JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS), mewujudkan Bengkel Pusat Daya Maju atau COME yang  menyediakan pelbagai peralatan bagi tujuan keusahawanan untuk kegunaan masyarakat di luar bandar secara percuma.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kewujudan COME selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan kumpulan sasar golongan B40 menerima faedah daripada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pendapatan.

“Golongan peniaga atau usahawan baharu bidang jahitan contohnya yang tidak mempunyai peralatan yang lengkap boleh menggunakan peralatan yang disediakan secara percuma di  Pusat Daya Maju ini. 

“Dengan adanya Bengkel COME ini, mereka boleh datang menggunakan mesin-mesin jahit yang canggih seperti mesin sulam berkomputer, mesin jahit tepi dan juga mendapat bimbingan daripada Pemaju Masyarakat KEMAS yang mahir dalam bidang jahitan untuk memberikan tunjuk ajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran Pusat Daya Maju KEMAS di Padang Terap hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah KEMAS Kedah, Noor Azman Abd Rahman.

Jelas Mahdzir, setiap negeri mempunyai satu COME yang diwujudkan di premis Bengkel Jahitan KEMAS sedia ada yang dijangka memberi manfaat kepada tiga ribu orang usahawan baharu.

Katanya, beliau yakin dengan pembukaan 14 buah bengkel COME itu akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar. 

Dalam pada itu KEMAS kata Mahdzir, akan membuka lebih banyak kelas-kelas kemahiran di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia khususnya di luar bandar.  

“Sejajar dengan kewujudan Pusat Daya Maju, pada tahun ini juga, KEMAS melaksanakan kioks “QUKIS KEMAS” keluarga Malaysia yang merupakan platfom terbaik bagi membantu mempromosi dan memasarkan produk-produk usahawan bimbingan KEMAS,” kata Mahdzir.

Sejak tahun 2019, KEMAS merekodkan sejumlah 166,788 orang menghadiri kelas-kelas kemahiran yang dikendalikannya sehingga hari ini.

Bagi program Bantuan Quickwin yang diperkenalkan KEMAS sejak tahun 2016 pula telah memberi manfaat kepada seramai 18,477 orang dengan 16,618 orang daripadanya adalah golongan wanita. 

Ianya merupakan antara inisiatif yang disediakan KEMAS bagi meningkatkan ekonomi masyarakat di luar bandar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here