Tag: kematian

  • Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    POLIS sedang mengesan lima individu disyaki memukul seorang lelaki sehingga mati di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada adik perempuan mangsa pada 5.29 petang.

    Beliau berkata adik perempuan mangsa mengetahui perkara itu melalui panggilan telefon teman wanita abangnya yang memberitahu abangnya dipukul lima lelaki di dalam kondominium yang disewanya sebelum dibawa keluar ke lokasi lain.

    “Pengadu (adik perempuan mangsa) menerima panggilan telefon pada 7.15 pagi dan pada 11.30 pagi suspek utama telah menghubunginya memaklumkan abangnya berada di bahagian kecemasan Hospital Cyberjaya.

    “Pengadu kemudian pergi ke Hospital Cyberjaya dan dimaklumkan bahawa abangnya telah meninggal dunia akibat kecederaan teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Anbalagan berkata mangsa yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan di mata, hidung dan pendarahan di kedua-dua belah telinga serta punca kematian adalah akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

    “Berdasarkan siasatan awal, motif pembunuhan dipercayai akibat dendam dan cemburu oleh seorang daripada suspek terhadap mangsa. Polis sedang mengesan kesemua suspek yang merupakan rakan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya. – BERNAMA

  • 16 maut bangunan kediaman runtuh di Syria

    16 maut bangunan kediaman runtuh di Syria

    SERAMAI 16 orang awam terbunuh manakala empat lagi cedera pada Ahad selepas bangunan kediaman runtuh di wilayah Aleppo, utara Syria, lapor Xinhua memetik Agensi Berita SANA.

    Menurut Kementerian Dalam Negeri, bangunan kediaman lima tingkat itu menempatkan tujuh keluarga dan terletak di kawasan kejiranan Syeikh Maksoud yang majoriti penduduknya Kurdish.

    Bangunan itu runtuh akibat kebocoran air yang telah menjejaskan struktur asasnya. – BERNAMA

  • Tiada rekahan jalan di kawasan terlibat tanah runtuh

    Tiada rekahan jalan di kawasan terlibat tanah runtuh

    TIADA rekahan terbuka pada turapan permukaan (pavement) jalan di laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Hulu Selangor yang terlibat dengan insiden tanah runtuh awal pagi ini. 

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kejadian tanah runtuh pada kira-kira 2.42 pagi tadi melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter (m) dan setinggi 70m.

    “Hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Nanta berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pelbagai agensi sedang giat melaksanakan misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian termasuk Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia yang berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

    “Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima. Kementerian Kerja Raya dan JKR akan sentiasa prihatin keselamatan dan keselesaan pengguna jalanraya,” katanya.

    Nanta berkata Jalan B66 Batang Kali-Genting Hulu Selangor kini ditutup atas arahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk keselamatan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif ketika ini iaitu menerusi Jalan Ulu-Yam Batu Caves ke Gombak dan menuju ke KLK untuk sampai ke destinasi akhir iaitu, Genting.

    Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya telah mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari negeri itu segera ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa. 

    “Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau pun di kawasan berhampiran sungai terutamanya pada musim tengkujuh,” katanya menerusi status di akaun Facebook rasminya hari ini. 

    Setakat 1 tengah hari ini, 61 mangsa telah dibawa keluar dari tempat kejadian manakala 16 maut dalam kejadian itu.

    Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PROSES pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi ini. 

    Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli yang memaklumkan perkara itu berkata proses pengundian bagi Parlimen Rompin dan dua lagi DUN di bawahnya iaitu Muadzam Shah dan Bukit Ibam bagaimanapun berjalan seperti biasa. 

    “Status DUN Tioman akan disahkan oleh ibu pejabat SPR dan perkembangan berkaitan tarikh baharu juga mereka akan buat,”  katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang.

    Md Yunus, 61, daripada PAS, meninggal dunia di Hospital Rompin pada kira-kira 3.30 pagi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

    Allahyarham yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

    Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian Md Yunus.

    “Penangguhan (pengeluaran kertas undi)  hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja,” kata Ahmad Nasim. – BERNAMA 

  • 250 kematian Covid-19 direkod di Sepang dalam sembilan hari

    250 kematian Covid-19 direkod di Sepang dalam sembilan hari

    SEBANYAK 250 kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan di daerah Sepang dari 16 hingga 24 September lalu dengan sebahagian besarnya dilapor di kawasan Dengkil.

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain ketika mendedahkan perkara itu berkata, 170 daripada 250 kematian itu berlaku di Dengkil, sekali gus kawasan tertinggi di daerah terbabit terjejas Covid-19.

    Menurutnya, secara kumulatif kes Covid-19 di daerah Sepang setakat ini ialah sebanyak 36,925 kes.

    “Saya harap mereka yang datang dari luar Sepang ini perlu berhati-hati, kerana kita tidak pasti virus itu berada di mana dan kita harap melalui penjagaan SOP yang ada ini maka kita dapat elakkan penularan COVID-19,” katanya.

    Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan di Pantai Bagan Lalang di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, pihaknya telah meningkatkan kapasiti pengawasan bagi pengoperasian di Pantai Bagan Lalang dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Untuk itu ujar beliau, MPSepang menyediakan tambahan pekerja untuk membersihkan pantai dan meminta pihak yang menguruskan sampah untuk kapasiti dan pengutipan sampah bagi memastikan kawasan ini sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur.

    “Malah, kita juga turut menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai,” katanya.

    Abd Hamid menambah, beliau berharap orang ramai dapat melaksanakan pematuhan kendiri tanpa menunggu penguatkuasaan pihak berkuasa dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.

  • Covid-19:250 kematian semalam, Selangor tertinggi

    Covid-19:250 kematian semalam, Selangor tertinggi

    SEBANYAK 250 kematian akibat jangkitan Covid-19 dicatatkan di seluruh negara semalam sekali gus menjadikan kumulatif kematian wabak itu di Malaysia setakat semalam ialah sebanyak 24,931 kes.

    Mengikut data dari portal COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes kematian di luar hospital (BID) dilaporkan.

    Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (24 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

    Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 91 kes kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan.

    Sementara itu, Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi dengan 65 kes diikuti Sabah (43), Johor (41), Pulau Pinang (20), Sarawak (16), Kelantan (14) dan Perak (14).

    Negeri lain merekodkan kematian di bawah paras 10 kes iaitu Pahang (9), Kedah (6), Terengganu (6), Kuala Lumpur (6), Negeri Sembilan (4), Melaka (3) dan Perlis (3).

    Tiada kematian baru dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

  • 81.9 % populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    81.9 % populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 19,156,694 individu atau 81.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, seramai 23,703 individu atau 0.8 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

     Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 326,612 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 132,562 dos pertama dan 194,050 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,573,883 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 116 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (23 Sept), menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,681.

    Bagaimanapun, daripada 116 kematian baharu itu, 92 kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (23 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Sebanyak 29 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA 

  • Lebih 18 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    Lebih 18 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 18,964,474 individu atau 81 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Berdasarkan perincian yang dikongsi di portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sebanyak 321,342 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 30,860 dos pertama dan 197,994 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,247,271 dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 487 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (22 Sept), meningkat berbanding 334 kes kematian dilapor pada Selasa.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,565.

    Bagaimanapun, daripada 487 kematian baharu itu, hanya tujuh kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (22 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Sebanyak 161 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). 

    Sejumlah 178 kes kematian direkodkan di Selangor; Sabah (87); Johor (63); Kuala Lumpur (44); Pulau Pinang (36); Kelantan (26); Perak (18); Kedah (14); Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lima); Terengganu (tiga); Perlis (dua) dan Sarawak (satu), manakala tiada kematian di  Labuan dan Putrajaya.- BERNAMA 

  • Lebih 17 juta populasi negara lengkap divaksin

    Lebih 17 juta populasi negara lengkap divaksin

    SEBANYAK 54.1 peratus atau 17,653,079 individu daripada keseluruhan populasi di negara ini sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19, setakat semalam.

    Kementerian Kesihatan menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 66.3 peratus atau 21,649,228 individu pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

    Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 243,971 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 39,234,306 dos.

    Sementara itu, setakat 11.59 malam 14 Sept, sebanyak 104 kematian sebenar harian COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, dengan 359 kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 21,587 kes.- BERNAMA

  • Angka kematian harian Covid-19 kembali dua angka

    Angka kematian harian Covid-19 kembali dua angka

    JUMLAH kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu di negara ini berkurang kepada dua angka selepas kali terakhir merekodkannya dua bulan lalu.

    Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 99 kematian sebenar harian direkodkan dalam tempoh 24 jam iaitu sehingga 11.59 malam, 12 Sept.

    Sementara itu, jumlah melibatkan kes kematian tertunggak (backlog) yang tidak dilaporkan sebelum ini adalah sebanyak 292 kes.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 20,711 kes.

    Kali terakhir jumlah kematian akibat COVID-19 di negara mencatatkan dua angka adalah pada 6 Julai lalu iaitu sebanyak 99 kes.

    Sementara itu, bagi kadar vaksinasi sebanyak 52.6 peratus atau 17,177,911 daripada keseluruhan populasi di negara ini, telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka setakat semalam.

    Sebanyak 65.4 peratus atau 21,372,276 pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    “Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 227,476 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 38,488,051.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA