Tag: kempen pru-15

  • PKR, DAP dicabar dedah perbelanjaan mewah kempen PRU-15 – Armada

    PKR, DAP dicabar dedah perbelanjaan mewah kempen PRU-15 – Armada

    ARMADA Bersatu mencabar PKR dan DAP untuk mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan mereka semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu jika mereka berpegang kepada imej bersih dan berintegriti.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kedua-dua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) itu juga mewah berbelanja semasa kempen PRU-15 lalu, malah banyak mengadakan program hiburan, poster besar dan juga sewa helikopter digunakan pemimpin mereka.

    “Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen PRU-15?

    “Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen yang digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu berkata, rakyat dapat meihat dengan jelas sekali bahawa kerajaan PH-BN terdesak untuk membunuh karakter ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ yang sinonim dengan Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, ini dilakukan dengan langsung menggunakan jentera kerajaan yang terkuat untuk menekan dan menindas parti lawan.

    “Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.

    “Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan,” katanya.

    Malah Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri.

    “Armada Bersatu percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya.

    “Armada Bersatu juga menyeru semua penyokong Perikatan Nasional agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

    Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung siasatan melibatkan kempen pada PRU-15 lalu.

  • PKR tak teruskan petisyen terhadap Muhyiddin – Rafizi

    PKR tak teruskan petisyen terhadap Muhyiddin – Rafizi

    PKR tidak akan meneruskan petisyen mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan membawa ancaman kepada ketenteraman awam ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, keputusan itu diambil kerana tidak mahu fokus pimpinan PKR beralih daripada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Katanya, langkah itu lebih baik berbanding memfailkan selepas proses pilihan raya selesai dan keputusan diumumkan.

    “Sebaliknya, kita akan melatih jentera pilihan raya PKR membuat bantahan dan laporan jika perkara sama berulang ketika kempen akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor di sini, hari ini.

    November tahun lalu, PKR mengumumkan akan memfailkan petisyen susulan rakaman video ucapan Muhyiddin di media sosial ketika tempoh berkempen yang didakwa mengaitkan pembangkang dengan agenda Yahudi dan memurtadkan umat Islam di negara ini.

    Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Tian Chua, yang membuat rayuan terus kepada presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas dipecat minggu lalu, Rafizi berkata, ia sepatutnya dikemukakan kepada Lembaga Rayuan PKR.

    “Ikut perlembagaan parti, Tian Chua boleh merayu kepada Lembaga Rayuan dan ada 14 hari untuk berbuat demikian,” katanya.

    Rafizi turut mencadangkan bekas Ahli Parlimen Batu itu melalui proses rayuan parti dan bukan terus kepada Presiden kerana keputusan akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

    Katanya, tindakan merayu terus kepada Presiden menunjukkan seolah-olah wujud pilih kasih dalam parti.

  • Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru calon dan penyokong parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menasihatkan semua calon bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh calon dan penyokong mereka dalam kehangatan berkempen.

    “Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

    “Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni.

    “Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    SPR sebelum itu memaklumkan, PRU-15 akan diadakan pada 19 November nanti selepas 14 hari berkempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, pada hemat Seri Paduka Baginda, kerjasama dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

    Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan semoga perjalanan PRU-15 kelak lancar dan selamat dan semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

    Pada kenyataan sama, Ahmad Fadil juga memaklumkan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali, di Istana Negara pada Rabu.

    “Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota,” katanya lagi.