Tag: Kementerian Pengangkutan

  • Tambang e-hailing melambung, kerajaan mungkin galak lebih banyak saingan

    Tambang e-hailing melambung, kerajaan mungkin galak lebih banyak saingan

    KEMENTERIAN Pengangkutan sedang meneliti dan berbincang dengan syarikat perkhidmatan e-hailing berhubung aduan serta rungutan orang ramai mengenai kenaikan kadar tambang yang dikatakan semakin mahal sehingga membebankan pengguna.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah mengarahkan pengurusan tertinggi memanggil syarikat terbabit untuk memberi penjelasan segera berhubung perkara itu.

    “Kalau dikatakan RM20 jadi RM70 dalam keadaan sekarang ia dilihat membebankan rakyat, jadi saya rasa sebagai penggubal dasar, kita akan melihat sama ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan.

    “Saya juga telah minta Agensi Pengangkutan Awam Darat tengok balik, minta syarikat terangkan dan bagi penjelasan apa sebenarnya berlaku, saya jangka dalam sehari dua syarikat patut terangkan barulah kita boleh lihat dari segi apa patut kita buat sama ada galakkan saingan lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan lif dan eskalator di stesen LRT Ampang Park hari ini.

    Beliau juga berkata, kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang dikesan cuba mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan dengan meningkatkan harga atau memanipulasi kadar tambang e-hailing.

    Tambang perkhidmatan itu dilaporkan meningkat hingga 400 peratus pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati pengguna dan beberapa pihak lain kerana disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan kerajaan. – BERNAMA

  • Moped, skuter elektrik dilarang guna atas jalan raya

    Moped, skuter elektrik dilarang guna atas jalan raya

    KENDERAAN mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Moped adalah kenderaan yang dipasang dengan dua atau tiga roda dan dipacu oleh sumber elektrik dengan kelajuannya tidak melebihi 50 kilometer sejam (km/j).

    PMD dan PMA pula adalah kenderaan yang dipacu oleh kuasa manusia atau elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 25 km/j seperti skuter berkuasa elektrik dan kenderaan bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan.

    Wee berkata, larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan adalah membahayakan bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut tetapi pengguna lain.

    “Seperti nahas basikal lajak yang telah meragut lapan nyawa, penggunaan kenderaan ini dengan percampuran dengan aliran trafik kenderaan motor lain di atas jalan akan menimbulkan risiko berlaku tragedi yang sama,” katanya dalam sidang media penggunaan mikromobiliti di kementeriannya di sini hari ini.

    Wee berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

    “Kita bimbang apabila Aidilfitri nanti ramai pengguna kenderaan mikromobiliti akan ke bandar untuk berkumpul kerana tahu tiada kenderaan di jalan. Ia sesuatu yang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata, penggunaan tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu bagaimanapun dibenarkan di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.

    “Saya tiada halangan kalau mereka ingin gunakan kenderaan ini di rumah atau tanah persendirian asalkan ia bukan di jalan raya.

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan akan dipertimbangkan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan infrastruktur jalan yang menyokong penggunaan kenderaan itu,” katanya.

    Sementara itu, Wee berkata penggunaan basikal, beca dan basikal elektrik adalah dibenarkan namun perlu mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    “Bagi penggunaan basikal dengan bantuan elektrik, hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514 : Electric Bicycles Specification sahaja dibenarkan digunakan di atas jalan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Kerajaan segera siasat kenaikan harga tiket penerbangan

    Kerajaan segera siasat kenaikan harga tiket penerbangan

    KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) telah meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan segera menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau memaklumkan perkara itu semasa mempengerusikan mesyuarat khas semalam, melibatkan MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat penerbangan domestik bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat.

    Keluhan itu berhubung kenaikan harga tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri.

    Beliau berkata, CAAM telah meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan dan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutama menjelang musim perayaan.

    “MOT komited dan akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. MOT melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Ka Siong, berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh MAVCOM, harga tambang penerbangan pada 30 April ini (tarikh perjalanan puncak bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri) telah meningkat berbanding purata harga tambang penerbangan pada 2019.

    “Peningkatan ini adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutama kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

    “Mekanisme penetapan harga dinamik juga menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam proses menentukan harga tambang, bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa,” katanya.

    Beliau menjelaskan, syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik COVID-19.

    Katanya, pesawat-pesawat penerbangan perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat.

    Wee berkata, bagi bulan ini, kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak masih rendah iaitu hanya pada tahap 68 peratus berbanding 2019. – BERNAMA

  • Tiada arahan warga emas pulangkan lesen memandu

    Tiada arahan warga emas pulangkan lesen memandu

    KEMENTERIAN Pengangkutan tidak pernah mengeluarkan arahan atau berhajat uuntuk mensyaratkan warga emas berusia lebih 70 tahun untuk mengembalikan lesen memandu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata, kompetensi (memandu) adalah bukan berdasarkan faktor umur dan banyak sebab yang menentukan kemalangan jalan raya.

    “Kompetensi (memandu) adalah berlainan. Macam YB Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) beliau dapat memandu dengan baik.

    “Jauh lebih baik daripada orang lebih muda. Tidak boleh ada diskriminasi,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata, dalam sesuatu nahas jalan raya 80 peratus disebabkan faktor manusia, 13 peratus disebabkan kenderaan dan tujuh peratus disebabkan persekitaran manakala pemanduan di bawah pengaruh alkohol berisiko 13 kali lebih tinggi terdedah kepada nahas berbanding memandu dalam keadaan biasa.

    Katanya, bagi pemandu yang dihadapkan ke mahkamah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak ada pesalah yang hanya dikenakan denda dan mereka wajib dikenakan penjara bagi tujuan pencegahan.

    Kepada soalan asal Syed Ibrahim, Ka Siong berkata, dalam kes memandu lawan arus ia berlaku disebabkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini adalah amat membimbangkan.

    Beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri (KDN,) statistik nahas jalan raya yang melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus tahun ini dari Januari sehingga semasa berjumlah 807 iaitu 29 kemalangan yang menyebabkan maut, 17 (parah), 49 (cedera ringan) dan 712 (rosak).

    Katanya, kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus (seperti menggunakan telefon bimbit) dan aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

    Ka Siong berkata, faktor manusia pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu. – BERNAMA

  • Perbaharu cukai jalan, lesen memandu lanjut hingga 31 Dis

    Perbaharu cukai jalan, lesen memandu lanjut hingga 31 Dis

    KEMENTERIAN Pengangkutan memberi perlanjutan bagi tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sehingga 31 Disember ini.

    Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selaras dengan keputusan itu, mana-mana pemilik LKM dan LMM yang tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember ini.

    “Walau bagaimanapun, pemilik LKM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah. Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

    “Dengan pengoperasian semula kaunter ini, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap untuk berurusan di kaunter JPJ,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini.

    Sebelum ini, orang ramai mengeluh tentang kesulitan yang dihadapi untuk menggunakan perkhidmatan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan termasuk termasuk memperbaharui lesen memandu di JPJ ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

    Beliau menambah, pihaknya juga mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai menerusi pengoperasian semula kaunter JPJ di seluruh negara dan juga rakan strategik JPJ iaitu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi semua urusan dengan kapasiti 100 peratus secara walk-in mulai 6 September ini.

    “Pelanggan yang mahu berurusan di kaunter JPJ mesti mendapat vaksinasi lengkap sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menjaga kesihatan serta keselamatan orang ramai termasuk kakitangan bertugas.

    “Pada masa sama, individu yang hadir juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera,” jelasnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan media hari ini memberitahu, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap untuk berurusan di kaunter JPJ.