Tag: Kelantan

  • HRV terlibat kes samun terbakar, tiga maut termasuk dua rentung

    HRV terlibat kes samun terbakar, tiga maut termasuk dua rentung

    DUA mangsa rentung dalam kemalangan maut melibatkan tiga mangsa yang menaiki kenderaan jenis Honda HRV di Jalan Wakaf Bharu Palekbang, Tumpat awal pagi tadi.

    Memetik laporan BH, kenderaan terbabit dipercayai terbabas sebelum terbakar,

    Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri, salah seorang daripada mangsa ialah lelaki berumur 33 tahun.

    Beliau menambah, identiti dua lagi mangsa yang rentung sedang dikenal pasti.

    Mohd Azmir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Honda HRV berkenaan dalam perjalanan dari Cabang Tiga Kepulau menghala ke Wakaf Bharu.

    “Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dipercayai terbabas menyebabkan seorang daripada mereka tercampak keluar beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Dua lagi rakannya rentung dalam kereta yang sedang terbakar dan kita sedang mengena pasti identiti mereka,” katanya.

    Beliau memberitahu, kejadian itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta terbakar iaitu jenis Proton Wira milik penduduk kampung yang diletakkan berhampiran serta sebuah rumah kosong yang mengalami 30 peratus kebakaran.

    Kata Mohd Azmir, semua mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan menjelaskan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.04 pagi.

    “Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan kelihatan seorang mangsa berada beberapa meter sahaja dari kereta itu dan sudah meninggal dunia manakala dua lagi masih dalam kenderaan yang sedang terbakar.

    “Kereta itu dipercayai terbabas sebelum terbakar dan turut terlanggar tiang garaj sebuah rumah kosong yang menyebabkan rumah itu turut mengalami kebakaran 30 peratus manakala sebuah kereta Proton Wira milik seorang penduduk juga hangus.

    “Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.35 pagi,” ujarnya.

    Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, tiga lelaki yang maut tersebut dipercayai terlibat dengan kes samun sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger sebelum kemalangan berlaku.

    Mohd Azmir berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan Honda HRV tersebut dinaiki oleh empat lelaki yang kemudian telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Palekbang.

    “Salah seorang daripada penumpang Honda HRV itu kemudian bertindak melarikan sebuah kenderaan Ford Ranger dari rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, pemilik Ford Ranger itu yang mendengar bunyi enjin kenderaan tersebut dihidupkan kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan.

    Mohd Azmir menambah, pada masa yang sama, seorang lagi penumpang Honda HRV itu telah keluar lalu melibaskan senjata tajam ke arah pemilik kenderaan tersebut.

    Menurut beliau, salah seorang suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dicuri itu manakala tiga lagi lelaki melarikan diri dengan menaiki Honda HRV terbabit.

    “Pemilik Ford Ranger itu kemudian bertindak mengejar suspek yang melarikan pacuan empat rodanya menggunakan kereta jenis BMW.

    “Honda HRV dinaiki tiga suspek yang melarikan diri itu kemudian terbabas dan melanggar tiang sebuah rumah di Kampung Morak di sini semasa dikejar,” katanya.

    Mohd Azmir berkata, Honda HRV yang terbabas itu kemudiannya terbakar namun pemilik pacuan empat roda berkenaan terus mengejar kenderaannya sehingga ke Kubang Kerian sebelum Ford Ranger itu terbabas di hadapan pejabat Pos Kubang Kerian, Kota Bharu.

    Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Polis turut mengesan suspek yang berjaya melarikan diri itu,” jelasnya.

  • 19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    POLIS merampas sepucuk pistol semi auto jenama Zaroki serta dua kelopak peluru berisi 10 butir peluru selepas menahan seorang lelaki dalam keadaan khayal berdekatan dengan keretanya di tepi jalan Kampung Kubang Endang, Bechah Keranji dekat Melor di Kota Bharu Isnin lepas.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati bahawa penarik kereta berumur 38 tahun yang ditahan pada pukul 9.30 pagi itu merupakan penjenayah yang diburu polis sejak 2003.

    Beliau berkata, polis turut menemukan dua bilah pedang samurai dan plastik putih mengandungi dua liter cecair disyaki dadah, selain dua unit telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone 5s selepas memeriksa kereta Honda Civic milik suspek.

    Katanya, pistol berkenaan ditemukan dalam poket seluar hadapan sebelah kanan suspek bersama dua kelopak berisi 10 butir peluru, yang dikatakan dibeli lelaki itu dari seorang lelaki Thailand awal Sept lepas dengan harga RM2,200.

    “Serbuan turut dilakukan di rumah suspek kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, dan polis turut merampas 10,000 pil jenis Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai wang hasil dadah,” katanya pada sidang sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada hari ini.

    Shafien berkata, pada tahun 2003 suspek pernah meloloskan diri ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gua Musang, selain turut meninggalkan kad pengenalannya selepas diminta pihak polis.

    Katanya, suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • Tiada keperluan pindah Orang Asli terkesan ancaman harimau

    Tiada keperluan pindah Orang Asli terkesan ancaman harimau

    TIADA keperluan setakat ini untuk memindahkan Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan ancaman harimau belang sejak Disember lepas, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perkara itu dapat diselesaikan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

    “Isu harimau ini di bawah Perhilitan, kita sedang berusaha menyelesaikannya dan setakat ini kita tidak menerima maklumat harimau masuk ke dalam perkampungan Orang Asli.

    “Kalau kita nak pindahkan mereka (Orang Asli), mengikut pengalaman sebelum ini kebanyakannya tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka sahaja. Oleh itu, kita nasihatkan supaya mereka tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan kemeriahan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau belang pada 7 Jan lepas.

    Jumaat lepas, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu.

    Sementara itu, ketika ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa haiwan liar tersebut berkeliaran di penempatan Orang Asli disebabkan pembalakan haram, Mohd Amar berkata, pihaknya mengakui berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK).

    “Masalah pembalakan berlaku di seluruh Malaysia yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab, cuma di Kelantan isunya tidak serius.

    “Pembalakan haram itu memang ada, orang kampung buat kebun tanam durian, tanam kelapa sawit dan mungkin tebang hutan simpan, malah setakat kelmarin kita mendapat maklumat bahawa dua ekor harimau yang masih berkeliaran itu belum dapat dikesan namun tidak memasuki kampung,” katanya. – BERNAMA

  • Kerajaan salur RM400 juta hasil petroleum kepada Kelantan

    Kerajaan salur RM400 juta hasil petroleum kepada Kelantan

    KERAJAAN Persekutuan telah menyalurkan RM400 juta wang hasil petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan sejak dua tahun lalu.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran itu diberikan secara langsung kepada kerajaan negeri, berdasarkan lima peratus hasil petroleum negeri terbabit.

    “Bagi tahun lalu kita salurkan RM200 juta dan tahun 2020 juga RM200 juta.

    “Pembayaran ini dibuat secara langsung dan 100 peratus disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Bajet 2022 bersama penjawat awam negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata jumlah pembayaran yang disalurkan ini meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta.

    Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.39 bilion pada tahun ini, meliputi 351 projek untuk pembangunan negeri Kelantan berbanding RM1.8 bilion dengan 340 projek tahun lalu.

    Antara projek berkenaan termasuk pembinaan jambatan Palekbang membabitkan kos RM250 juta, projek mesra rakyat (RM102 juta) dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berjumlah RM483 juta.

    “Peruntukan meningkat tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan jumlah projek juga meningkat, yang mana projek pembangunan ini merangkumi projek lama dan baharu,” katanya. – BERNAMA

  • Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    KERAJAAN negeri Kelantan menafikan harimau berkeliaran di penempatan Orang Asli di Gua Musang sejak beberapa hari lepas berpunca daripada aktiviti pembalakan.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan untuk mengkaji dan melakukan penyiasatan tentang punca sebenar mamalia itu keluar daripada habitat asal.

    Beliau berkata, kejadian harimau memasuki kampung di negeri itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sebelum ini sudah ada kes direkodkan seperti berlaku di daerah Jeli namun kejadian itu tidak ‘dilabelkan’ berpunca daripada pembalakan.

    “Kejadian ini membabitkan satu kes, kalau banyak mungkin betul (disebabkan pembalakan) dan ia kes terpencil. Jangan sebab seorang mati diterkam harimau, kita letak semua kesalahan disebabkan penebangan hutan, kecuali ada tiga empat ekor harimau yang keluar masuk kampung dan makan orang, itu adalah serius.

    “Mahu siasat dan mencari sebab berlaku itu bagus, tetapi jangan cepat buat kesimpulan seolahnya sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar, bagi saya itu tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu, Mohd Amar diminta mengulas mengenai dakwaan Wakil Orang Asli Temiar, Nasir Dollah, 32, mengenai tiga ekor harimau yang berkeliaran di kampung-kampung di kawasan pentadbiran Pos Bihai berlaku disebabkan tindakan Kerajaan Kelantan yang telah meluluskan ribuan kawasan hutan untuk tujuan pembalakan dan sebagainya.

    Media semalam melaporkan Nasir turut menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri yang menggesa kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, harimau keluar dari kawasan habitat berkemungkinan disebabkan beberapa faktor lain termasuk usia mamalia itu sendiri yang sudah tua.

    “Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada memberitahu kadang-kadang apabila harimau sudah tua ia tidak mampu nak mengejar haiwan sebagai mangsa, jadi yang paling mudah adalah manusia sebab manusia lari pun tidak laju bukan seperti haiwan.

    “Setakat ini Perhilitan sedang bergerak menjalankan tugas mereka dan mengesan hidupan liar itu. Mengikut maklumat diperolehi ada tiga ekor harimau telah masuk ke kampung, tetapi yang makan orang (kejadian di Pos Bihai) itu bukan daripada ketiga-tiga itu,” katanya.

    Katanya, setakat ini juga tiada aktiviti pemburuan haram terhadap Harimau Malaya di negeri ini memandangkan keselamatan hidupan liar itu khususnya di Kelantan masih terjaga selain undang-undang mengenai aktiviti juga sudah ada sebelum ini. — BERNAMA

  • Tak perlu henti pembalakan di Kelantan – Mohd Amar

    Tak perlu henti pembalakan di Kelantan – Mohd Amar

    TIADA keperluan untuk menghentikan pembalakan di Kelantan kerana aktiviti itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan kuota yang dibenarkan di negeri berkenaan, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata, aktiviti itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya ia mengikut terma dan syarat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan kuota yang dibenarkan oleh Majlis Perhutanan Negara.

    “Sebagai contoh, setakat tahun ini kita hanya dibenarkan (menjalankan pembalakan) di kawasan seluas 3,000 hektar sahaja, tidak boleh lebih. Kalau lebih, kita akan dikenakan tindakan oleh Majlis Perhutanan Negara,” katanya.

    “Semua ini (had pembalakan) bukan negeri yang tentukan tapi Majlis Perhutanan Negara, kita hanya ikut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kewujudan petisyen “Henti Pembalakan Dan Kemusnahan Alam Sekarang!” yang digerakkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang telah mengumpulkan kira-kira 200,000 tanda tangan.

    Petisyen itu bertujuan menggesa kerajaan negeri untuk mengenakan moratorium atau pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini susulan banjir besar yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.

    Mohd Amar berkata, kegiatan pembalakan di negeri ini bukanlah penyumbang utama kepada musibah banjir yang menjadi fenomena hampir setiap tahun, memandangkan ia telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

    Menurutnya setiap tahun bermula Oktober hingga Disember, tiada penebangan pokok yang dibenarkan kerana ia musim tengkujuh.

    “Yang keluar (balak) dalam musim tengkujuh (ketika banjir) itu mungkin yang ditebang sebelum tempoh berkenaan dan disimpan di Beta (kawasan simpanan balak),” katanya.

    Justeru beliau meminta orang ramai agar tidak hanya menyalahkan pembalakan sebagai punca banjir kerana pelbagai faktor lain juga perlu diambil kira. – BERNAMA

  • Kelantan, Terengganu diramal banjir mulai 30 Dis

    Kelantan, Terengganu diramal banjir mulai 30 Dis

    MODEL ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 30 hingga 31 Dis ini. 

    JPS dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, kemungkinan tersebut dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Dis hingga akhir tahun ini. 

    Menurut kenyataan itu, risiko banjir diramal di Kelantan antara pukul 8 malam (30 Dis) dan 8 pagi keesokan harinya melibatkan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan sekitarnya berikutan jangkaan kenaikan aras air melepasi aras bahaya di Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.

    Pada tempoh sama, ramalan risiko berkenaan turut melibatkan daerah Dungun dan kawasan sekitarnya di Terengganu ekoran aras air di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga dijangka naik melepasi aras bahaya. 

    Justeru, JPS mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – BERNAMA

  • Jijik! Penjual ayam dituduh sumbang mahram dengan adik ipar

    Jijik! Penjual ayam dituduh sumbang mahram dengan adik ipar

    SEORANG penjual ayam berdepan pertuduhan yang menjijikkan iaitu melakukan hubungan seks dengan adik ipar perempuan yang berumur 15 tahun.

    Memetik laporan Malaysiakini, lelaki berrumur 33 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan mengadakan hubungan seks bersama adik ipar yang berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Sungai Durian, dekat Kuala Krai pada 23 November 2021.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan selain menetapkan 13 Februari 2022 untuk sebutan semula kes.

  • 2 ADUN positif COVID-19, sidang DUN Kelantan tangguh

    2 ADUN positif COVID-19, sidang DUN Kelantan tangguh

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan berlangsung sehingga Selasa (7 Dis) ini ditangguhkan lebih awal berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) positif COVID-19.

    Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub berkata keputusan menangguhkan persidangan DUN ini terpaksa dilakukan bagi mengelak berlakunya penularan COVID-19 kepada orang lain.

    “Sepatutnya kita tamat persidangan pada 7 Dis depan..saya mendapat maklumat, dua ADUN iaitu dari Tanjong Mas (Rohani Ibrahim) dan ADUN Tendong (Mohd Rozi Muhamad) positif COVID-19, jadi kita terpaksa menangguhkan sidang DUN Kelantan sehingga diberitahu kelak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sidang DUN Kelantan di Kota Darulnaim, di Kota Bharu, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Abdullah turut memaklumkan ADUN Kemuning Mohd Roseli Ismail sedang menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada anaknya yang positif COVID-19.

    Sebelum menangguhkan Sidang DUN itu, Abdullah berkata Belanjawan Negeri Kelantan 2022 telah diluluskan sebulat suara, tanpa dibahaskan.

    “Kita dapat tamatkan persidangan selepas lulus Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan mengikut Perkara 29 peraturan dewan, Speaker berkuasa untuk menangguhkan dewan pada bila-bila masa,” katanya.

    Belanjawan Kelantan 2022 bertemakan ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’ memperuntukkan sejumlah RM1.51 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat.

    Ia melibatkan enam teras iaitu Transformasi Kewangan, Memacu Ekonomi, Pendidikan dan Agama, Kesejahteraan Rakyat, Pelindungan Sosial dan Kebajikan. – BERNAMA

  • 8 rumah terbakar, 7 keluarga tinggal sehelai sepinggang

    8 rumah terbakar, 7 keluarga tinggal sehelai sepinggang

    TUJUH keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas lapan unit rumah, termasuk satu yang tidak berpenghuni, musnah dalam kebakaran di kawasan berhampiran Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh di Kota Bharu, awal pagi ini.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dah Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Abu Hassan Mohd Nawi, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.56 pagi.

    Beliau berkata, setibanya di lokasi pada pukul 3.11 pagi, satu deretan lapan unit rumah kediaman didapati sedang terbakar kira-kira 80 peratus, dan api dilihat marak dengan pantas disebabkan bangunan rumah itu diperbuat daripada kayu papan lama.

    “Seramai 41 pegawai dan anggota dari balai bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Tunjong, Pasir Tumboh dan Pengkalan Kubor terlibat dalam operasi pemadaman, menggunakan sembilan jentera termasuk dua lori tangki, dan api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.11 pagi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

    Sementara itu, salah seorang mangsa yang ditemui Muhammad Shaari, 21, berkata, pada mulanya beliau terdengar suara jeritan meminta tolong, dan sebaik sahaja keluar daripada rumah beliau mendapati beberapa unit rumah sudah terbakar dan api kelihatan cukup marak.

    “Saya segera kejutkan ibu serta adik-adik yang sedang tidur di tingkat atas (rumah dua tingkat), dan sempat menyelamatkan diri dan keluarga, walaupun saya mengalami sedikit kecederaan di kaki sebelah kiri akibat terkena percikan api.

    “Ketika ini kami sekeluarga diarahkan oleh penghulu kampung untuk menetap di taska yang berdekatan dengan rumah kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pagi ini. – BERNAMA