Tag: Kemas

  • KEMAS lahirkan 493 graduan sijil kemahiran Malaysia tahun ini

    KEMAS lahirkan 493 graduan sijil kemahiran Malaysia tahun ini

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berjaya melahirkan 493 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahun ini.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kesemua graduan adalah pelatih dari Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar dan Gopeng, Perak dan Penyelia Kemahiran KEMAS.

    “KEMAS telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan program sijil dan diploma tersebut dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembanguan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

    “Program TVET di KEMAS itu memang mendapat sambutan yang tinggi daripada lepasan sekolah,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 KEMAS di Alor Setar hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPLB, Abdul Kahar Abdullah.

    Jelas Mahdzir, TVET KEMAS memberi fokus dalam bidang jahitan dan kulinari dengan kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

    Para pelajarnya yang terdiri daripada belia dan beliawanis kumpulan B40, berpeluang untuk menguasai kemahiran serta memperolehi sijil dan diploma.

    “Kita membuka peluang itu untuk direbut oleh mereka yang berminat kerana kemahiran itu amat berguna kepada mereka sekaligus membuka peluang kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri berkaitan kemahiran yang diperolehi itu”.

    Tambah Mahdzir, KEMAS adalah satu-satunya agensi kerajaan yang melaksanakan program Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5 dalam Bidang Pengurusan Fesyen dan Pakaian.

    Setakat ini, KEMAS telah melahirkan seramai 2,400 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran sejak tahun 2007.

    Sementara itu pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Khas, Anugerah Ketua Pengarah, Anugerah Ketua Setiausaha (KSU) dan Anugerah Menteri kepada pelatih yang mencapai tahap cemerlang sepanjang tempoh pengajian.

    Untuk rekod, seramai 151 graduan adalah penerima DKM manakala 342 adalah graduan SKM.

  • KEMAS wujudkan Pusat Daya Maju percuma untuk masyarakat luar bandar

    KEMAS wujudkan Pusat Daya Maju percuma untuk masyarakat luar bandar

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS), mewujudkan Bengkel Pusat Daya Maju atau COME yang  menyediakan pelbagai peralatan bagi tujuan keusahawanan untuk kegunaan masyarakat di luar bandar secara percuma.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kewujudan COME selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan kumpulan sasar golongan B40 menerima faedah daripada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pendapatan.

    “Golongan peniaga atau usahawan baharu bidang jahitan contohnya yang tidak mempunyai peralatan yang lengkap boleh menggunakan peralatan yang disediakan secara percuma di  Pusat Daya Maju ini. 

    “Dengan adanya Bengkel COME ini, mereka boleh datang menggunakan mesin-mesin jahit yang canggih seperti mesin sulam berkomputer, mesin jahit tepi dan juga mendapat bimbingan daripada Pemaju Masyarakat KEMAS yang mahir dalam bidang jahitan untuk memberikan tunjuk ajar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran Pusat Daya Maju KEMAS di Padang Terap hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah KEMAS Kedah, Noor Azman Abd Rahman.

    Jelas Mahdzir, setiap negeri mempunyai satu COME yang diwujudkan di premis Bengkel Jahitan KEMAS sedia ada yang dijangka memberi manfaat kepada tiga ribu orang usahawan baharu.

    Katanya, beliau yakin dengan pembukaan 14 buah bengkel COME itu akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar. 

    Dalam pada itu KEMAS kata Mahdzir, akan membuka lebih banyak kelas-kelas kemahiran di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia khususnya di luar bandar.  

    “Sejajar dengan kewujudan Pusat Daya Maju, pada tahun ini juga, KEMAS melaksanakan kioks “QUKIS KEMAS” keluarga Malaysia yang merupakan platfom terbaik bagi membantu mempromosi dan memasarkan produk-produk usahawan bimbingan KEMAS,” kata Mahdzir.

    Sejak tahun 2019, KEMAS merekodkan sejumlah 166,788 orang menghadiri kelas-kelas kemahiran yang dikendalikannya sehingga hari ini.

    Bagi program Bantuan Quickwin yang diperkenalkan KEMAS sejak tahun 2016 pula telah memberi manfaat kepada seramai 18,477 orang dengan 16,618 orang daripadanya adalah golongan wanita. 

    Ianya merupakan antara inisiatif yang disediakan KEMAS bagi meningkatkan ekonomi masyarakat di luar bandar. 

  • 1,256 sukarelawan KEMAS terlibat misi bantuan pasca banjir

    1,256 sukarelawan KEMAS terlibat misi bantuan pasca banjir

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke negeri-negeri terjejas membabitkan 1,256 sukarelawan kakitangannya.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, misi bantuan di bawah program KEMAS Prihatin itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini.

    “Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga rumah-rumah penduduk yang berhampiran.

    “Kita berharap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula.” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ringkas Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir KEMAS Prihatin di Institut Kemajuan Desa, INFRA, di Bangi hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

    Mahdzir Khalid bersama sukarelawan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan pasca banjir.

    Menurut Mahdzir, sejumlah 207 premis Tabika, Taska dan Pusat Kegiatan KEMAS diseluruh negara dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir kali ini.

    Paling teruk terjejas, premis Tabika KEMAS di Selangor dengan jumlah 111 buah dan di Pahang 58 buah.

    Manakala sejumlah 357 kakitangan KEMAS sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara.

    Tambah Mahdzir, sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan itu pula, dikumpul dari seluruh negara.

    Antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk ke Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang dan Pahang.

    “Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan ini dan ini juga merupakan satu ibadah kepada kita dalam membantu melapangkan kesusahan orang lain,” kata Mahdzir.