Tag: kebakaran

  • Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    LEBIH 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal yang terbakar sejak 12 Jan lepas akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkongsi perkara itu di Facebooknya dan memaklumkan operasi pemadaman di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut telah berjaya dipadamkan semalam.

    Menerusi hantarannya, Reezal Merican berkata, kejayaan itu disempurnakan dengan kerjasama semua pihak dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi persekutuan serta negeri dalam proses pemadaman kebakaran terbabit.

    “Alhamdulillah, misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

    “Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi Persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang ketika ini akan terus memantau kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut.

    “Selain memantau titik panas, pihak JAS turut membuat pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat untuk penduduk di kawasan tersebut pulang semula ke rumah mereka,” katanya.

    Katanya, ketika ini IPU di situ mencatatkan tahap sederhana namun angkanya semakin baik dari semasa ke semasa iaitu 74 direkodkan pada 7 pagi hari ini manakala pada 10 pagi is mencatatkan bacaan IPU 73. Pada Isnin, 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan dengan bakinya melibatkan sektor 5 sahaja.

    Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

    Pada 22 Jan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. – BERNAMA

  • Rumah orang tua terbakar, lima mangsa maut

    Rumah orang tua terbakar, lima mangsa maut

    LIMA maut dan beberapa lagi cedera dalam kejadian kebakaran di rumah penjagaan warga emas di bandar Valencia, timur Sepanyol pada Rabu, lapor media tempatan memetik kenyataan perkhidmatan kecemasan.

    Menerusi ciapan Twitter anggota bomba tempatan, lima mangsa dilaporkan terkorban dan 11 lagi dibawa ke hospital akibat terhidu asap, manakala 70 penghuni lain terpaksa dipindahkan, lapor Xinhua.

    Apabila anggota bomba tiba di lokasi kejadian, api telah merebak hingga memusnahkan satu bahagian sayap bangunan rumah penjagaan warga emas berkenaan, lapor agensi berita Sepanyol EFE.

    Kebakaran berjaya dikawal sekitar 1.20 pagi (0020 GMT) pada Rabu, katanya.

    Menurut media tempatan, siasatan awal mendapati kejadian litar pintas dalam unit oksigen mungkin menjadi punca kebakaran. – BERNAMA

  • Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    AKIBAT perselisihan faham dalam keluarga, seorang lelaki yang disyaki kurang siuman bertindak membakar rumahnya hingga mengakibatkan dua lagi unit perumahan awam di Setapak Jaya dekat sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada kira-kira 4.30 petang.

    “Kita menerima maklumat awal berlaku pergaduhan keluarga di lokasi kejadian sehingga menyebabkan suspek disyaki membakar rumahnya sendiri sebelum api merebak ke dua unit rumah lain.

    “Suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

    Ashari berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun insiden tersebut telah mengakibatkan tiga unit rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

    Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata seramai 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Keramat, Setapak dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran.

    “Kebakaran berlaku di tingkat empat rumah pangsa itu dan api berjaya dikawal tidak lama selepas kejadian,” katanya. – BERNAMA

  • Tempahan kacang putih sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

    Tempahan kacang putih sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

    “SEMUA kacang, keropok dan kerepek, yang ditempah pelanggan untuk sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina hangus dalam kebakaran dan tidak dapat diselamatkan. Saya sangat sedih.”

    Demikian luahan pemilik premis DNS Kacang Putih, T. Sanggarlingam, 52, selepas perniagaan memproses kacang putihnya itu musnah dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.

    Sanggarlingam yang mengusahakan kedai kacang putih itu sejak 30 tahun lalu berkata beliau serta anak lelakinya S. Sathis Kumar, 30, baharu sahaja menyiapkan kerja-kerja tempahan pelanggan di premis berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

    “Setengah jam kemudian, salah seorang jiran menelefon anak lelaki saya memberitahu ternampak percikan api dan terdengar bunyi letupan di dalam kedai itu dan tidak mengambil masa lama, mereka (jiran dan anak lelaki) menelefon pihak bomba.

    “Saya dan anak lelaki cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan pemadam api tetapi gagal kerana api sudah semakin marak dan tidak dapat dikawal,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di Ipoh hari ini.

    Sanggarlingam yang kelihatan sedih berkata kesemua peralatan memasak dan pembungkusan bahan kudapan itu yang setiap satu bernilai RM80,000 hingga RM300,000, musnah dalam kebakaran tersebut dan jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata kebakaran di Laluan Sungai Pari 12, Buntong di sini turut melibatkan sebuah rumah dua tingkat, sebuah van dan sebuah motosikal.

    “Kedai berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus. Rumah pula terbakar 30 peratus manakala van dan motosikal hanya lima dan 40 peratus. Kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa,” menurut jurucakap tersebut.

    Jurucakap itu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 1.08 pagi tadi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu BBP Meru Raya, BBP Pasir Puteh serta Pasukan Bomba Sukarela Pasir Pinji, Menglembu dan Pekan Baru digegaskan ke lokasi kejadian dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 4.15 pagi. – BERNAMA

  • Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    SEPASANG suami isteri rentung manakala tujuh lagi melecur dalam kebakaran membabitkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama di Tawau tengah malam tadi.

    Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya, Jumaidah M Jida, 36, ditemukan anggota bomba awal pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 6.20 pagi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.25 tengah malam tadi dan 25 anggota serta dua jentera diatur gerak ke lokasi.

    “Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun dan seorang remaja, 18 tahun melecur 17 peratus.

    “Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus dan semua mangsa melecur dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Dalam pada itu, mangsa kebakaran Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya yang ditinggalkan kosong selama seminggu itu musnah dalam kebakaran.

    “Saya ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan, pagi ini saya balik, baru saya tahu rumah kami terbakar, semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya hari ini.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hasoni Basiah, 34, berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

    “Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak ‘api’ dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya, melihat api marak saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, ” katanya menambah dia hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

    Nur Anita Saddu, 30, pula berkata, dia suami serta dua anaknya sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

    “Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran, saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat,” katanya.

    Selain itu Abbas Tenri, 49, berkata, dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu.

    “Saya dan tujuh anak selamat cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat ambil, saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah,” katanya.

  • 3 mangsa terbunuh dalam letupan gas rumah mandian

    3 mangsa terbunuh dalam letupan gas rumah mandian

    KEJADIAN letupan gas di sebuah rumah mandian di wilayah timur Fergana di Uzbekistan telah mengakibatkan tiga terbunuh dan mencederakan empat yang lain, menurut Kementerian Kecemasan Uzbek pada Jumaat.

    Letupan itu mengakibatkan bumbung rumah mandian runtuh dan pasukan kecemasan diarah menjalankan operasi menyelamat, Xinhua memetik kementerian sebagai berkata.

    Sementara itu, siasatan awal masih dijalankan berhubung kejadian, tambah kementerian itu. – BERNAMA

  • Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 38 terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam kejadian feri terbakar pada Jumaat di daerah Jhalokati, Bangladesh.

    Timbalan pesuruhjaya daerah Jhalokati, Md Nazmul Alam berkata, feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan dalam perjalanan dari Dhaka ke daerah Barguna.

    Beliau berkata, kebakaran bermula di bahagian enjin kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

    “Setakat ini 38 mayat telah ditemukan,” katanya lapor Xinhua.

    Beliau berkata ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur dan operasi mencari masih dijalankan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri hilang.

    “Kami dimaklumkan feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan feri itu sudah ditarik ke tebing,” katanya.

    Mangsa yang terselamat memberitahu media tempatan, ramai penumpang terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

    Tiada kematian melibatkan warga asing dan feri yang terbakar itu dilaporkan membawa lebih muatan. – BERNAMA

  • Beberapa kediaman di Flat Sri Johor terbakar

    Beberapa kediaman di Flat Sri Johor terbakar

    BEBERAPA unit kediaman musnah dalam satu kebakaran di Flat Sri Johor, Cheras, Kuala Lumpur, malam ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihakya mengesahkan kejadian itu dan kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

    “Ya, betul berlaku kebakaran. Mohon bersabar nanti kita kongsikan kenyataan media,” katanya seperti dilaporkan BH, malam ini.

    Ketika ini anggota bomba dan Penyelamat sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu.

    Difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang dalam perjalanan untuk meninjau keadaan di Flat Sri Johor.

  • Bangunan terbakar, 27 mangsa maut terperangkap

    Bangunan terbakar, 27 mangsa maut terperangkap

    DUA puluh tujuh orang dikhuatiri maut dalam kebakaran sebuah bangunan di wilayah Osaka Jepun pada Jumaat, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Kebakaran bermula di tingkat empat bangunan yang terletak berdekatan Stesen JR Osaka dan berjaya dipadamkan sekitar pukul 10.45 pagi waktu tempatan, menurut pihak bomba tempatan, yang menerima laporan kebakaran sekitar pukul 10.20 pagi waktu tempatan.

    Api merebak di kawasan seluas kira-kira 20 meter persegi. – BERNAMA

  • Lori tangki meletup, 60 mangsa terbakar hidup-hidup

    Lori tangki meletup, 60 mangsa terbakar hidup-hidup

    ANGKA kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 60 orang apabila sebuah lori tangki bahan api meletup di bandar pelabuhan Cap-Haitien di utara Haiti pada Selasa, kata seorang pegawai tempatan.

    Berpuluh-puluh orang cedera dan dibawa ke hospital di Cap-Haitien, bandar kedua terbesar di Haiti, lapor Xinhua memetik Timbalan Datuk Bandar Patrick Almonor yang menyifatkan letupan itu sebagai “mengerikan.”

    “Anggota bomba sedang membuat penilaian awal untuk menentukan jumlah rumah yang terbakar” akibat letupan itu, tambah Almonor.

    Kerajaan mengumumkan akan membina hospital medan untuk merawat mangsa yang cedera memandangkan kawasan hospital sesak dengan mangsa.

    Menurut Timbalan Datuk Bandar, letupan berlaku pada pagi Selasa selepas lori tangki itu cuba mengelak sebuah motosikal dan terbalik. Beberapa bahan api melimpah keluar.

    Haiti bergelut dengan kekurangan bahan api dan harga gas yang melambung tinggi, dicetuskan oleh tindakan kumpulan bersenjata. Pada 25 Okt, anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kesukaran menghantar bahan api di Haiti berkemungkinan akan mengorbankan nyawa. – BERNAMA