Tag: kata Takiyuddin

  • Annuar Musa antara 10 bekas pemimpin UMNO isi borang sertai Pas, kata Takiyuddin

    Annuar Musa antara 10 bekas pemimpin UMNO isi borang sertai Pas, kata Takiyuddin

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa adalah antara lebih 10 bekas pimpinan UMNO yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai parti Pas.

    Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula menunjukkan minat untuk menyertai parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Satu pengumuman penerimaan keahlian tokoh-tokoh politik berkenaan dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.

    “Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman sahaja. Insya-Allah akhir bulan ini.

    “Saya boleh mengesahkan Tan Sri Annuar Musa sudah isi borang untuk menyertai Pas, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat dan bersama rakan-rakan lain dalam UMNO,” katanya ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya di Kota Bharu hari ini.

    Takiyuddin turut memaklumkan kesemua bekas pimpinan UMNO terbabit akan turut dipertimbangkan untuk diberikan tempat sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Mengulas mengenai isu kalimah Allah, beliau yang juga ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional, PN akan membawa usul berkenaan di persidangan Parlimen akan datang.

    Katanya, isu melibatkan kalimah Allah sepatutnya dibawakan ke Mahkamah Syariah kerana isu berkenaan bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

    Menurut beliau, Pas dan PN terkejut serta berpandangan tindakan menarik rayuan oleh Kerajaan Perpaduan itu adalah tidak wajar.

    Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain- ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

    Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

    Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

  • Annuar Musa maklumkan bakal sertai Pas, kata Takiyuddin

    Annuar Musa maklumkan bakal sertai Pas, kata Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai Pas.

    Perkembangan itu menyusul selepas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar semalam mengesahkan akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

    “Annuar ada maklumkan baru-baru ini untuk sertai Pas dan kita memang terima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO untuk sertai PN (Perikatan Nasional),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu hari ini.

    Takiyuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN berkata, hasrat Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh serta bekas pemimpin UMNO lain yang mahu menyertai PN akan disusuli perbincangan lanjut.

    “Kita akan menyusul dengan perbincangan lanjut. Kesemua mereka (bekas pemimpin UMNO) itu, kita dalam proses untuk selaraskan kemasukan,” katanya lagi.

    Annuar sebelum ini menafikan sudah bersara dari arena politik tanah air, sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini.

    Beliau bagaimanapun berahsia mengenai parti mana akan disertainya, sekadar menegaskan akan memilih parti ‘berhaluan baik’.

    Ditanya jumlah bekas pemimpin UMNO yang didakwa berhasrat menyertai PN, Takiyuddin berkata, ia membabitkan lebih 20 bekas pemimpin parti berkenaan, termasuk Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN).

    “Mereka boleh sertai mana-mana parti dalam PN, sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin UMNO, termasuk Khairy Jamaluddin,” katanya.

    Sama ada bekas pemimpin UMNO yang bakal menyertai PN akan diberikan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan, bergantung pada keadaan.

    “Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN, sama ada mereka akan diberi kerusi (pada PRN) adalah proses kedua. Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka akan diberikan kerusi untuk bertanding PRN nanti,” katanya.

    Mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai PN, beliau memaklumkan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu ada memberi maklum balas.

    “Beliau memaklumkan akan bersama dengan kita, namun tidak dinyatakan secara spesifik. Beliau memaklumkan tidak akan bersama dengan UMNO dan PH. Justeru, kita jangka beliau akan bersama dengan kita,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kerajaan sekarang polisinya tiada polisi, kata Takiyuddin

    Kerajaan sekarang polisinya tiada polisi, kata Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan apa polisi sebenar kerajaan berhubung keputusan usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.

    “Kita tanya menteri atas asas apa dan apa polisi serta pendekatan kerajaan.

    “Kalau itu dibuat kepada UMNO mungkin boleh dibuat kepada parti lain. Inilah kehendak kami dan kami hendak tahu.

    “Tapi kerajaan sekarang ini macam polisinya adalah tidak ada polisi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tersebut.

    Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta 832.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin Hassan berkata, langkah kerajaan dalam perkara itu dilihat akan turut memberi kesan kepada parti lain.

    Menurutnya, semua parti akan menggunakan pendekatan yang sama sebagai contoh Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO menyatakan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan majlis kerja tertinggi akan dipertandingkan setiap tiga tahun sekali.

    “Tiba-tiba ada usul mengatakan dua jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan. Ahli UMNO sendiri rujuk perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

    “Jadi keluar satu surat dan kita tidak tahu surat itu betul atau tidak. Kita tanya kepada menteri, adakah betul surat yang dikatakan ROS ini yang menyatakan usul tambahan UMNO tidak sah, bercanggah, bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO dan ROS arahkan supaya parti itu perbetulkan balik.

    “Itu suratnya kalau surat itu betul, tiba-tiba menteri guna kuasa budi bicaranya kecualikan UMNO daripada tertakluk kepada perkara itu. Kita tanya atas asas apa, dia tak jawab,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Calon Pas bebas rasuah, tiada masalah isytihar harta, kata Takiyuddin

    Calon Pas bebas rasuah, tiada masalah isytihar harta, kata Takiyuddin

    PAS yakin akan mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana bebas daripada rasuah mahupun salah guna kuasa.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) mempertandingkan lebih 160 calon di seluruh negara termasuk 64 daripada Pas.

    Jelasanya, tidak ada pemimpin PN yang ada rekod di mahkamah, sama ada yang sudah dituduh, sedang mahupun yang akan dituduh dalam waktu terdekat ini.

    “Sebab itu, kami berani tampil dengan tema bersih kerana semua calon Pas bersih daripada tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kami yakin rakyat Malaysia beri mandat,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Parlimen dan Undang-undang) merangkap Ahli Majlis Tertinggi PN berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Parlimen Kota Bharu, Kota Bharu, hari ini.

    Takiyuddin berkata, Pas bersama PN berkemampuan membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan stabil selepas PRU-15 berdasarkan pengalaman 30 bulan parti itu berada dalam Kabinet di bawah pemerintahan dua Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (13 bulan) sebelum ini.

    Berkaitan isu intergriti bagi pengisytiharan harta, Takiyuddin berkata, calon-calon gabungan itu lebih-lebih lagi daripada parti Pas tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

    “PN sebelum ini terdapat 12 orang berada di dalam Kabinet sudah pun mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri.

    “Saya sendiri sudah isytiharkan pada Muhyiddin dan Ismail. Tidak timbul masalah kerana sebahagian calon-calon PN sebelum ini menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli parlimen yang umumnya sudah mengisytiharkan harta masing-masing,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut Takiyuddin, Kelantan juga akan menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran sekiranya PN diberi mandat penuh untuk menerajui negara.

    Takiyuddin adalah penyandang Parlimen Kota Bharu selama dua penggal sebelum ini dan akan bertanding mewakili Pas bertemu enam penjuru bagi mempertahankan kerusi tersebut.

    Beliau menetang lawan Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail (BN); Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim; Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (Putra), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

    Untuk rekod, pengundi Kota Bharu berjumlah 116,503 orang melibatkan 14 peratus (%) kaum Cina, 1% India dan selebihnya Melayu.

    Sebanyak 56% adalah pengundi muda antara 18 hingga 39 tahun.