Tag: kerja

  • Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    POLIS Melaka menerima 48 laporan berkaitan penipuan tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM700,000 dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Ogos lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata penipuan berkenaan melibatkan tawaran kerja dari syarikat jualan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp.

    Beliau berkata suspek penipuan juga menggunakan nama syarikat terkenal seperti Lazada dan Shopee bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

    “Modus operandi penipuan berkenaan ialah suspek menawarkan kepada mangsa untuk menjadi ejen jualan, menaikkan ‘rating’ perniagaan dan membantu mempromosikan peniaga secara dalam talian.

    “Mangsa akan ditawarkan komisen lumayan sebanyak lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata selain itu, sindiket juga menawarkan kerja sebagai ejen pembelian yang berperanan membuat pembelian barangan dan mangsa akan diberi komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barang yang dibayar.

    Katanya kebanyakan mangsa mula menyedari diperdaya oleh sindiket tawaran kerja tidak wujud apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima.

    Sundra Rajan berkata kes terbaru dilaporkan melibatkan seorang eksekutif perniagaan yang mengalami kerugian sebanyak RM8,000 akibat terpedaya dengan tawaran komisen sebanyak lapan peratus sebagai ejen pembelian barang di Facebook.

    Beliau berkata wanita berusia 23 tahun yang tinggal di Ayer Keroh di sini telah membuat pembayaran berkenaan sebagai modal pembelian ke akaun yang diberikan suspek membabitkan transaksi sebanyak lima kali sejak 10 Ogos lepas.

    “Menerusi tawaran kerja itu, mangsa berperanan menaikkan ‘rating’ peniaga kecil dengan membuat pembelian barang syarikat itu untuk mendapatkan komisen sebanyak lapan peratus namun sehingga laporan dibuat pada 13 Ogos lepas, mangsa masih belum menerima semula wang modal pembelian dan komisen yang dijanjikan,” katanya.

    Beliau berkata sehubungan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 13 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Katanya orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial atau laman sesawang dan semak nombor telefon serta nombor akaun yang diragui di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA

  • 2 penuntut universiti rugi RM27,545 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

    2 penuntut universiti rugi RM27,545 ditipu sindiket tawar kerja sambilan

    DUA penuntut universiti di Kepala Batas, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM27,545 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan menerusi platform e-dagang popular.

    Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu mula terjerat dalam penipuan sindiket tersebut selepas melihat iklan yang ditawarkan menerusi Facebook baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka telah menekan satu pautan di Facebook sebelum nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi sosial WhatsApp.

    Beliau berkata, menerusi kumpulan WhatsApp itu mangsa telah diberi penerangan tentang pekerjaan yang perlu dilakukan sebagai ejen pembelian online.

    Jelasnya, mereka diminta melakukan tugas membeli barang yang ditetapkan oleh pengendali kumpulan itu yang mana pembayarannya akan dibuat terus ke akaun bank sindiket.

    “Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.

    “Pada peringkat awal, mangsa menerima wang keuntungan seperti dijanjikan sehingga mendorong mereka membuat lebih banyak pembayaran secara berperingkat sehingga masing-masing berjumlah RM6,095 dan RM21,450,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
      
    Jelas Noorzainy, kedua-dua mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas mereka tidak lagi menerima wang keuntungan yang dijanjikan.

    Jelasnya, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket,” katanya.

    Menurut Noorzainy, sepanjang tahun ini sebanyak lima kes penipuan dengan modus operandi sama direkodkan di SPU dengan jumlah keseluruhan kerugian  RM59,328.