Tag: Kerajaan persekutuan

  • Kerajaan PH-BN undur negara ke politik lapuk

    Kerajaan PH-BN undur negara ke politik lapuk

    LANGKAH kerajaan persekutuan membelakangi pemimpin kerajaan negeri yang berbeza parti politik dianggap bertentangan dengan semangat federalisme.

    Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, amalan sedemikian dianggap tempang, lebih-lebih lagi kerajaan sekarang mahu dikenali sebagai Malaysia Madani.

    Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, tindakan seumpama itu jelas mengundurkan negara ke belakang dan bertentangan dengan prinsip dan amalan federalisme.

    “Semua pihak harus bersikap profesional dalam konteks pelaksanaan dasar mahu pun program yang melibatkan hubungan dua hala persekutuan dan negeri.

    “Apatah lagi dalam perkara berkaitan urus tadbir kerajaan, perbezaan politik harus diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harakahdaily.

    Semalam Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor mendedahkan beliau dihalang daripada terlibat dengan mana-mana program kerajaan persekutuan termasuk LIMA di Langkawi.

    Malah program Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan yang dijadual diadakan di Dewan A, MEAPS Serdang 9 April ini turut diarah ditarik balik.

    Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya tidak mengundurkan negara ke landskap politik lapuk.

    Beliau menambah, polemik itu dicetus apabila projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah cuba disukarkan kerajaan sekarang.

  • Isu tuntutan caj air mentah: Kerajaan Persekutuan diharap jadi orang tengah

    Isu tuntutan caj air mentah: Kerajaan Persekutuan diharap jadi orang tengah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN Persekutuan perlu menjadi ‘orang tengah’ dalam rundingan antara Kedah dan Pulau Pinang bagi menyelesaikan isu tuntutan caj air mentah yang tidak berkesudahan antara dua negeri berjiran tersebut.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada perkembangan terbaru melibatkan kedua-dua negeri itu sejak pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Katanya, sikap kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap tuntutan Kedah itu juga tampak kekal sama seperti sebelum ini.

    “Sebelum PRU-15, kerajaan Persekutuan ketika itu ada mengusahakan pertemuan antara dua pihak tetapi di bawah kerajaan baharu ini, belum ada apa-apa lagi.

    “Kita harap kerajaan pusat dapat jadi pengendali rundingan itu dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan ambil inisiatif tersebut. Jika tidak isu ini akan berterusan kerana Kedah tidak akan sama sekali berhenti membuat tuntutan itu.

    “Kalau keadaan ni berterusan, kita akan ada langkah lain untuk diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan larian sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 anjuran Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di dataran depan Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Sebelum ini kerajaan negeri mengemukakan tuntutan bertulis keapda Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagaimanapun menegaskan, penggunaan air Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri ini adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

    Muhammad Sanusi menambah, ketika ini banyak pihak sudah memahami isu tersebut terutamanya penyelenggaraan, pengekalan tadahan air dan ‘river basin’ yang cuma lima peratus saja dimiliki Pulau Pinang.

    “Kita bukan saja menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi malah ‘terlepas’ banyak perkara kerana tidak dapat membangunkan tanah dari kawasan tadahan, demi memastikan bekalan air mentah tidak terjejas.

    “Pulau Pinang tak tahu semua ini kerana mereka cuma tahu ambil air di ‘bawah’ saja. Bayar sajalah,” katanya.

  • Kita telah berusaha sedaya upaya – Hadi

    Kita telah berusaha sedaya upaya – Hadi

    TAN Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional (PN) telah berusaha sedaya upaya membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN itu berkata, seterusnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima beliau.

    Menurut beliau, PN akan terus berkhidmat kepada rakyat dan terus berbakti kepada negara.

    “Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

    “Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mengingatkan kepada rakyat khasnya penyokong PN bahawa segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya.

    Namun katanya, apa yang penting bagi PN ialah jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

    “Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya. Yang penting kita jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

    “Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.

    Kemelut pemilihan Perdana Menteri Ke-10 berakhir setelah Anwar diumumkan sebagai pemimpin nombor satu negara sekali gus mengangkat sumpah hari ini.

    Keputusan PRU-15 Ahad lalu menyaksikan Parlimen tergantung dengan PH dan sekutunya memenangi 83 kerusi manakala PN 73 kerusi.

  • Kerajaan Persekutuan, Sabah setuju amaun pemberian khas dinaikkan

    Kerajaan Persekutuan, Sabah setuju amaun pemberian khas dinaikkan

    AMAUN pemberian khas baharu kepada Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, menurut kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

    Amaun berkenaan akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026, mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

    Kenyataan bersama itu menyebut kenaikan amaun itu, ekoran kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah, di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

    “Ini merupakan susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan Sabah, dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Feb 2022.

    “Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat adalah pada 1969,” menurut kenyaataan itu.

    Menurut kenyataan itu persetujuan kajian semula baharu tersebut turut merangkumi perkara lain iaitu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah akan terus berunding berhubung tuntutan 40 peratus daripada hasil Sabah, dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

    Ini bertujuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah, tanpa menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan.

    “Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula 2022,” menurut kenyataan itu lagi.

    Menurut kenyataan itu persetujuan tersebut adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah, untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan, serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri.

    Kerajaan Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

    Pelaksanaan kajian semula pemberian khas itu, termasuk hak kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai), seperti dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan.

    “Kedua-dua pihak iaitu kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan, serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

    Menurut kenyataan itu persetujuan berjaya dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah itu melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada kerajaan Sabah, serta keprihatinan negeri di bawah bayu itu terhadap peranan dan kemampuan kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan.

    “Penghargaan kami kepada delegasi kerajaan Persekutuan yang diketuai Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan delegasi kerajaan Sabah yang diterajui Menteri Kewangan II Sabah (Datuk Seri Masidi Manjun) dalam pencapaian bersejarah ini,” menurut kenyataan itu. – Bernama