Tag: Kementerian Kewangan

  • 8.7 juta terima Sumbangan Tunai Rahmah Rabu ini

    8.7 juta terima Sumbangan Tunai Rahmah Rabu ini

    BAYARAN Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 melibatkan 8.7 golongan B40 akan dikreditkan secara berperingkat mulai Rabu ini.

    Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata, bayaran kepada penerima STR itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.26 bilion.

    Seramai empat juta penerima kategori isi rumah menerima RM200 dan 3.5 juta kategori bujang (RM100) manakala 1.2 juta warga emas dan tiada pasangan (RM100) menerima manfaat STR.

    Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama.

    “Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Rabu,” kata kenyataan itu, menurut laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dengan pembayaran tersebut, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR telah dibayar kepada golongan B40 pada tahun 2023.

    Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR.

    Sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan kemas kini telah diterima dan akan melalui proses verifikasi sebelumdiluluskan mengikut kategori kelayakan STR.

    Semakan status pembayaran akan dibuka mulai Rabu.

  • Kebakaran di Kementerian Kewangan

    Kebakaran di Kementerian Kewangan

    KEBAKARAN yang berlaku di Kementerian Kewangan hari ini sudah dipadamkan, kata laporan.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya berkata, kebakaran di Kementerian Kewangan itu berlaku pada 2.30 petang tadi.

    “Kebakaran itu berpunca daripada sisa pepejal di tapak pelupusan. Ia berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata sumber JBPM Putrajaya kepada Free Malaysia Today.

    Visual kebakaran itu turut tular di media sosial.

    Jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan kebakaran itu dan memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan tidak lama lagi.

  • Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    HARGA runcit RON97 turun 10 sen kepada RM3.85 seliter berbanding RM3.95, manakala harga RON95 dan diesel kekal tidak berubah untuk minggu ini dari 1 hingga 7 Dis.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga siling RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran kedua-dua produk itu meningkat melebihi harga siling semasa.

    Harga runcit RON97 telah diturunkan sejajar dengan pergerakan harga pasaran.

    Penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • ePemula: Belia, pelajar IPT daftar mulai esok e-tunai RM150

    ePemula: Belia, pelajar IPT daftar mulai esok e-tunai RM150

    GOLONGAN belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak, boleh mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program ePemula, mulai esok.

    Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kredit e-tunai tersebut adalah melalui satu daripada empat penyedia perkhidmatan iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

    “Selain RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk cashback, baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh program ini,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula akan bermula esok hingga 1 Jun ini, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

    Menurut MOF, ePemula akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 April.

    Program ePemula terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada 2022 (lahir pada 2002 hingga 2004) atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar, selain data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.

    Menurut MOF, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150 di bawah program ePemula untuk belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di IPT tempatan yang layak menerusi Belanjawan 2022.

    Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain yang memanfaatkan golongan belia boleh layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html manakala bagi pelbagai manfaat lain khusus untuk belia, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html – BERNAMA

  • Semak semula kekerapan cabutan khas judi – PAS

    Semak semula kekerapan cabutan khas judi – PAS

    PAS meminta supaya kerajaan menyemak semula keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata parti itu juga sejak dahulu lagi membantah isu berkaitan judi yang dibuat sama ada secara terbuka ataupun dalaman malah menganggap keputusan meningkatkan kekerapan itu tidak berasas dan tidak rasional.

    “PAS sudah nyatakan bantahan secara terbuka, dan bantahan secara dalaman oleh ahli kabinet PAS juga telah dibuat. Kita berharap pihak Kementerian Kewangan menyemak semula keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan kepada Usahawantani Al Falah di Pusat Khidmat DUN Panchor di sini hari ini.

    Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata beliau difahamkan keputusan itu sebenarnya dibuat di peringkat Kementerian Kewangan dan tidak dibawa ke kabinet. 

    “Kita (PAS) sebenarnya tidak boleh menyekat perkara itu daripada diputuskan sebab ia di bawah Kementerian Kewangan dan kita tidak boleh campur tangan.

    “Kita sudahpun menjelaskan pendirian PAS sejak dahulu menentang apa sahaja perkara melibatkan judi. Bantahan sudahpun dibuat dan itu sahaja yang telah dilakukan setakat ini…lainlah kalau PAS berkuasa penuh dalam kerajaan,” katanya.- BERNAMA

  • Harga RON95, diesel kekal RON97 naik dua sen

    Harga RON95, diesel kekal RON97 naik dua sen

    HARGA runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter sehingga 29 Sept, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter daripada RM2.73 kepada RM2.75 mulai esok sehingga 29 Sept.

    Menurut Kementerian Kewangan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” katanya.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.- BERNAMA

  • Kerajaan tingkat siling Kumpulan Wang COVID-19 RM110b

    Kerajaan tingkat siling Kumpulan Wang COVID-19 RM110b

    HAD siling Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM65 bilion ketika ini akan dinaikkan kepada RM110 bilion.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, had siling itu akan ditingkatkan selepas menerima kelulusan Kabinet.

    “Had statutori hutang kerajaan Persekutuan juga akan dinaikkan daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 65 peratus daripada KDNK.

    “Peruntukan ini akan digunakan untuk menolong rakyat dan perniagaan apabila ekonomi dibuka semula kerana sememangnya kita tahu, banyak peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, terutamanya dalam sektor runcit dan pelancongan banyak terjejas,” katanya dalam rancangan temu bual Optik@Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) menambah, kerajaan juga sedang memberi fokus kepada pembukaan ekonomi terutamanya untuk tahun depan dengan seluruh ekonomi dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir tahun ini dengan norma baharu.

    Tengku Zafrul memberitahu, PPN adalah pelan yang dinamik dan kerajaan menggunakan data semasa yang terkini untuk membuat keputusan yang akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

    “Di sini juga kita akan menggunakan laporan terbaharu yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa untuk kita membuat keputusan.

    “Jadi apa yang kita dapat lihat, sebagai contoh, dos penggalak, kita akan membuat dos penggalak dalam masa terdekat. Perkara ini pun sudah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkongsi dalam hantaran Facebook maklumat tentang program penyampaian bakul makanan kepada para penerima di sekitar Johor Bahru.

    Beliau berkata, acara tersebut menyaksikan Kementerian Kewangan dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bermuafakat dan berganding bahu bagi menjayakannya.

    “Syukur, acara ‘BSN Care—Bakul Makanan Untuk Yang Memerlukan’ telah berjalan dengan lancar. Turut bersama saya dalam program itu adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato Asri Hamidon, YB Datuk Samsolbari Jamali mewakili Kerajaan Negeri Johor, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Pengarah BSN Negeri Johor, Mohamad Zulkarnain Ismail.

    “Sumbangan bakul makanan ini turut dijayakan dengan kerjasama jawatankuasa masjid, surau dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum India, Cina dan lain-lain. Melalui kerjasama mereka, 1,000 bakul makanan dapat disalurkan kepada penerima yang layak. Sememangnya program ini menghidupkan lagi erti ‘Keluarga Malaysia’,” jelasnya.

    Tengku Zafrul berkata, program itu sangat bermakna kerana ia merupakan peluang bertemu dengan rakyat di Johor Bahru sambil membantu mereka pada musim serba mencabar ini.

  • 1MDB: KPMG bayar kerajaan penyelesaian RM333 juta

    1MDB: KPMG bayar kerajaan penyelesaian RM333 juta

    KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh 2010 hingga 2012.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, perkembangan itu membuktikan tekad kerajaan untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

    “Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurut beliau, penyelesaian itu akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai lalu terhadap KPMG.

    Tengku Zafrul menambah, langkah itu akan mempercepat penyelesaian tersebut yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB yang tertunggak, dan menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.

    “Penyelesaian dengan KPMG, bemilai lebih dari 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

    “Penyelesaian ini tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, dan yang masih diburu oleh pihak berkuasa berhubung dengan skandal kewangan 1MDB,” jelasnya.

    Beliau berkata, Kementerian Kewangan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguat kuasa yang terlibat atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian berkenaan.

  • Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

    Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik satu sen

    HARGA runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh mulai esok hingga 15 Sept, manakala harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.72 kepada RM2.73.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.- BERNAMA