Tag: kata Tuan Ibrahim

  • Putrajaya perlu bantu, bukan ambil alih atau rombak AKSB, kata Tuan Ibrahim

    Putrajaya perlu bantu, bukan ambil alih atau rombak AKSB, kata Tuan Ibrahim

    BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air, DatuK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Putrajaya perlu membantu dari segi pembiayaan mengurus, bukannya mengambil alih atau merombak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

    Naib Presiden Pas itu berkata, masalah bekalan air bukan hanya dihadapi Kelantan, tetapi negeri lain termasuk Melaka juga memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan.

    “Kelantan mengakui tidak mampu dari segi kewangan, justeru ia memerlukan geran untuk melaksanakan beberapa projek, contohnya penukaran paip baharu dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

    “Sebenarnya, penyelesaian (masalah) bukan hanya pengambilalihan dan rombakan, tapi laksanakan tanggungjawab yang belum dilaksanakan dan saya tengok kita perlu satu reformasi dari segi kaedah bekalan air seluruh negara.

    “Masalah ini bukan Kelantan saja, (tapi) negeri lain pun teruk. Macam Melaka, sumber airnya kritikal, terpaksa beli air dari Johor. Jadi bagi saya, kerajaan Pusat bertanggungjawab untuk bantu.

    “Pengambilalihan ini walau akta ada hak, tapi dari segi itu, kerajaan negeri mana-mana pun tak akan rela kerajaan persekutuan ambil (alih), cuma bantu,” katanya selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan DUN Kelaboran di Padang Kemahkotaan, Tumpat, malam tadi.

    Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Putrajaya tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih AKSB, jika usaha menyelesaikan masalah air di Kelantan tidak berhasil.

    Katanya, rombakan dan pengambilalihan boleh dilakukan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia), tetapi itu jalan terakhir dan keadaan belum sampai ke tahap itu sekarang.

    Tuan Ibrahim berkata, isu air di Kelantan ada kaitan dengan sistem loji air perlu dinaik taraf.

    “Sistem loji kita, kerajaan kita (Pusat) kena biaya sebab kos besar, kerajaan negeri tak mampu. Satu loji sampai RM200 juta hingga RM300 juta, loji ini sudah lama dan kena ‘upgrade’, (kerajaan) pusat perlu sediakan (dana).

    “Saya sudah beritahu dulu (ketika menjadi menteri alam sekitar dan air), kerajaan Persekutuan perlu biayai RM2 bilion setahun kepada semua operator air di seluruh negara untuk ‘sustain’.

    “Saya fikir PM sudah berjanji untuk membantu dan kalau diberi bantuan boleh selesai, tak perlu rombakan apa-apa,” katanya lapor Harian Metro.

  • Senarai tular calon PAS Kelantan palsu, kata Tuan Ibrahim

    Senarai tular calon PAS Kelantan palsu, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan senarai nama calon parti itu bagi pilihan raya negeri (PRN) Kelantan yang tular di media sosial sejak semalam palsu.

    “Apa yang saya boleh katakan, senarai berkenaan tidak betul sama sekali dan ia mula tular sejak semalam.

    “Biasalah, kadang-kadang kita susah nak kawal media sosial yang terbuka sekarang. Jangan kata senarai nama calon, keputusan mengundi pun kadang-kadang keluar dahulu sebelum kira undi.

    “Namun, saya sahkan senarai berkenaan tidak betul dan palsu. Kita tidak tahu apa motif maklumat yang tidak betul itu disebarkan,” katanya menurut Harian Metro selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan Parlimen Kubang Kerian, malam tadi.

    Terdahulu, tular senarai nama dikatakan calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bertanding di PRN Kelantan bulan depan.

    Dalam senarai itu, Tan Sri Annuar Musa yang juga pengerusi Muafakat Nasional dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, manakala Datuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula dikatakan bertanding di DUN Kijang.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula dikatakan akan mempertahankan kerusi masing-masing di DUN Pasir Pekan serta Panchor.

  • Komen tiada adab, kata Tuan Ibrahim

    Komen tiada adab, kata Tuan Ibrahim

    TINDAKAN seorang pengguna Twitter yang memuat naik doa mengharapkan kematian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dianggap sebagai tidak beradab dan mempunyai akhlak Islam yang baik.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan daripada segi politik namun isu berkaitan sakit dan kematian tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menunjukkan kebencian.

    Tegasnya, individu terbabit perlu mendalami akhlak Islam dan memahami bahawa sakit akan dialami oleh setiap manusia.

    “Perkara ini tidak boleh dibuat bahan, orang bukan Islam pun kutuk tindakan dia kerana tidak mencerminkan akhlak yang baik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambah Tuan Ibrahim, jika seseorang tidak mampu mengawal emosi dan tindakan hingga sanggup mendoakan keburukan kepada orang lain maka dia tidak layak untuk menjadi pemimpin politik.

    Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Abdul Hadi dibenarkan keluar hospital, hari ini dan telah pulang ke kediamannya.

    Pada Sabtu, tular ciapan dibuat pengguna Twitter tersebut yang didakwa pembantu kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • ‘Tubuh parti baharu merugikan, baik sertai platform politik sedia ada’, kata Tuan Ibrahim

    ‘Tubuh parti baharu merugikan, baik sertai platform politik sedia ada’, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati rakannya yang disisihkan UMNO supaya tidak menubuhkan parti baharu, sebaliknya memanfaatkan platform politik sedia ada dengan menyertai Perikatan Nasional (PN).

    “Penubuhan parti baharu berpaksikan Melayu-Islam cuma mendatangkan kerugian buat orang Melayu sendiri sehingga langkah itu cenderung menguntungkan musuh politik,” ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, hari ini.

    Saranan itu merujuk kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang memberi gambaran mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti politik sedia ada, sebaliknya mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas melihat tiada keperluan untuk wujudkan parti baharu kerana ia hanya akan memecahkan sokongan.

    “Adalah lebih baik, rakan-rakan bekas UMNO menyertai PN sama ada menjadi terus ahli PN atau menyertai mana-mana parti komponen dalam PN.

    “Ini kerana, kewujudan banyak parti Melayu hanya akan merugikan kita dan menggembirakan musuh politik,” katanya kepada BH hari ini.

    Semalam Khairy Jamaluddin mencetuskan persoalan berhubung hala tuju politik apabila menegaskan sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baru.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pada mulanya beliau tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.

    “Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut. Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” katanya.

  • Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan, akan ada beberapa bekas nama besar dan berpengaruh dari UMNO dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau membayangkan perkembangan tersebut adalah ‘sesuatu berita baik buat PN’.

    “Saya fikir akan ada beberapa kejutan… ada sesuatu berita baik,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT.

    “Negara kita ni suka terkejut-kejut, saya nampak macam terkejut belaka.”

    Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa bekas pemimpin UMNO akan menyertai Pas.

    Antara bekas pemimpin UMNO dilaporkan berminat menyertai Pas ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang dipecat Disember lalu.

    Tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO itu dipercayai bagi melebarkan penguasaan PN di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, selain mengekalkan negeri dikuasai mereka seperti di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Sebelum ini, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata beberapa pemimpin kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Malaysiakini pada 29 Mac, Annuar yang juga bekas menteri era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sudah mengisi borang keahlian Pas, namun bercadang mengumumkan penyertaannya selepas Aidilfitri.

    Laporan itu tidak menolak kemungkinan Annuar menjadi calon pada PRN nanti.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yakin slogan ‘PN Best’ yang berjaya menambat hati pengundi di 74 kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih bersama gabungan itu, walaupun beberapa pemimpin utamanya kini berdepan kes mahkamah.

    Katanya, majoriti pengundi mereka yang berada dalam kelompok ‘atas pagar’ memahami tuduhan dibuat terhadap pemimpin PN bersifat pendakwaan terpilih, ketika beberapa kes seperti penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS) tidak dibawa ke mahkamah walaupun siasatan telah selesai.

    “Kita akui pendakwaan ini akan memberi kesan khususnya golongan atas pagar tetapi rakyat faham pertuduhan dibuat (ke atas pemimpin PN) dan bagaimana kes itu,” katanya merujuk kepada empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Muhyiddin berkait program Jana Wibawa bernilai RM232.5 juta.

    “Gelombang anak muda masih bersama kita.”

    Slogan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ mencetuskan gelombang hijau pada PRU15 yang mana majoriti pengundi gabungan itu adalah anak muda selepas pengundi berumur 18 tahun pertama kali dibenarkan membuang undi.

  • Persepsi masyarakat lihat PM campur tangan, kata Tuan Ibrahim

    Persepsi masyarakat lihat PM campur tangan, kata Tuan Ibrahim

    DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat campur tangan terhadap pertuduhan mahkamah melibatkan tokoh-tokoh politik ternama hanyalah persepsi masyarakat.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan, persepsi berkenaan akan berubah sekiranya kerajaan terutamanya Ahli Parlimen Tambun itu dilihat adil dalam pendakwaan yang bukan sahaja melibatkan pemimpin pembangkang malah kes berkait pemimpin kerajaan.

    “Saya lihat apa yang penting bukan sahaja kenyataan, tetapi persepsi masyarakat apabila pendakwaan kepada pembangkang sahaja (dibuat masa ini) tetapi dalam masa sama, isu melibatkan kerajaan ditimbulkan dalam Parlimen.

    “Isu pembinaan kapal LCS (kapal tempur pesisir) sebagai contoh dan kes-kes yang berlaku di mahkamah, orang tanya bila nak mula. Bahkah kes ini jauh lebih awal daripada yang lain-lain.

    “Saya bukan mahu pertikai tetapi persepsi itu tidak boleh elak melainkan kerajaan dilihat berlaku adil kepada semua,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam Dewan Rakyat hari ini yang menggesa mana-mana pihak tampil memberikan bukti sekiranya benar beliau campur tangan terhadap pertuduhan mahkamah terhadap tokoh-tokoh politik.

    Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat dilihat akan menilai Perdana Menteri menerusi sentimen yang berbeza sekiranya persepsi berkenaan dapat diubah.

    Sementara itu, mengenai misi kemanusiaan Perikatan Nasional (PN) di Turkiye baru-baru ini, beliau yang baru pulang dari negara itu memaklumkan, mangsa gempa bumi masih memerlukan bantuan terutamanya tempat penginapan.

    Beliau berkata, rumah sementara daripada kontena merupakan alternatif berikutan kediaman mangsa yang musnah ketika bencana itu melanda bulan lalu.

    “Sebuah rumah kontena dianggarkan berjumlah RM30,000 dan kita mensasarkan kutipan sejumlah RM3 juta. Dana dan bantuan itu akan dihantar selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Rafizi gagal buktikan penglibatan saya dalam skandal RM2 bilion, kata Tuan Ibrahim

    Rafizi gagal buktikan penglibatan saya dalam skandal RM2 bilion, kata Tuan Ibrahim

    MENTERI Dalam sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli gagal mengaitkannya dengan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2.

    Menurut Timbalan Presiden Pas itu, dakwaan terbaru Rafizi jelas bertujuan merosakkan reputasinya dan akan dijawab dengan saman fitnah.

    “Rafizi telah membuat sidang media pada 11 November pada pukul 10.30 pagi bertujuan kononnya untuk menjawab tuntutan yang saya kemukakan dan memberi bukti kukuh tentang tuduhan yang beliau lakukan terhadap saya.

    “Walau bagaimanapun, terbukti bahawa sidang media tersebut hanya menguatkan lagi sangkaan ramai pihak bahawa Rafizi hanya membuat tuduhan palsu dan penyelewengan fakta berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Semalam, Rafizi mendedahkan surat yang didakwa menunjukkan projek tebatan banjir RM2 bilion di Sungai Langat 2 diluluskan kerajaan untuk tender terus kepada sebuah syarikat tertentu pada 7 Oktober, sehari bekerja sebelum parlimen dibubarkan.

    Menurut Rafizi, surat bertarikh 7 Oktober yang didakwa dihantar Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar (Kasa) dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menyatakan menteri kewangan bersetuju untuk meluluskan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 untuk dianugerahkan secara rundingan terus dengan syarikat yang disifatkan Rafizi sebagai ‘kroni UMNO’.

    Tuan Ibrahim berkata surat itu jelas menunjukkan bahawa dia dan kementeriannya tidak terlibat dalam kelulusan tersebut.

    Katanya, berdasarkan kepada surat tersebut, adalah jelas bahawa kelulusan tersebut bukanlah dibuat oleh beliau ataupun Kasa.

    Surat tersebut dikeluarkan pada 7 Oktober 2022, sebelum parlimen dibubarkan dan bukan semasa tempoh kerajaan sementara, jelasnya lagi.

    “Sidang media yang dibuat oleh Rafizi juga gagal sama sekali mendedahkan bukti keterlibatan saya dalam kelulusan projek termasuk usaha saya atau Kasa untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara.

    “Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara ke arah menganugerahkan projek tersebut,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Justeru, Tuan Ibrahim berkata dakwaan Rafizi jelas bersifat fitnah dan bertujuan untuk menjejaskan reputasinya dan Pas.

    “Saya telah mengarahkan peguam saya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi sebaik sahaja menerima jawapan bertulis daripada peguam Rafizi atau selepas tamatnya tempoh tujuh hari yang telah diberikan,” katanya.

    Dalam surat tuntutan yang dihantar kepada Rafizi, yang juga calon PKR Pandan, awal minggu ini, Tuan Ibrahim telah menuntut Rafizi mengeluarkan surat akujanji dalam tempoh tujuh hari (yang tamat pada 17 November) berjanji untuk berhenti membuat dakwaan serupa, serta menyediakan kenyataan memohon maaf atas dakwaan tersebut.

    Selain itu, Rafizi juga diberitahu untuk mencadangkan jumlah yang sesuai sebagai pampasan dalam tempoh tujuh hari kerana didakwa memfitnah Tuan Ibrahim, yang mesti diselesaikan segera setelah persetujuan dicapai.

    Awal minggu ini, Rafizi menuduh kerajaan sementara cuba memberikan kontrak bernilai berbilion ringgit untuk kroni.

  • Felda bukan lagi simpanan tetap UMNO’, kata Tuan Ibrahim

    Felda bukan lagi simpanan tetap UMNO’, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, warga Felda sudah berubah dan kawasan rancangan tanah itu tidak boleh lagi dianggap simpanan tetap mana-mana parti pada pilihan raya umum (PRU).

    “Generasi kedua dan ketiga Felda sudah menerima banyak pendedahan maklumat, tidak lagi hanya fokus kepada satu parti.

    “Pada 1999 (PRU), saya bertanding di Felda Jengka, Pahang. Ada 10 peti undi, sembilan daripada peti itu Felda semua. Alhamdulillah, saya menang ketika itu dan banyak lagi kawasan.

    “Saya fikir situasi sudah berubah, generasi kedua dan ketiga banyak terima maklumat dan tidak lagi fokus hanya kepada satu parti. Saya fikir FELDA bukan lagi ‘fixed deposit’ (simpanan tetap) buat UMNO buat masa ini,” katanya.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival KASA 2022 @Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengenai desas-desus beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Kubang Kerian disandangnya untuk bertanding di Pahang, beliau berkata, keputusan itu terserah kepada pucuk pimpinan.

    “Kita serah kepada parti untuk buat keputusan dan saya difahamkan waktu ini ada mesyuarat akhir.

    “Hati saya jatuh cinta dengan Kubang Kerian, tapi apa yang penting, kita laksanakan apa yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, tunggu pengumuman nanti,” katanya lapor Berita Harian.

  • Pas mungkin bergerak solo dalam PRU-15, kata Tuan Ibrahim

    Pas mungkin bergerak solo dalam PRU-15, kata Tuan Ibrahim

    PAS bersedia dengan pelbagai kemungkinan termasuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Jelas beliau, ini termasuk bertembung dengan parti lain dalam menghadapi PRU-15.

    “Bagaimanapun, Pas tetap akan memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam persiapan menghadapi PRU-15.

    “Saya lihat BN (Barisan Nasional) banyak buat keputusan untuk bergerak solo, jadi kalau BN buat keputusan begitu, kita sedia hadapi dalam semua kemungkinan. Kalau muafakat, kita boleh pakat, kalau mahu lawan pun kita boleh lawan.

    “Ya (sedia bertembung) tetapi sebagaimana kita tahu keputusan parti ini akan dibawa ke majlis pimpinan masing-masing. Bagi parti kita, kita bergerak atas PN sebab Pas sebahagian daripada PN.

    “Apapun paling penting rakyat dapat manfaat daripada kerajaan yang stabil dan adil, itu fokus kepada rakyat. Kita tidak mahu kerajaan yang tidak stabil sebab ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatan kerjanya di Kampung Pengalat di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas bergerak secara solo pada PRU akan datang atau sebaliknya.

    Sementara itu, diminta mengulas sama ada Pas akan meletakkan calon di Sabah, beliau berkata, ada beberapa kerusi yang dicadangkan untuk dipertandingkan parti itu dalam PRU15.

    “Sebagai Timbalan Presiden, saya belum menerima lagi calon yang dikemukakan di Sabah, namun saya ada dengar mengenainya. Biasalah parti-parti politik mengemukakan calon untuk cadangan di peringkat negeri.

    “Namun bagi pihak parti, kita akan tunggu secara rasmi dan lihat bagaimana kesediaan Pas negeri untuk bertanding.

    “Dalam PRU kali ini, ada beberapa kerusi kita cadangkan untuk dipertandingkan Pas. Pas sudah lama di Sabah dan kita dapati sokongan semakin hari semakin baik,” ujarnya.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim sekali lagi menegaskan Pas sedia berbincang dengan mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan parti itu.