Tag: kerajaan campuran

  • Penganalisis sangkal dakwaan Najib mampu kembalikan undi Melayu kepada BN

    Penganalisis sangkal dakwaan Najib mampu kembalikan undi Melayu kepada BN

    PENGANALISIS dan pemerhati politik menafikan dakwaan daripada sesetengah pihak daripada UMNO bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu menarik semula sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) seterusnya memberi kelebihan kepada kedudukan kerajaan campuran hari ini.

    Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International menjadi buah mulut orang ramai apabila UMNO memperbaharui usahanya untuk membebaskan bekas presiden mereka itu dengan mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

    Beliau sebelum ini dikatakan mempunyai potensi membalikkan undi Melayu kepada BN yang menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib berkata peralihan undi Melayu pada edisi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah kerana mereka menolak rasuah.

    “Saya kira orang UMNO sahaja yang masih keliru.

    “Majoriti Melayu bersama Perikatan Nasional (PN) bukan kerana Najib, tetapi menolak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Zahid merupakan antara pemimpin “kluster mahkamah” UMNO, iaitu senarai pemimpin parti yang didakwa atas kes salah guna kuasa dan rasuah.

    Ketika ini, beliau dalam percubaan menggugurkan puluhan dakwaan dalam kes Yayasan Akal Budi.

    Zahid dilepaskan oleh mahkamah dalam kes Visa Luar Negara.

    Populariti beliau turut merudum di kawasannya sendiri apabila hanya menang dengan majoriti lebih 300 undi di kerusi tradisinya di Bagan Datuk.

    Pada PRU15 lepas, berlaku peralihan undi orang Melayu kepada PN sehingga menumbangkan beberapa kubu kuat BN dan Pakatan Harapan (PH).

    PN menjadi blok kedua terbesar selepas PH dengan 74 kerusi.

    BN pula kalah teruk dengan hanya 30 kerusi, iaitu kekalahan paling teruk dalam sejarah gabungan itu.

    Berikutan itu, beberapa pihak menyalahkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menunggu selepas pemenjaraan Najib untuk membubarkan Parlimen.

    Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan hilang jawatan perdana menteri sekiranya gagal membantu pembebasan Najib.

    Anwar mengakui berada dalam Lembaga Pengampunan, iaitu lembaga yang bertanggungjawab membebaskan beliau sejurus kemenangan PH pada 2018.

    Sokongan Melayu menjadi duri dalam daging untuk kerajaan campuran PH-BN yang masih belum berupaya memenangi hati pengundi kaum itu.

    Anwar yang menyedari hakikat itu mencuba kempen optik pada awal pentadbirannya dalam usaha memikat hati pengundi Melayu.

    Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, pembebasan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerusi pengampunan diraja hanya akan memberi kelebihan kepada PN.

    “Pembebasan Najib Razak melalui pengampunan hanya akan menggembirakan penyokong-penyokong Najib dalam UMNO.

    “Jika orang-orang Melayu melihat pemenjaraan Najib adalah satu kezaliman, UMNO telah menang besar pada PRU15,” katanya.

    Najib yang tewas pada PRU14 mula disiasat dan didakwa dalam beberapa kes, termasuk kes 1MDB yang sedang dibicarakan.

    Selepas kejatuhannya, beliau cuba membangunkan imej baru menerusi kempen “Malu Apa Bosku” yang menyasarkan golongan muda dan orang Melayu.

    UMNO turut mengkreditkan kejayaan mereka dalam siri Pilihan Raya Kecil kepada pengaruh Najib.

    Namun menurut Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang, ini adalah pemerhatian yang kurang tepat.

    “Kejayaan UMNO-BN pada beberapa PRK selepas PRU14 adalah lebih kerana kekecewaan rakyat terhadap kerajaan PH pada masa itu,” katanya merujuk kepada pentadbiran 22 bulan PH.

  • Penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak berlaku di Johor, kata Zahid

    Penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak berlaku di Johor, kata Zahid

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, penubuhan Kerajaan Perpaduan seperti yang berlaku di Melaka, tidak mungkin berlaku di negeri lain, termasuk Johor.

    Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan termasuk di Johor.

    Menurut beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ia berikutan spekulasi sebegitu tidak baik untuk kestabilan politik di peringkat nasional, apatah lagi negeri.

    “Mengapa perlu ada kebimbangan. Sebenarnya apa yg berlaku di Melaka tidak kena mengena dengan situasi negeri lain.

    “Jadi suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Melaka. Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud sebab yang penting adalah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan di setiap negeri

    “Apa yang penting rakyat mengharapkan kestabilan ini akan membawa pelaburan daripada luar. Kestabilan juga membawa peluang ekonomi atas dasar kepercayaan untuk peniaga secara domestik atau luar negeri,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, di Muar, hari ini.

    Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Isnin lalu, Ahmad Zahid dilaporkan memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

    Beliau turut dilaporkan mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu.

    “Insya-Allah, di Melaka belum terbentuk Kerajaan Perpaduan tapi (kita) ke arah itu,” katanya.

    UMNO dilaporkan mencadangkan nama Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

    Ia susulan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ke-12, semalam.

    Mengulas lanjut mengenai pembentukan kerajaan Perpaduan termasuk di Johor, Ahmad Zahid berkata, Johor mempunyai acuannya tersendiri dalam melaksanakan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

    “Saya dimaklumkan di peringkat Johor ia dilaksana menerusi kaedah negeri Johor sendiri.

    “Di mana kerajaan negeri telah berikan peruntukan bersesuaian kepada semua Ahli Dewan Undangan (ADUN) negeri.

    “Ini tentunya akan memberikan optik yang baik kepada kerajaan Johor dan tentunya akan dapat beri keseimbangan antara kerajaan negeri diwakili ADUN Barisan Nasional (BN), ADUN parti gabungan lain termasuk yang tidak bersama kerajaan Persekutuan,” katanya.

  • Apa yang pelik dengan kerajaan Anwar-Zahid

    Apa yang pelik dengan kerajaan Anwar-Zahid

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    SEMUA sedia maklum yang rakyat ketika ini menghadapi masalah telur di pasaran yang berlanjutan dalam tempoh agak lama.

    Dengan tertubuhnya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, rakyat pada mulanya ingat bekalan akan pulih kerana Anwar mengumumkan bekalan kembali stabil selepas beliau mengangkat sumpah.

    Rupa-rupanya ia tidak berlaku seperti diperkatakan kerana masih terdapat masalah kekurangan bekalan dan aduan daripada pengguna yang telah terbeli telur busuk dan rosak di pasaran.

    Selepas mesyuarat kabinet pertama, Anwar pada sidang medianya berkata, Mat Sabu yang menjadi menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal pertanian dan sekuriti makanan akan mengumumkan harga baru telur yang lebih rendah pada hari Selasa iaitu semalam.

    Tetapi, pengumuman yang ditunggu-tunggu tidak pula dibuat. Yang diumumkan oleh Mat Sabu ialah langkah mengimport telur dari beberapa negara yang dikenal pasti bagi menampung keperluan pasaran tempatan.

    Dah masuk hari Rabu, tiada pula pengumuman penurunan harga telur seperti yang dikatakan oleh Anwar. Adakah rakyat kena tipu lagi seperti mana mereka menipu mengenai hubungan BN-PH?

    Di samping itu, ketika semua orang sibuk memperkatakan mengenai masalah bekalan telur, lain pula yang difokuskan oleh kerajaan Anwar-Zahid. Kerajaan ini menyentuh mengenai isu beras yang tidak menjadi masalah langsung ketika ini.

    Penulis sendiri tidak pernah menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan beras dan ada macam-macam jenis varian dan harga beras di pasaran.

    Jika ada duit lebih boleh beli yang harga T20, tetapi jika duit tidak tebal seperti orang lain, cukuplah sekadar membeli beras yang paling murah.

    Yang peliknya, Anwar pantas mengulas mengenai isu beras dan meminta Syed Mokhtar membantu petani dengan bantuan puluhan juta.

    Penulis setuju petani dibantu dengan pelbagai imbuhan untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan tindakan itu sepatutnya dibuat kepada taikun-taikun lain yang kekayaan mereka jauh lebih banyak berlipat kali ganda berbanding Syed Mokhtar.

    Tindakan biar adil supaya tidak menimbulkan persepsi buruk terdapat agenda tertentu terhadap usahawan Melayu yang telah banyak membantu rakyat melalui yayasannya itu.

    Dalam sidang media sama, kerajaan Anwar-Zahid turut menekankan mengenai pengurangan cabutan khas nombor ramalan judi dari 22 kali kepada 8 kali setahun.

    Penulis tidak setuju dengan tindakan itu kerana apa yang sepatutnya dilakukan ialah mengharamkan terus judi kerana 8 atau 22 kali cabutan pun, ia tetap judi.

    Bagi orang Islam yang tidak pernah mendekatkan diri dengan judi, ia tidak membawa sebarang makna kerana tiada kaitan dengan mereka dan bagi bukan Islam pula, ia menyebabkan pelbagai masalah kepada kaki judi dari segi masalah sosial dan kewangan.

    Banyak yang mengalami kerugian tergadai harta benda apabila terjebak dengan judi. Jika benar-benar mahu lihat isu ini dengan serius, sepatutnya tutup pusat-pusat judi yang ada di dalam negara dan judi online yang berleluasa ketika ini yang boleh dimainkan tanpa mengira waktu dan tempat.

    Dan dengan menuduh Perikatan Nasional menggunakan wang judi untuk berkempen adalah satu tuduhan yang serius. Ia perlu dikemukakan dengan bukti jelas kerana jika tidak, ia adalah fitnah untuk menjatuhkan imej pihak lawan.

    Penulis sendiri berasa sangsi dengan tuduhan itu kerana pemimpin yang menuduh adalah kerajaan yang tertubuh hasil penipuan terhadap pengundi manakala parti yang dituduh terbukti dengan prinsip integriti. Pelik bukan?

    Penulis adalah Penganalisis politik dan ekonomi

    WartaRakyat tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis yang disiarkan dalam entri media sosial beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat

  • PRU-15: Kerajaan campuran PN, BN, GPS, GRS

    PRU-15: Kerajaan campuran PN, BN, GPS, GRS

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama empat lagi gabungan parti politik Semenanjung dan Sabah.

    Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, keputusan itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

    Kata beliau, kerajaan campuran bersama GPS itu terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Menurutnya, Perdana Menteri akan diputuskan Yang Dipertuan Agong berdasarkan parti yang mendapat majoriti. Dan GPS memilih Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana Menteri.

    “Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat harus dibentuk dengan kadar segera.

    “Dengan itu, GPS telah mengambil keputusan dan tindakan tersebut di bawah demi untuk mengukuh dan menstabilkan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “Satu, bentuk gabungan PN BN GPS dan GRS bagi bentuk kerajaan Persektuan yang stabil dan kukuh demi rakyat,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Sebelum itu pada sebelah pagi, Abang Johari mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di kediaman Pengerusi PN itu di ibu negara.

    Menurut Abang Johari, pembentukan kerajaan dibuat dengan berasaskan empat perkara iaitu menegakkan keluhuran Perlembgaan Malaysia Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan laporan IGC.

    Menurutnya, ia juga mesti menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembgaan Malaysia 1963 dan laporan IGC.

    Selain itu, ia juga mesti berasaskan autonomi dari segi perancangan pendidikan dan kesihatan serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.

    “Fokus dan tanggungjawab kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.