Tag: kempen

  • Banjir ubah corak kempen PRU-15

    Banjir ubah corak kempen PRU-15

    BANJIR yang melanda lebih awal dari jangkaan di beberapa kawasan di sekurang-kurangnya enam negeri memaksa perubahan corak berkempen di situ bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Setakat pagi ini, seramai 3,196 mangsa banjir berada di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri, iaitu Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.

    Berikutan situasi itu, kempen beberapa calon serta ceramah politik membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) dilaporkan terpaksa ditangguhkan seketika hingga memaksa gerak kerja kempen kini disesuaikan mengikut keadaan semasa dengan mendahulukan bantuan kepada rakyat yang terjejas.

    Beberapa calon dilihat mengharungi air banjir untuk bertemu dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Seorang daripadanya calon PH Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar yang berbaju kurung dan baju hujan.

    Malah beberapa calon di Selangor terpaksa menangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir. Antaranya, Parlimen Sungai Buloh yang merupakan kerusi tumpuan turut menyaksikan calon BN Khairy Jamaluddin sanggup menangguhkan kempennya seketika untuk bertemu penduduk terkesan dengan banjir.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga calon PH bagi Parlimen Gombak dan calon PN bagi Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali juga antara yang dilihat membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pertengahan November dan berlanjutan sehingga Mac tahun depan yang berisiko berlakunya hujan lebat sehingga boleh menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah selain fenomena air pasang besar boleh melanda kawasan pantai antara November dan Januari tahun depan.

    Situasi cuaca tidak menentu menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga meletakkan anggota bersama aset bantuan di beberapa lokasi bencana untuk memantau keadaan semasa terutama di persisiran pantai dan sungai.

    “Bomba akan siap siaga berdasarkan keadaan cuaca seperti air hujan bertakung atau kenaikan paras air. Kita akan gunakan aset seperti bot dan lori pengangkut untuk sebarang kemungkinan,” kata Pengarah JBPM negeri Norazam Khamis ketika dihubungi Bernama.

    Di Pahang, calon BN bagi Parlimen Raub Datuk Chong Sin Woon berkata MCA mempunyai pasukan khas yang bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu masyarakat di kawasan berisiko banjir, menunaikan kewajipan itu.

    Beliau mengakui situasi banjir atau hujan lebat pada hari pengundian 19 Nov ini, sedikit sebanyak akan mempengaruhi pengundi untuk keluar mengundi. 

    “… untuk mereka yang bukan penyokong tegar mana-mana parti, kalau hujan lebat tak adalah kesegeraan untuk mereka mengundi. Bagaimanapun untuk menarik pengundi, kita boleh hantar kenderaan dan menyediakan peralatan seperti payung dan sebagainya. Kita dah siap sedia perkara itu,” katanya.

    Calon PH-DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari di Pahang, Thomas Su Keong Siong, juga berpandangan peratusan keluar mengundi akan turun dengan mendadak jika banjir, dan bagi meringankan beban rakyat, PH, menurut beliau akan mengutamakan aspek membantu mangsa banjir terlebih dahulu. 

    “Saya berharap tak ada banjir walaupun sekarang kerap hujan. Kalau banjir, peratusan keluar (mengundi) tidak tinggi… bayangkan kalau rumah sendiri sudah dinaiki air, mana ada ‘mood’ untuk mengundi. Kalau kita tidak membantu sebaliknya suruh mereka mengundi, itu mementingkan diri,” katanya.

    Di Kelantan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata jentera BN Kelantan bersedia dengan peralatan seperti bot, keperluan makanan dan sebagainya bagi membantu pihak berkuasa dalam operasi penyelamatan dan perpindahan mangsa banjir.

    Turut menyatakan kesediaan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab yang menjelaskan bahawa seramai 1,349 anggota APM bersama logistik seperti 14 buah lori dan 78 buah bot sedia untuk digerakkan sekiranya berlaku banjir termasuk pada hari pengundian.

    Di Terengganu, 30 lokasi berisiko banjir telah dikenal pasti di empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan barangan keperluan dan makanan buat mangsa banjir kali ini. – BERNAMA

  • PN optimis menang 2 Parlimen, 16 DUN di Pahang

    PN optimis menang 2 Parlimen, 16 DUN di Pahang

    PERIKATAN Nasional (PN) melihat peluang untuk memenangi dua kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pusingan pertama berkempen berlangsung.

    Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata berdasarkan situasi semasa ‘separuh masa pertama’ perjalanan kempen, sokongan yang ditunjukkan rakyat Pahang kepada PN agak memberangsangkan.

    “Saya yakin sekurang-kurangnya kita boleh mengambil masing-masing satu kerusi Parlimen daripada Barisan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Bagi kerusi DUN, sebelum ini kita mempunyai lapan kerusi dan jumlah itu boleh digandakan kepada 16,” katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

    Pada PRU14 pada 2018, PN tidak mempunyai kerusi Parlimen di Pahang sehingga tahun 2020, sebelum Saifuddin yang menang di Parlimen Indera Mahkota atas tiket PKR yang menyertai Bersatu.

    Bagi DUN Pahang, lapan kerusi yang disandang PN dimenangi Pas, iaitu di Beserah, Tanjung Lumpur, Panching, Damak, Tahan, Luit, Jengka dan Chenor.

    Manakala BN menang di 25 kerusi DUN dan sembilan lagi dikuasai PH. – BERNAMA

  • Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 beberapa calon di Selangor terpaksa ditangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir di Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam. 

    Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 9 malam ini termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa banjir kilat.

    Bagaimanapun, jumlah mangsa di dua PPS yang baharu dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman dekat sini masih dalam bancian.

    Halimah turun padang melihat penduduk Meru terjejas banjir

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kapar Dr Halimah Ali antara yang membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat. 

    Pihak sekretariat bagi calon PH di Gombak itu memaklumkan Amirudin membatalkan kempennya selepas solat Isyak dan akan ke kawasan terkesan serta menyelaras agensi kerajaan bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa.

    Wakil calon PN di Kapar pula memaklumkan media bahawa aktiviti Dr Halimah ditangguhkan bagi membolehkan beliau menyantuni mangsa banjir di Meru.  

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, melalui perkongsiannya di laman Twitter turun ke Taman Setia Warisan dekat sini petang tadi bagi meninjau keadaan banjir yang berlaku akibat limpahan dari sungai berdekatan.

    Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga calon PH di Parlimen Kota Raja, turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

    Semalam, calon BN di Parlimen Kota Raja D. Kajendran melawat kediaman yang terjejas akibat ribut di Taman Desawan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Petugas wanita PN diugut, dihalau lelaki berlagak samseng di Serkam

    [VIDEO] Petugas wanita PN diugut, dihalau lelaki berlagak samseng di Serkam

    TINDAKAN seorang lelaki mengugut dan menghalau sekumpulan petugas kempen wanita Perikatan Nasional (PN) dibidas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Tuan Ibrahim yang turut berkongsi video berdurasi 38 saat itu mempersoalkan tindakan lelaki berkenaan menghalau pasukan petugas itu yang sedang berkempen di Pasar Serkam Pantai, Melaka.

    “Kenapa nak halau?” tulis Tuan Ibrahim dalam hantaran di akaun Facebook beliau.

    Beliau turut menyertakan kapsyen menyatakan petugas kempen wanita muda Perikatan Nasional diugut dan dihambat keluar ketika berkempen di Pasar Serkam Pantai, Melaka.

    Dalam video itu, seorang lelaki memakai kemeja lengan pendek berwarna biru dengan pelitup muka berkata, orang dah kata jangan datang, jangan sibuk kat sini.

    Katanya, dia memberi tempoh 30 minit kepada kumpulan petugas itu dan akan membuat laporan polis jika mereka enggan.

    Namun kumpulan petugas PN menerangkan mereka mempunyai kebenaran dari polis.

    Tidak endah dengan jawapan itu, lelaki berkenaan kemudiannya menegaskan, mereka tidak dibenarkan berkempen di situ dengan menyatakan alasan ia adalah kawasannya.

    “Yang awak datang siapa izinkan, saya tak izinkan awak datang kampung saya,” katanya.

    Sementara itu, pada ruangan komen hantaran itu, kebanyakan pengikut Tuan Ibrahim mengecam tindakan lelaki tersebut.

    Pengguna, Azman Yusof berkata, negara demokrasi pilihan raya memilih. Calon adalah proses demokrasi termasuk berkempen. Dia sepatut salah menghalang proses demokrasi.

  • PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terlibat dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU15 diadakan.

    Selain itu, pihaknya menempatkan pegawai PDRM dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak melakukan kempen mengikut garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “PDRM bersama SPR serta agensi lain yang berkaitan juga akan melakukan pemantauan setiap masa dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diaturgerak untuk penugasan PRU15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.

    Acryl Sani turut menasihatkan parti-parti politik untuk berkempen secara beretika dan matang serta tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman.

    “Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah.

    “Kejadian berkenaan merupakan contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan yang seharusnya tidak berulang kembali kerana (ia) merupakan ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti kesalahan lazim yang berlaku ketika berkempen iaitu mengoyak poster, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan, bergaduh, demonstrasi, kesalahan melalui medium Internet dan tohmahan.

    Acryl Sani berkata selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan, PDRM juga akan menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait secara langsung dengan pilihan raya.

    “Tindakan itu adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” katanya.

    “PDRM sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan pasca PRU…kita berharap proses demokrasi pada kali ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa insiden-insiden yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

  • Kempen tanam 100 juta pokok perlu disusuli larangan penebangan hutan

    Kempen tanam 100 juta pokok perlu disusuli larangan penebangan hutan

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP)  mengalu-alukan Kempen Menanam 100 Juta Pokok 2021-2025 oleh kerajaan sebagai langkah menghijaukan negara namun berharap kerajaan tidak memberikannya kepada mana-mana syarikat swasta untuk dikendalikan.

    Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kempen itu seharusnya mengupayakan orang ramai untuk terlibat dalam menanam pokok di bawah penyeliaan Jabatan Perhutanan kerana boleh menjimatkan wang di samping mencapai objektif kempen.

    Dalam masa tegas beliau, kempen menghijaukan negara dengan usaha penanaman pokok sahaja tidak cukup jika penebangan hutan dibenarkan untuk diteruskan berlanjutan.

    “Kempen ini akan hanya dilihat semata-mata untuk menutup keburukan bagi Malaysia yang memperoleh pengiktirafan “mempunyai kadar kehilangan hutan tertinggi” antara 10 negara di seluruh dunia yang mengurangkan liputan hutan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu tambah Mohideen, kempen tersebut seharusnya menerima pakai pendekatan serampang dua mata iaitu meningkatkan penanaman pokok daripada spesies yang betul serta mencegah penebangan hutan.

    Katanya, langkah itu akan membantu orang ramai mempelajari untuk menghargai dan mengambil pemilikan pokok dalam komuniti.

    Jelasnya, untuk menangani punca utama penebangan hutan juga kerajaan mesti memastikan negeri masing-masing bertanggungjawab bagi sebarang aktiviti penebangan hutan sama ada secara sah atau haram yang dijalankan.

    Ujarnya, objektif penanaman pokok akan gagal jika kerajaan negeri dibenarkan untuk menyahwartakan hutan simpan atau membenarkan pokok ditebang dengan pemantauan yang sedikit. 

    “Pada masa ini di bawah Akta Perhutanan Negara, sebarang hasil daripada Kawasan Hutan Kekal atau tanah negeri lain dianggap harta negeri tetapi hasil mungkin hanya boleh dikeluarkan dengan lesen yang betul.

    “Oleh itu, ia berada di bawah bidang kuasa negeri dan satu cara bagi kerajaan Persekutuan untuk mengawal penebangan hutan ialah dengan menetapkan syarat mengenai bantuan Persekutuan kepada negeri berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, undang-undang berkaitan perhutanan dan alam sekitar juga perlu diperketatkan yang mana mesti memastikan terdapat semak dan imbang untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.

    Ini kerana tegas beliau, Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri hanyalah penjaga aset tanah dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.  

  • Kempen dingin, PDN seru warga Damansara derma darah

    Kempen dingin, PDN seru warga Damansara derma darah

    PUSAT Darah Negara (PDN) menyeru warga Damansara dan kawasan sekitarnya menderma darah di lokasi kempen derma darah anjurannya di Lotus’s Mutiara Damansara (sebelum ini dikenali sebagai Tesco).

    PDN dalam hantaran menerusi Facebooknya hari ini memaklumkan, penganjuran kempen yang bermula hari ini hingga Jumaat ini mendapat sambutan agak dingin daripada orang ramai.

    “Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 40 beg darah di lokasi ini pada hari ini. Bagaimanapun hingga 2.15 petang, hanya tujuh beg darah sahaja diperoleh.

    “Buat warga Damansara dan sekitarnya…jom bantu kami dapatkan stok bekalan darah di sini, sumbangan anda amat diperlukan bagi memastikan para pesakit mendapat bekalan darah yang mencukupi,” menurut PDN.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut berkongsi hantaran itu dalam satu ciapan Twitter beliau.

    “Sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

    PDN turut menganjurkan kempen derma darah di tingkat bawah, Center Court B, pusat beli-belah D’Pulze, Cyberjaya bermula 27 hingga 31 Ogos ini dari 11 pagi hingga 5 petang.

    Bagi memudahkan urusan pendermaan darah, penderma darah diminta untuk mengisi slip kehadiran menerusi pautan berikut, https://linktr.ee/dermadarah.- BERNAMA