Tag: Kementerian Kesihatan

  • Ramai lupa ‘check out’ MySejahtera, apa tindakan KKM?

    Ramai lupa ‘check out’ MySejahtera, apa tindakan KKM?

    MUNGKIN ramai dalam kalangan kita yang terlupa untuk mendaftar keluar dari sesebuah premis yang dikunjungi dalam aplikasi MySejahtera.

    Ciri terbaharu dalam apolikasi MySejahtera itu memerlukan para pengguna menekan sendiri butang daftar keluar atau ‘check out’ sebaik sahaja keluar dari premis berkenaan.

    Bagi pengguna MySejahtera yang selalu berurusan di luar rumah mungkin tidak berdepan masalah untuk daftar keluar kerana mereka perlu menekan butang ‘check out’ sebelum mendaftar masuk ke premis lain.

    Masalah dihadapi bagi mereka yang hanya keluar rumah apabila ada urusan penting sahaja sehingga ada yang tidak mendaftar keluar dari premis yang dikunjungi sebelum itu sehingga berhari-hari lamanya.

    Malah, ada yang membuat lawak dalam media sosial menyatakan ‘mereka tidur di dalam kedai selama tiga hari’.

    Isu tersebut juga dikhuatiri boleh menjejaskan data Kementerian Kesihatan terutamanya dari segi pengesanan kontak rapat apabila sesebuah premis dikunjungi oleh individu yang didapati positif COVID-19.

    Mereka yang terlupa mendaftar keluar mungkin perlu dipanggil untuk ujian saringan sekiranya kes COVID-19 dikesan sepanjang tempoh mereka ‘berada’ di premis terbabit.

    Sehubungan itu, orang ramai mencadangkan agar pengendali MySejahtera memperkenalkan ciri baharu iaitu bunyi peringatan secara berulang apabila pengguna tidak mendaftar keluar dari sesebuah premis melebihi 30 minit.

    Cadangan itu disambut baik oleh Kementerian Kesihatan dan akan dipanjangkan kepada pengendali MySejahtera.

    Memetik laporan BH, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya menerima aduan daripada ramai pengguna berhubung isu tersebut.

    “Memang diakui butang ‘check out’ diwujudkan pihak MySejahtera agak membebankan ramai pengguna kerana terlupa.

    “Sebenarnya pengguna tidak perlu bimbang kerana jika pengguna terlupa mendaftar keluar dan daftar masuk di tempat lain, pendaftaran di tempat awal tadi terbatal dengan sendiri.

    “Namun begitu, cadangan netizen meminta pihak MySejahtera mengaktifkan bunyi peringatan, satu idea yang baik dan bernas,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir di Bagan Serai, hari ini.

  • Rentas negeri dijangka tidak cetus gelombang COVID-19

    Rentas negeri dijangka tidak cetus gelombang COVID-19

    KEBENARAN pergerakan rentas negeri dijangka tidak mencetuskan gelombang peningkatan kes COVID-19 sekiranya kadar imunisasi mencapai 90 peratus.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

    “Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia.

    “Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.

    “Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi ‘congregation’ (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan.

    “Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pergerakan rentas negeri akan kembali dibenarkan apabila kadar liputan imunisasi COVID-19 mencapai 90 peratus daripada individu dewasa.

    Seiring matlamat peralihan ke fasa endemik, Khairy berkata, pihaknya sedang merangka satu strategi saringan nasional bagi menentukan sama ada Malaysia sudah memasuki peringkat mitigasi atau masih berada dalam pembendungan akhir.

    “Kita sedang siapkan strategi saringan nasional, justeru jelas di peringkat mana sesuatu kawasan dianggap boleh beralih ke fasa mitigasi atau dalam keadaan apa ia masih dalam pembendungan akhir.

    “Jika pembendungan akhir, kita boleh saring sama ada bergejala atau tidak. Perkara sedemikian tidak jelas sebelum ini, maka pelbagai interpretasi wujud di lapangan berhubung ujian saringan.

    “Tapi, kita juga kena perkasa jabatan kesihatan negeri untuk tentukan mengikut pola penularan mereka, sama ada sudah beralih ke fasa mitigasi atau pembendungan akhir, dengan mengambil kira aset sedia ada.

    “Sekiranya aset tidak mencukupi, buat apa kita buat saringan terhadap mereka yang tidak bergejala, tidak cukup tangan untuk laksanakan perkara sedemikian bagi beralih ke fasa mitigasi,” katanya.

  • 15,579 kes baharu COVID-19, Sarawak tertinggi

    15,579 kes baharu COVID-19, Sarawak tertinggi

    KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan sebanyak 15,759 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini meningkat kepada 2,127,394 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh negeri melaporkan pertambahan kes empat angka dengan Sarawak kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 3,732 kes baharu.

    Johor mencatatkan angka kedua tertinggi dengan 1,959 kes diikuti Selangor (1,934), Pulau Pinang (1,417), Kelantan (1,338), Sabah (1,291) dan Perak (1,184).

    Kedah pula mencatatkan 786 kes disusuli Pahang (707), Terengganu (592), Kuala Lumpur (359), Melaka (264), Negeri Sembilan (127), Putrajaya (34), Perlis (23) dan Labuan (12).

  • Tiada amalan kronisme dalam pembelian vaksin

    Tiada amalan kronisme dalam pembelian vaksin

    DAKWAAN seorang pakar kesihatan kanak-kanak bahawa harga vaksin COVID-19 yang diperoleh Malaysia menjadi mahal kerana amalan kronisme adalah tidak benar.

    Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Dimishtra Steven Sittampalam berkata, Malaysia tidak menggunakan orang tengah untuk mendapatkan vaksin.

    Sebaliknya, menurut beliau, semua urusan perolehan vaksin dibuat secara terus dengan syarikat farmaseutikal yang menghasilkan vaksin berkenaan.

    “Ketika Malaysia berunding dengan Moderna, ia dibuat secara terus dengan Moderna Inc, sama seperti dilakukan dengan Pfizer.

    “Harga (vaksin Moderna) yang diberikan kepada kita jauh lebih mahal berbanding Pfizer, yang memiliki profil mRNA sama.

    “Setakat ini, kita sudah membeli 44 juta dos vaksin Pfizer,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.

    Dimishtra menjawab ciapan pakar pediatrik, Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang mendakwa harga vaksin Moderna adalah mampu milik, namun menjadi mahal kerana wujud kronisme dalam transaksi rantaian bekalan vaksin COVID-19 itu.

    Beliau menambah, harga am vaksin COVID-19 boleh diperoleh secara dalam talian dan semua pihak maklum harga vaksin Moderna adalah paling mahal.

    “Semua kontrak (pembelian vaksin COVID-19 Malaysia) sudah didedahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang merangkumi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

    “Mereka (Ahli PAC) berpuas hati dengan kontrak berkenaan,” katanya.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ahli PAC, Nurul Izzah Anwar turut menjawab dakwaan Dr Musa dengan menegaskan, jawatankuasa itu berpuas hati dengan proses perolehan vaksin COVID-19.

    “Terdapat merit terhadap pemilihan portfolio vaksin. Anda boleh membacanya dalam laporan PAC akan datang, insya-Allah.

    “Kami perlu mengambil kira faktor syarikat farmaseutikal gergasi yang gemar mengenakan NDA (perjanjian kerahsiaan),” katanya.

  • 19,550 kes positif baharu seluruh Malaysia

    19,550 kes positif baharu seluruh Malaysia

    SEBANYAK 19,550 kes positif baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sejak Januari tahun lalu hingga kini, 1,960,500 kes.

    Maklumat itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini.

    Sarawak masih mencatatkan jumlah kes positif harian tertinggi iaitu sebanyak 3,743 kes diikuti Selangor dengan 2,416 kes baharu hari ini manakala Johor (2,282 kes), Sabah (2,163 kes), Pulau Pinang (1,865 kes), Kedah (1,390 kes), Perak (1,354 kes) dan Kelantan (1,320 kes).

    Terengganu pula mencatatkan sebanyak 953 kes baharu diikuti Pahang (722 kes), Kuala Lumpur (555 kes), Melaka (490 kes), Negeri Sembilan (198 kes), Perlis (73 kes), Putrajaya (24 kes) dan Labuan (2 kes).

    Berhubung penggunaan katil hospital, Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 82 peratus melibatkan unit rawatan rapi (ICU) manakala 76 peratus adalah bukan ICU.

  • KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit Covid-19

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan selain Baricitinib untuk merawat pesakit COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Hishamshah Mohd Ibrahim.

    Bercakap pada sesi dialog Sidang Kemuncak Pemulihan Negara hari ini, Dr Hishamshah berkata ubat-ubatan itu akan menjadi sebahagian daripada kumpulan ubat yang kini digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dalam kategori kritikal.

    “Ia menjadi satu cabaran pada kita. Bagaimanapun Malaysia telah secara aktif terlibat dalam banyak ujian klinikal untuk rawatan COVID-19 dan telah mengambil bahagian dalam Ujian Solidariti untuk Rawatan COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    “Kita juga sedang menggunakan Baricitinib, sejenis ubat baharu dan kita sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan lain yang mungkin akan mendapat kebenaran penggunaan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) dalam masa terdekat, serta kita sedang berbincang mengenai perkara itu dengan pihak pengeluar,” katanya pada sidang yang diadakan secara maya itu, anjuran Institut Strategik Bagi Asia Pasifik KSI.

    Sementara itu, Dr Hishamshah berkata KKM sedang meneliti kaedah untuk memudahkan golongan B40 mendapatkan kit ujian pantas antigen COVID-19.

    Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus  menyemak semula harga kit ujian kendiri itu bagi menjadikan kit tersebut mampu dimiliki semua pihak.

    Minggu lepas kerajaan menetapkan harga siling kit ujian pantas antigen COVID-19 pada RM19.90 setiap set dan harga borong RM16 setiap set, berkuat kuasa 5 Sept lepas.- BERNAMA

  • Rosnah Shirlin dilantik Penasihat Khas Menteri Kesihatan

    Rosnah Shirlin dilantik Penasihat Khas Menteri Kesihatan

    DATUK Rosnah Abdul Rashid Shirlin kini berkhidmat sebagai Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Nama bekas Timbalan Menteri Kesihatan itu disenaraikan dalam direktori Pejabat Menteri Kesihatan.

    Beliau merupakan Timbalan Menteri Kesihatan mulai 2009 hingga 2013 dalam Kabinet Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Selain itu, beliau yang juga bekas Ketua Puteri UMNO pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya mulai 2013 hingga 2018.

    Beliau yang merupakan seorang peguam berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Papar mulai 2004 hingga 2013.

    Walau bagaimanapun, Rosnah tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Ahmad Hassan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Selain Rosnah, Menteri Kesihatan mempunyai dua lagi Penasihat Khas iaitu Dimishtra Steven Sittampalam dan Datuk Mohamad Iruan Bin Zulkefli.

    Mohamad Iruan pula merupakan bekas Exco Pemuda UMNO semasa Khairy mengetuai sayap tersebut.