GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama empat lagi gabungan parti politik Semenanjung dan Sabah.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, keputusan itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Kata beliau, kerajaan campuran bersama GPS itu terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, Perdana Menteri akan diputuskan Yang Dipertuan Agong berdasarkan parti yang mendapat majoriti. Dan GPS memilih Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana Menteri.

“Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat harus dibentuk dengan kadar segera.

“Dengan itu, GPS telah mengambil keputusan dan tindakan tersebut di bawah demi untuk mengukuh dan menstabilkan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Satu, bentuk gabungan PN BN GPS dan GRS bagi bentuk kerajaan Persektuan yang stabil dan kukuh demi rakyat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum itu pada sebelah pagi, Abang Johari mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di kediaman Pengerusi PN itu di ibu negara.

Menurut Abang Johari, pembentukan kerajaan dibuat dengan berasaskan empat perkara iaitu menegakkan keluhuran Perlembgaan Malaysia Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan laporan IGC.

Menurutnya, ia juga mesti menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembgaan Malaysia 1963 dan laporan IGC.

Selain itu, ia juga mesti berasaskan autonomi dari segi perancangan pendidikan dan kesihatan serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.

“Fokus dan tanggungjawab kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here