Tag: Kelantan

  • Gadis 17 tahun mati, polis tahan abang ipar

    Gadis 17 tahun mati, polis tahan abang ipar

    POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga adik ipar suspek, di sekitar Kota Bharu, petang semalam.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit ditahan anggota polis pada pukul 4 petang.

    Beliau berkata, Jumaat lepas polis menerima laporan mengenai kematian seorang remaja di Bunut Susu, Pasir Mas pada pukul 6.30 petang, dan hasil bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam mengesahkan punca kematian adalah disebabkan ‘Asphyxia’ (Lemas).

    “Kesan luka dikesan pada bahagian muka, tengkuk remaja itu, di samping kesan koyakan baharu pada kemaluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Shafien berkata, hasil siasatan fizikal ke atas tubuh badan suspek pula menemukan kesan calar pada bahu kiri bahagian belakang disyaki berpunca daripada cakaran kuku.

    “Ekoran tangkapan itu polis mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • Kelantan benar akad nikah di premis persendirian, masjid

    Kelantan benar akad nikah di premis persendirian, masjid

    KELANTAN membenarkan majlis akad nikah dijalankan di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sebarang sentuhan berkuat kuasa serta-merta.

    Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata majlis akad nikah yang dijalankan tidak melebihi 30 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    Beliau berkata kehadiran semasa majlis akad nikah dibenarkan tidak melebihi 10 orang yang telah lengkap divaksin termasuk pasangan pengantin, jurunikah/imam, wali pengantin perempuan dan saksi.

    “Bagi pasangan dan wali pengantin perempuan yang belum lengkap divaksin diwajibkan menjalani ujian saringan pengesanan jangkitan COVID-19 sama ada ujian pantas (RTK) antigen, ujian reaksi berantai polimerase (PCR) ataupun ujian kendiri selewat-lewatnya dua hari sebelum majlis akad nikah dijalankan.

    “Keputusan ujian kendiri hendaklah dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Che Mohd Rahim berkata wali pengantin perempuan boleh membuat permohonan wakalah wali sekiranya mengalami keuzuran untuk hadir di majlis akad nikah.

    “Hanya jurunikah atau imam yang telah lengkap divaksin sahaja boleh mengakad nikah pasangan tersebt. Bagi imam atau jurunikah yang belum melengkapi vaksin, pasangan boleh memohon untuk diakad nikah oleh imam atau jurunikah mukim bersebelahan yang telah lengkap divaksin,” katanya.

    Beliau berkata majlis akad nikah boleh dibatalkan jika melanggari mana-mana perkara dan peruntukan yang telah ditetapkan.

    “Apa-apa arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah terpakai. Semua arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal,” katanya.- BERNAMA

  • Empat lelaki mengaku tak bersalah pukul bomoh

    Empat lelaki mengaku tak bersalah pukul bomoh

    EMPAT lelaki yang terlibat dalam satu video memaparkan seorang bomoh dipukul sehingga tular di media sosial awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul tanpa senjata sehingga menyebabkan kecederaan.

    Bagaimanapun, keempat-empat lelaki itu yang juga pengamal perubatan tradisional iaitu Mohd Syamsul Izwan Midin, 33, Idris Ishak, 42, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa, dekat sini kira-kira 4 petang, pada 5 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli manakala peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili kesemua OKS memohon jumlah jaminan paling minimum.

    Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS dan menetapkan 4 Okt depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.- BERNAMA

  • Covid-19: Sultan Kelantan zahir dukacita pihak sebar berita negatif

    Covid-19: Sultan Kelantan zahir dukacita pihak sebar berita negatif

    SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap mereka yang menyebarkan berita negatif di platform media sosial sehingga membantutkan usaha kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19.

    Sultan Muhammad V bertitah pada pengamatan baginda, pemberian suntikan vaksin adalah kaedah yang tepat dengan masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada COVID-19 yang terus mengancam kehidupan.

    “Hentikanlah gerakan yang boleh mendatangkan banyak konflik, yang boleh menambahkan kesulitan dan kesusahan kehidupan.  

    “Apa juga polemik dan konflik yang tercetus akan menjejaskan penumpuan kepada penyelesaian masalah pandemik dan perkembangan ekonomi, sosial, keagamaan dan lain-lain dalam masyarakat,” titah baginda.

    Sultan Muhammad V bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja yang dibacakan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini hari ini.

    Sultan Muhammad V bertitah sebagai langkah segera, kerajaan Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM33.52 juta pada 2020 dan RM18.77 juta pada 2021 bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pandemik COVDI-19.

    “Ini, adalah tindakan yang tepat seperti sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Keperluan Asas Setiap DUN, Inisiatif Tunai Penjaja dan Peniaga Kecil, Bantuan Usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif yang telah memberikan manfaat secara terus kepada rakyat,” titah baginda.

    Sultan Muhammad V turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan wabak COVID-19 di negeri ini sentiasa dalam keadaan terkawal.

    “Terima kasih juga kepada semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang sememangnya terkesan dengan pandemik COVID-19,” titah baginda.

    Persidangan DUN Kelantan ditangguhkan dan bersambung pada 9 pagi esok. – BERNAMA

  • Penemuan mayat di Pasir Puteh: Polis tahan empat lelaki, buru seorang lagi

    Penemuan mayat di Pasir Puteh: Polis tahan empat lelaki, buru seorang lagi

    POLIS menahan empat individu dan sedang memburu seorang lagi bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat seorang lelaki di halaman sebuah rumah di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh pada 1 Ogos lepas.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki yang diburu bernama Tuan Mohd Ridzwan Tuan Mohamad, 32, atau lebih dikenali sebagai Iwe Telosan.

    Beliau berkata keempat-empat lelaki berusia lingkungan 34 hingga 44 tahun ditahan berhampiran Pasir Puteh antara 4 hingga 10 Ogos lepas dan mereka mengaku berada di lokasi kejadian bersama dengan individu yang sedang diburu.

    “Kempat-empat suspek berkenaan ditahan reman sehingga 17 Ogos ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

    Shafien juga berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala disebabkan hentakan dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

  • FAMA Kelantan belanja RM375,000 beli durian kampung elak lambakan

    FAMA Kelantan belanja RM375,000 beli durian kampung elak lambakan

    Oleh:Bernama

    LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan membelanjakan RM375,000 untuk membeli 100 hingga 150 tan metrik buah durian kampung sekali gus menyelamatkan harga dan lambakan ‘raja’ buah tersebut di pasaran tahun ini.

    Pengarah FAMA Kelantan Wan Nora Wan Ahmad berkata pihaknya membeli pada harga RM2.50 sekilogram berbanding RM2 sekilogram yang ditawarkan di peringkat ladang.

    “Kelantan merupakan pengeluar durian kampung terbesar di negara ini malangnya harga pada musim ini jatuh merudum susulan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyukarkan untuk dipasarkan ke negeri lain terutama di Pantai Barat.

    “Pembelian itu telah membantu 600 pemilik kebun durian di empat jajahan iaitu Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Puteh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemprosesan Durian di Pejabat FAMA Machang, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Nora berkata pihaknya telah melantik ejen dalam kalangan pemilik kebun di empat jajahan itu bagi memudahkan mereka memasarkan terus ke FAMA tanpa melalui orang tengah yang mungkin cuba mengambil kesempatan.

    Wan Nora berkata durian yang dibeli itu dibawa ke pusat pemprosesan buah-buahan sejuk beku di Pejabat FAMA Machang yang telah mendapat pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP), bagi menghasilkan tiga produk iaitu pes durian, tempoyak dan durian pulp (durian segar dibuang biji).

    “Produk berkenaan mendapat permintaan tinggi terutama daripada pengusaha makanan bagi dijadikan perisa dalam makanan seperti ais krim, kek dan sebagainya.

    “Produk yang dihasilkan turut mendapat permintaan dalam dan luar negara seperti dari China dan Singapura,” katanya.

    Sementara itu, Wan Nora berkata bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran dan membantu pekebun sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini, FAMA Kelantan telah mewujudkan bilik gerakan yang beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam.

    “Pekebun durian boleh melayari portal FAMA atau menghubungi talian hotline 019-7476754,” katanya.- BERNAMA