Tag: Ketua Polis Selangor

  • Polis siasat dakwaan ugutan jenayah libatkan pegawai kanannya

    Polis siasat dakwaan ugutan jenayah libatkan pegawai kanannya

    POLIS Kontinjen Selangor mengesahkan menerima satu laporan mengenai kes ugutan jenayah melibatkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang sedang tular menerusi media sosial. 

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dalam kejadian itu merupakan seorang wanita berumur 36 tahun yang mendakwa diugut dan dicederakan kerana ingin meminta semula wang yang telah dipinjamkan kepada pegawai kanan polis berkenaan.

    “Hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut (ugutan jenayah) dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan berhenti menyebarkannya menerusi media sosial kerana kes itu sedang dalam siasatan polis.  

    “Polis Kontinjen Selangor memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan terperinci serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang,” katanya.

  • Polis Selangor tumpaskan dua kumpulan sindiket, rampas dadah RM3.89 juta

    Polis Selangor tumpaskan dua kumpulan sindiket, rampas dadah RM3.89 juta

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    POLIS Selangor menumpaskan dua kumpulan sindiket pengedaran dadah menerusi beberapa siri tangkapan sekitar Gombak dan Ampang Jaya, serta merampas dadah bernilai RM3.89 juta di Shah Alam awal bulan ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam operasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap 17 suspek warga tempatan membabitkan 14 lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 26 hingga 65 tahun.

    “Bagi kes pertama pukul 3 petang 6 Ogos lalu, polis menangkap tiga lelaki di kawasan perumahan di Batu Caves dan merampas 97 bungkusan hijau berisi dadah disyaki Methamphetamine dengan anggaran berat 100.74 kilogram (kg) serta sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.

    “Polis turut menangkap empat lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan terbabit di empat lokasi berlainan sekitar kawasan Gombak, Selayang dan Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media secara maya, semalam.

    Bagi kes pertama katanya, lima daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, malah hasil ujian saringan awal urin mendapati tiga suspek positif Opiate dan THC.

    Arjunaidi berkata, nilai sitaan berjumlah RM448,420 iaitu wang tunai RM114,750; empat kenderaan bernilai RM240,000 dan wang dalam empat akaun berjumlah RM93,670.

    Sementara itu, beliau berkata, kumpulan sindiket pengedaran dadah kedua pula diberkas di kawasan lot parkir kereta sebuah pasar raya di Ampang, pukul 11.15 pagi 8 Ogos lalu.

    “Sepasukan polis berjaya menahan dua kenderaan jenis Toyota Estima dan Volkswagen Passat serta menangkap dua lelaki dan dua wanita di lokasi terbabit.

    “Dalam pemeriksaan ke atas Volkswagen Passat, polis merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi dadah disyaki Methamphetamine anggaran berat 7.35 kg.

    “Susulan itu, polis turut menangkap lima lelaki dan seorang wanita di enam lokasi berbeza sekitar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata, semakan mendapati tujuh daripada 10 suspek kes kedua itu mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala tiga daripada mereka positif Methamphetamine.

    “Nilai sitaan berjumlah RM976,720 membabitkan RM12,970 wang tunai, tujuh kenderaan berjumlah RM495,000; 12 barang kemas bernilai RM37,570, tiga utas jam tangan bernilai RM85,000 serta wang dalam 20 akaun berjumlah RM346,180,” katanya.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah dirampas dalam kedua-dua kes berjumlah RM3.89 juta dan keseluruhan sitaan kedua-dua kes berjumlah RM1.43 juta.

    “Dadah dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang dan Selangor. Kedua-dua kumpulan ini tiada kaitan, dipercayai aktif sejak enam bulan hingga setahun lalu.

    “Semua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan Acara Jenayah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Polis Selangor tumpas sindiket haram ‘Datuk Ken’

    Polis Selangor tumpas sindiket haram ‘Datuk Ken’

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 15 individu warga tempatan terlibat sindiket haram didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk Ken’, ditahan menerusi serbuan di sekitar Rawang, Gombak pada 6 Julai dan 11 Ogos lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Bahagian

    Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman itu turut berjaya menahan suspek utama berusia 40 tahun bersama-sama isterinya, 41, di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos.

    Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati lelaki berkenaan menjalankan kegiatan haram, antaranya aktiviti perjudian dalam talian, bitcoin dan peminjaman wang tanpa lesen secara berperingkat-peringkat sejak 2014.

    “Suspek utama itu ditahan susulan penangkapan 13 individu dipercayai pekerjanya menerusi serbuan di empat buah rumah di Bandar Country Homes, Rawang pada 6 Julai lalu.

    “Semua 13 suspek berusia 17 tahun hingga 40 tahun itu meraih pendapatan antara RM2,500 dan RM8,000, mengikut peranan dan jawatan masing-masing. Mereka sudah dituduh pada 9 Julai mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di Mahkamah Selayang.

    “Berdasarkan keterangan dan maklumat risikan, JSJ IPK Selangor dan Unit AMLA Bukit Aman kemudian melakukan penangkapan ketua sindiket danisterinya itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Hasil siasatan katanya, mendapati ketua sindiket itu mempunyai kaitan dengan 24 buah syarikat lain bagi mencuci wang hasil haram itu.

    Katanya, menerusi serbuan itu, polis turut merampas 14 kereta mewah, termasuk Lamborghini Huracan, BMW 8i, Nissan GTR dan Porsche Cayman serta 14 buah banglo yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

    “Kita turut menyita tiga buah unit rumah kedai, wang tunai, termasuk mata wang asing serta pembekuan 71 akaun bank dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah hampir RM33 juta.

    “Semakan mendapati ketua sindiket dan isterinya tiada mempunyai sebarang rekod lama,” katanya.

    Beliau menegaskan, sindiket berkenaan tiada kaitan dengan jenayah dilakukan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

  • ‘Berpesta’ dalam balai: Siasatan jenayah, tatatertib dijalankan

    ‘Berpesta’ dalam balai: Siasatan jenayah, tatatertib dijalankan

    POLIS Selangor sedang menjalankan siasatan jenayah dan tatatertib terhadap ketua balai berpangkat sub inspektor dan tigaanggotanya yang ditangkap ketika berpesta dalam balai polis di daerah Kajang pada 20 Julai lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan kes jenayah akan dijalankan selari dengan tatatertib.

    “Siasatan tatatertib dan kesalahan jenayah sedang dijalankan, jadi kita perlu tunggu hingga kesemua siasatan itu selesai,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar secara maya, hari ini.

    Dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, ketua balai berkenaan dan tiga anggota polis berpangkat koperal dan koperal sokongan, serta empat wanita orang awam ditahan dalam sebuah bilik khas di tingkat dua balai polis berkenaan.

    Ketika serbuan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum.