Tag: kesihatan

  • KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan 4,914 jawatan tetap bagi tahun ini, merangkumi 4,263 perjawatan bagi pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan untuk mengisi perjawatan berkenaan dibuka mulai hari ini hingga 21 Jan menerusi portal https://spa9.spa.gov.my.

    Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini hari ini, Dr Zaliha berkata Pengarah Kesihatan Negeri disaran membuat penjajaran perjawatan atau sumber manusia dengan pusingan kerja, sebagai contoh menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital bagi mengelakkan kejadian burnout atau lesu upaya pegawai.

    Beliau turut mencadangkan agar Pengarah Kesihatan Negeri meneliti semula keperluan untuk melanjutkan waktu pengoperasian klinik kesihatan bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.

    “Ia bagi mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik berkenaan dan bukan di Jabatan Kecemasan,” katanya dan menambah Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di Jabatan Kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam disebabkan kes bukan kritikal.

    Mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2023 yang disemak yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini, Dr Zaliha optimis kementerian itu akan menerima peruntukan lebih tinggi tahun ini berbanding RM32.41 bilion yang diterima pada 2022.

    Bagi tahun ini, katanya KKM menjangkakan lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan dapat diserah dan dijangka beroperasi antaranya Hospital Pendang (Kedah) dan Hospital Kemaman (Terengganu).

    “Dengan siapnya projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan yang lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan kembali pemberian vaksin virus papiloma manusia (HPV) yang dapat mencegah penyakit kanser serviks kepada pelajar tingkatan satu pada tahun ini.

    “Pada 2021, pemberian vaksin itu terpaksa ditangguhkan akibat gangguan bekalan di peringkat global, namun KKM pada Disember lepas telah berjaya membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin dan ia telah berada di lapangan,” katanya. – BERNAMA

  • COVID-19: Malaysia tidak diskriminasi pelancong asing, utamakan kesihatan rakyat

    COVID-19: Malaysia tidak diskriminasi pelancong asing, utamakan kesihatan rakyat

    MALAYSIA tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan COVID-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini, namun mahu memastikan kesihatan rakyat adalah keutamaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen juga diperketatkan bagi memantau kemasukan rakyat asing ke Malaysia.

    “Kalau kita lihat umpamanya kadar jangkitan (COVID-19) di China yang diuar-uarkan, ia tinggi dan kita juga tahu kadar kematian di Amerika Syarikat akibat COVID-19 juga tinggi, dan begitu juga beberapa negara lain.

    “Jadi kita ambil tindakan untuk menyelamatkan rakyat kita, jadi sesiapa sahaja yang masuk (ke Malaysia) harus dipantau dan dikenakan syarat yang sama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

    Anwar berkata dalam mesyuarat hari ini Jemaah Menteri juga berpendapat urusan pelancongan mahupun ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan negara dalam mengawal jangkitan sebarang wabak terhadap rakyat termasuk COVID-19.

    Menurut Perdana Menteri laporan media yang dikeluarkan berkaitan pelancong China juga berbeza dengan fakta sebenar yang berlaku, serta tidak memberi kesan kepada kadar jangkitan di negara ini.

    “Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) berikan jumlah pelawat dari China umpamanya untuk 2022 adalah 336,000 orang dengan majoriti besar adalah pelancong, dan tidak beri kesan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

    “Disember sahaja pelawat China adalah 53,000 orang, jadi kita tak melihat lonjakan jangkitan yang mengaitkan mana-mana negara,” katanya yang turut menjelaskan angka itu tidak bermakna Malaysia memberi kelonggaran kepada mana-mana negara untuk masuk ke Malaysia.

    Penghujung tahun lepas, China melaporkan berlaku lonjakan kes COVID-19 berikutan varian Omicron yang merebak dengan pantas, dan beberapa negara mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan pengembara dari China ke negara mereka sebagai langkah menghalang penularan wabak itu.

    Anwar seterusnya menasihati orang ramai untuk mendapatkan vaksin penggalak COVID-19 memandangkan hanya 49 peratus rakyat sahaja yang telah mendapatkan dos itu, selain bekalan vaksin juga  masih banyak iaitu sekitar enam juta dos. 

    Anwar berkata disebabkan dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua, banyak bekalan itu sebelum ini sudah dilupuskan.

    “Jadi saya usulkan mula dengan wartawan yang belum ambil booster (penggalak) pertama untuk ambil, kerana jangkitan ini ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan belum menentu, belum tamat.

    “Kalau yang dah ambil dos pertama, dos kedua, booster itu kena ada, kerana vaksin ini masih ada. Jadi untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki ambil booster kemudian disusuli dengan rakyat lain kerana kalau wartawan beri contoh teladan yang baik, itu akan diikuti oleh rakyat,” katanya. 

    Malah Perdana Menteri turut menjelaskan beliau juga telah mendapatkan dos penggalak COVID-19.

    “Saya sudah (ambil dos penggalak). Alhamdulillah. Saya boleh tunjuk saya punya MySejahtera,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau telah mendapatkan dos penggalak itu. – BERNAMA

  • PN beri tumpuan isu miskin tegar, kesihatan

    PN beri tumpuan isu miskin tegar, kesihatan

    PERIKATAN Nasional (PN) membuktikan keprihatinan sebuah kerajaan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu terutama berkait dengan kesihatan dan kelangsungan hidup rakyatnya.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya PN menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini, isu kemiskinan akan diberi tumpuan dengan penubuhan MyPrihatin yang mampu mengesan golongan tersebut dalam masa singkat.

    “Kita akan tubuhkan myprihatin iaitu sebuah agensi sehenti dan pangkalan data tunggal untuk menguruskan penyaluran bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

    “Kita nak wujudkan satu sistem pangkalan. Maknanya kalaulah di Pasir Gudang, ada orang miskin dan ramai pula yang terjatuh dalam kumpulan miskin dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan, sistem ini akan kesan mereka.

    “Dalam tempoh yang dekat, mungkin cepat tak sampai sebulan mereka akan dapat (bantuan sewajarnya). Kita berikan bantuan (segera) kerana orang yang berhadapan masalah hidupnya daif, tak boleh tunggu walau sehari pun,” katanya ketika siri Jelajah Perikatan Nasional Best Daerah Johor Bahru, di Pasir Gudang, malam tadi.

    Selain itu katanya, PN juga akan menyediakan kad prihatin nasional yang memberi ruang kepada rakyat mendapat rawatan secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

    “Ada waktu tertentu kita ini terganggu kesihatannya. Saya kena kanser, Alhamdulillah dah empat tahun doktor buat ‘scan’ doktor kata saya sudah bebas daripada kanser. Alhamdulillah.

    “Ramai dalam kalangan kita hari ini ada darah tinggi, darah rendah, kencing manis macam-macam masalah. Jadi semua orang memerlukan rawatan kesihatan. Saya janji kalau kerajaan PN menang, kita akan wujudkan kad prihatin nasional untuk memberikan akses kepada perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan,” katanya lapor Agendadaily.

    Memahami denyut nadi rakyat yang kesempitan hidup, PN juga akan menyediakan perkhidmatan bas dan pusat penjagaan kanak-kanak secara percuma kepada kumpulan miskin serta miskin tegar.

    “Kalau mereka ada anak ke sekolah, kita sediakan bas, jadi kurang belanja ibu bapa. Kita juga sediakan pusat penjagaan kanak-kanak kerana ibunya bekerja (maka anaknya) boleh diletakkan di situ (pusat jagaan).

    “Ini kerajaan akan bina dan kita akan jemput pihak swasta juga untuk (sama-sama) membina,” katanya.

  • Ambil peluang Ramadan latih diri amal gaya hidup sihat

    Ambil peluang Ramadan latih diri amal gaya hidup sihat

    ELAK makan berlebihan dan ambil peluang berpuasa pada bulan Ramadan ini sebagai satu latihan mengamalkan diet yang seimbang serta menurunkan berat badan bagi menjamin kesihatan yang baik, kata pakar kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof Dr Suzana Shahar berkata, separuh daripada jumlah orang dewasa di negara ini mengalami masalah obesiti atau setiap dua rakyat Malaysia, seorang daripadanya mengalami masalah berat badan berlebihan.

    “Sepatutnya pada bulan Ramadan ini seseorang individu boleh mengurangkan kira-kira 500 kalori sekiranya kita tidak makan pada waktu siang berbanding hari biasa.

    “Kebiasaannya pada hari-hari lain, kita akan memperoleh 2,000 hingga 3,000 kalori sehari dengan lima kali waktu makan berbanding waktu makan pada bulan puasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Suzana berkata, walaupun ada yang berupaya dan berjaya mengurangkan berat badan pada bulan puasa, mungkin tidak ramai yang mampu mengekalkan berat badan berkenaan kerana ia akan meningkat semula pada hari raya.

    “Paling penting sewaktu berbuka, dinasihatkan untuk berbuka secara bersederhana, perkara ini boleh dikawal dengan pengambilan makanan menggunakan konsep suku-suku, contohnya suku nasi iaitu satu senduk nasi penuh, suku ayam atau ikan sepotong, sayur serta buah-buahan.

    “Sebaiknya pada waktu berbuka itu dimulakan dengan makanan gula segera iaitu ‘fast release sugar’ seperti kurma dalam tiga biji dan minum air panas atau suam terlebih dahulu,” katanya.

    Jelas beliau lagi, selepas solat maghrib barulah disarankan mengambil makanan mengandungi karbohidrat yang tinggi seperti nasi, pasta dan beberapa hidangan yang lain.

    “Selain itu, masalah keracunan makanan pada bulan puasa sering kali berlaku, diingatkan kepada orang ramai untuk masak sendiri dan hanya beli juadah yang sukar dimasak sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Obesiti Kanak-Kanak dan Dewasa, Kevin Zahri berkata bagi mengekalkan tenaga sepanjang bulan Ramadan ini, orang ramai disarankan mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.

    “Contohnya ‘brown bread’, oat, nasi perang atau makanan yang berserat kerana makanan-makanan seperti ini akan dihadam dengan perlahan dan membekalkan tenaga yang berkekalan.

    “Selain itu, protein juga dapat mengenyangkan sementara gula ringkas seperti kuih, biskut, nasi putih kurang mengenyangkan dan membekalkan tenaga yang cepat,” katanya.

    Kevin yang juga terkenal sebagai guru kecergasan dalam media sosial turut berkongsi jenis senaman yang boleh diamalkan ketika Ramadan iaitu sebelum dan selepas berbuka puasa.

    “Sebelum berbuka, lakukan senaman yang rendah intensiti dan tidak memudaratkan seperti berjalan kaki manakala selepas berbuka pula dibenarkan untuk tinggi intensiti contohnya lompat tali dapat membantu membakar kalori yang banyak,” katanya.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk menggunakan kelebihan bulan Ramadan agar sentiasa cuba membaiki kesihatan diri secara menyeluruh merangkumi mental, fizikal dan spiritual. – BERNAMA

  • Penyakit tidak berjangkit, COVID-19 antara cabaran RMK-12

    Penyakit tidak berjangkit, COVID-19 antara cabaran RMK-12

    RMK12

    PENINGKATAN insiden penyakit tidak berjangkit dan keperluan untuk menguruskan pandemik COVID-19 dikenal pasti antara cabaran pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Menurut dokumen RMK-12 dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, dua perkara tersebut dilihat akan memberi tekanan lebih besar kepada sistem penjagaan kesihatan dalam aspek sosial.

    Selain itu, perubahan demografi bermakna Malaysia perlu membuat persiapan menyeluruh dalam tempoh pelaksanaan RMK-12 untuk menghadapi cabaran yang wujud berikutan peningkatan peratusan masyarakat tua menjelang 2030.

    “Negara berhadapan cabaran menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan serta keperluan meningkatkan taraf hidup B40 dan M40 dengan pendekatan yang lebih bersasar.

    “Usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah juga menjadi cabaran. Walaupun kadar urbanisasi yang pesat menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu, namun ia memberi cabaran untuk menyediakan infrastruktur serta bekalan tenaga dan bekalan air yang mencukupi,” menurut dokumen itu.

    Sementara itu, kadar pemulihan ekonomi dalam tempoh lima tahun ini bergantung kepada pelaksanaan vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta keberkesanan langkah yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan.

    Penyampaian perkhidmatan awam pula akan diperkukuh bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan. – BERNAMA

  • Pelan rangka tindakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan akan diperkenal

    Pelan rangka tindakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan akan diperkenal

    RMK12

    PELAN Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia akan diperkenal sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

    Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, dalam merangka pelan rangka tindakan ini kajian akan dijalankan untuk memantapkan landskap sektor penjagaan kesihatan.

    “Kajian ini akan merangkumi transformasi sektor penjagaan kesihatan awam, pembaharuan peraturan sektor penjagaan kesihatan swasta dan pembiayaan kesihatan yang mampan,” katanya.

    Pelan dan kajian ini adalah langkah untuk memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan di bawah strategi memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan negara yang menjadi antara keutamaan RMK-12 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen RMK-12 itu beberapa dasar yang menyasarkan keperluan kesihatan khusus akan diperkenal seperti penjagaan kesihatan oral, kesihatan mental dan imunisasi.

    Di samping itu dasar keselamatan makanan akan dikaji semula untuk melindungi rakyat daripada ancaman kesihatan dan penipuan dalam rantaian bekalan makanan termasuk penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, selain Akta kualiti air minum juga akan diperkenal.

    Menurut dokumen itu selain memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan, lima lagi langkah untuk memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memerangi penyakit berjangkit dan memerangi penyakit tidak berjangkit.

    “Tiga lagi langkah ialah memperkukuh program penjagaan kesihatan warga emas, meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengendali krisis kesihatan dan memastikan kualiti dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan,” menurut dokumen itu.

    Dua lagi strategi yang digariskan dalam RMK-12 untuk mempertingkat penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam serta memanfaatkan teknologi.

    Di bawah strategi kedua iaitu memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam, langkah akan diambil untuk menangani kenaikan kos dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

    Tiga langkah yang akan dilaksana ialah memastikan kemampanan kewangan untuk penjagaan kesihatan, memperkukuh perlindungan kesihatan dan mempertingkat literasi dan kesedaran mengenai kesihatan.

    Platform media sosial akan dimanfaatkan bagi meningkatkan literasi kesihatan dan menangani maklumat mengelirukan yang memburukkan lagi isu kesihatan.

    Strategi ketiga iaitu memanfaatkan teknologi bakal menyaksikan subsektor penjagaan kesihatan negara memanfaatkan teknologi baharu muncul bagi mengurangkan kos dan prosedur yang tidak perlu.

    Dua inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah strategi ini ialah mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti penyelidikan, pembangunan dan inovasi. – BERNAMA

  • Terengganu uji aplikasi Al Batuk bagi kesan tahap kesihatan pelancong

    Terengganu uji aplikasi Al Batuk bagi kesan tahap kesihatan pelancong

    TERENGGANU sedang berusaha untuk mempergiatkan semula industri pelancongan negeri yang semakin malap ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara akibat penularan wabak Covid-19.

    Justeru, bagi memulihkan semula industri tersebut, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa strategi tertentu dengan pendekatan secara berhati-hati.

    Atiffin Deraman

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Atiffin Deraman memberitahu, antaranya termasuklah cadangan memperkenalkan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) Kesihatan dikenali sebagai Al Batuk.

    Menurut Ariffin, buat masa ini pihaknya sedang menguji aplikasi berkenaan sebelum ia dilaksanakan kelak.

    Katanya, pendekatan itu perlu kerana berdasarkan kajian, kes penularan Covid-19 di negeri ini kebanyakan berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

    “Oleh itu, kita akan gunakan aplikasi AI Batuk di setiap pintu sempadan negeri bagi mengesan tahap kesihatan semua individu yang ingin melancong ke Terengganu.

    “Jika ada yang positif, individu terbabit perlu membuat rawatan terus ke fasiliti kesihatan berdekatan.

    “Ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam mengekang penularan wabak ini dari luar, sekali gus ia mampu meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk melancong ke sini,” ujarnya di Kuala Terengganu hari ini.

    Ariffin berkata, kebanyakan penggiat industri pelancongan di pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir ingin membuat persediaan lebih rapi di premis masing-masing dengan mengambil kira pelbagai aspek Prosedur Operasi Standard (SOP).

    Malah katanya, ada pemilik premis maklumkan mereka mahukan setiap pelancong yang datang ke negeri mesti terlebih dahulu membuat ujian calitan.

    Beliau berkata, ia sebagai langkah berhati-hati kerana tidak mahu risiko premis ditutup selepas beroperasi kelak.

    “Begitu juga dengan pemantauan di jeti-jeti pelancongan, mereka mahukan penguat kuasa setiap daerah agar mengetatkan SOP ke atas setiap pelancong termasuk memastikan bilangan individu dalam bot mesti mengikut kuota dibenarkan,” katanya.

    Sementara itu, Ariffin bekata, kerajaan negeri juga akan terus meningkatkan program vaksinasi ke atas semua pengusaha dan pekerja pelancongan di negeri ini bagi meyakinkan orang ramai datang bercuti, sekaligus merancakkan kembali industri pelancongan domestik.

    “Orang ramai perlu diberi keyakinan bahawa semua penggiat industri ini telah menerima suntikan dos lengkap dan SOP ketat dikenakan pihak penguat kuasa bagi memastikan aktiviti pelancongan tidak menjadi punca wujudnya kluster baharu,”ujar beliau.