuah rumah tidak jauh dari situ dan menangkap isteri serta anak lelaki suspek masing-masing berusia 53 dan 23 tahun.

    “Siasatan lanjut kemudian menjumpai empat ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 1,363 gram bernilai RM20,650 selain 18 peket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 2,209 gram bernilai RM32,065,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPT hari ini.

    Mengulas lanjut, kata Mohd. Nor, si bapa yang bekerja sebagai buruh mempunyai lapan rekod kesalahan dadah dan satu rekod berkaitan jenayah.

    Sementara itu, anaknya yang merupakan penganggur mempunyai dua rekod berkaitan dadah manakala isterinya yang juga suri rumah tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Ujar beliau, ketiga-tiga suspek bagaimanapun negatif dadah hasil ujian saringan air kencing dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau boleh disebat tidak kurang daripada 15 kali sebatan jika tidak dihukum mati.

    “Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu dengan menyita dua buah motosikal yang masing-masing berharga RM2,500 dan RM3,500 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM59,265,” katanya.

  • 35 ketulan mampat ganja bernilai RM142,000 disorok di bengkel kenderaan

    35 ketulan mampat ganja bernilai RM142,000 disorok di bengkel kenderaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 35 ketulan mampat ganja ditemukan dalam serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah bengkel dekat Pekan Changlun, Kubang Pasu pada Ahad lalu.

    Pengarah Kastam Negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, kesemua dadah tersebut ditemukan dalam empat kotak putih yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.

    Katanya, nilai keseluruhan kesemua dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM142,000.

    “Serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan rapi dijalankan selama dua minggu.

    “Susulan itu, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 50-an ditahan dan direman hinngga 9 Disember depan bagi membantu siasatan manakala kenderaan tersebut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, dadah tersebut disyaki disorokkan dalam kenderaan di bengkel tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati.

    “Orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak terlibat dengan kegiatan sedemikian. Penyeludupan tidak hanya merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

    Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam di nombor 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat di semua negeri.

    “Pihak JKDM memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.