Tag: kerani

  • Kerani didakwa bunuh anak kandung

    Kerani didakwa bunuh anak kandung

    SEORANG kerani syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia enam bulan di sebuah rumah di Kampung Klang Gate, bulan lepas.

    Zainah Misdin, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Wanita itu didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas, membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Jalan Seladang 2 Kampung Klang Gate di sini pada 7.40 malam, 23 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Swinder Singh.

    Pada 30 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian itu pegawai perubatan hospital telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan, namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang, 29 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Pengembala lembu didakwa bunuh kerani

    Pengembala lembu didakwa bunuh kerani

    SEORANG pengembala lembu berusia 29 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita pada 28 Ogos lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Kirubakaran selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aziana Azib.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan bunuh sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, Lee Ling Tee, 40.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 28 Ogos lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

    Sementara itu di mahkamah sama, Kirubakaran mengaku bersalah bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukan dadah jenis amphetamin dan methamphetamine ke dalam tubuh.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal, Pulau Pinang kira-kira pukul 1 pagi pada 29 Ogos lalu.

    Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Kes akan disebut semula pada 8 November ini sementara menunggu laporan patologi dan bedah siasat manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia ditemui maut dipercayai dirogol dan diliwat dengan mayatnya disorok di bawah katil di tingkat bawah sebuan rumah teres dua tingkat 28 Ogos lalu.

    Kejadian itu disedari rakannya yang mencarinya di rumah kira-kira pukul 7.30 malam selepas mangsa gagal dihubungi selain tidak hadir pada pertemuan mereka seperti dijanjikan pukul 3 petang.

    Susulan itu, polis menahan seorang lelaki untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati lelaki itu mendakwa memecah masuk kediaman wanita berkenaan pukul 2 pagi dan merogol serta meliwatnya.

    Suspek juga mendakwa menyumbat mulut wanita itu dengan seluar dalam mangsa dan menutup mulutnya dengan tangan selepas mangsa menjerit dan melawan.