Tag: kata menteri

  • Budak 7 tahun mangsa dera dijaga ibu saudara, kata menteri

    Budak 7 tahun mangsa dera dijaga ibu saudara, kata menteri

    KANAK-KANAK lelaki berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandung dan kenalannya di Pasir Gudang, Johor pada awal bulan ini telah diserahkan kepada ibu saudaranya untuk jagaan.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata penyerahan itu dilakukan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat penilaian terhadap waris yang layak dan sesuai untuk mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan.

    “Setelah melalui penilaian, didapati ibu saudara mangsa itu memang layak menjaganya sebab dia merupakan keluarga terdekat. Namun, sepanjang penjagaannya nanti, JKM akan pantau dan memeriksa keadaan kanak-kanak itu kerana dia (mangsa) masih trauma.

    “ … kita sudah menjalankan rawatan pemulihan terhadap mangsa supaya (dapat) mengembalikan keyakinannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemimpin Wanita Muda anjuran Institut Pengurusan Wanita di Kuala Lumpur hari ini.

    Pada 16 Ogos lepas, seorang ibu tunggal dan rakan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak lelakinya berusia tujuh tahun di Pasir Gudang.

    Sebelum itu, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya.

  • Kerajaan kawal harga barang, tak mungkin naik, kata menteri

    Kerajaan kawal harga barang, tak mungkin naik, kata menteri

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub menyangkal dakwaan mengenai kenaikan harga barang yang kerap dimainkan pembangkang menjelang pilihan raya negeri (PRN) ketika ini.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah turut memberi jaminan langkah kerajaan mengawal penuh barangan tidak bersubsidi, tidak memungkinkan kenaikan harga barang.

    “Barangan seperti gula dan tepung sememangnya tidak naik (harga)… kerana ia dikawal penuh pihak kerajaan. Apa-apa pun barang pilihan rakyat, itu kita tidak kawal, sebab terpulang kepada rakyat untuk memilih.

    “Kerajaan kita memang mendepani isu kos sara hidup rakyat, tetapi kerajaan tidak boleh mengawal kos gaya hidup rakyat. Itu yang saya nak tegaskan, barang-barang yang jadi asas hidup rakyat setakat ini semuanya dikawal penuh kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas hadir program ceramah jelajah perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Rumah Komuniti Teratak Desa, Gong Tok Nasek, malam tadi.

    Salahuddin berkata, menerusi inisiatif Payung Rahmah yang menyasarkan golongan B40 dan miskin tegar khususnya menerusi Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah, ia memberi pilihan kepada rakyat untuk membuat pembelian mengikut kemampuan.

    “… semalam diumumkan SARa (Sumbangan Asas Rahmah), rakyat boleh beli barang asas di beberapa pasar raya pilihan dengan harga Rahmah. Jadi, kita telah buat semua ini dan Alhamdulillah golongan sasaran kita ialah B40 dan miskin tegar.

    “Bagi mana-mana rakyat ingin memilih barangan mereka, kerajaan serahkan kepada rakyat yang mampu untuk membeli barangan pilihan mereka tetapi barang-barang makanan bersubsidi ini dikawal penuh oleh kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

    Terdahulu, kerajaan mengumumkan lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar akan menerima SARa berjumlah RM600 mulai Isnin lepas yang membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas tanpa tunai di 600 pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

    Sementara itu, Salahuddin berkata pembahagian kerusi antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani PRN secara prinsipnya selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Selain Terengganu, lima lagi negeri akan menghadapi PRN 12 Ogos ini ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

  • Kerajaan masih tunggu jawapan Arab Saudi berhubung kuota haji, kata menteri

    Kerajaan masih tunggu jawapan Arab Saudi berhubung kuota haji, kata menteri

    KURANG tiga minggu bermulanya ibadah haji, Malaysia masih belum menerima jawapan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota tambahan bagi jemaah haji tahun 2023.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memberitahu Dewan Rakyat kerajaan masih berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan dengan mengemukakan rayuan kepada Arab Saudi.

    “Dan kita masih lagi menunggu kerajaan Arab Saudi untuk jawapan kepada rayuan yang kita telah buat kepada kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kuala Krai (PN-Pas) Abdul Latiff Abdul Rahman yang bertanyakan apakah hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tersebut beberapa bulan lalu khususnya melibatkan perbincangan mengenai kuota jemaah haji Malaysia.

    Terdahulu, media melaporkan Malaysia mendapat semula kuota asal jemaah haji berjumlah 31,600 dengan pertambahan kuota tambahan pertama sebanyak 350 jemaah.

    Kemudian, kerajaan dilaporkan membuat rayuan kedua iaitu penambahan sehingga 10,000 lagi kuota, yang sepatutnya diumumkan pada Mei lalu.

    Dasar kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji setiap negara pada kadar 0.1% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara berkenaan.

    Ini menjadikan kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 31,600 orang berasaskan perangkaan penduduk Malaysia pada masa ini lapor Malaysianow.

  • Ujian teori lesen vokasional PSV, GDL dimansuh, kata menteri

    Ujian teori lesen vokasional PSV, GDL dimansuh, kata menteri

    UJIAN teori bagi pengambilan lesen vokasional untuk kategori Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dimansuhkan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

    Dalam sidang media berhubung penambahbaikan prosedur lesen vokasional, Loke berkata calon bagi pengambilan lesen vokasional PSV dan GDL hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sebelum Lesen PSV dikeluarkan.

    “Namun calon bagi kategori Lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapat lesen vokasional,” katanya di pejabatnya.

    Loke berkata, kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional juga akan dibenarkan secara dalam talian sama ada menerusi platform disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institut memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan berkelayakan yang dikawal selia JPJ.

    Beliau berkata, pihak IM atau syarikat perniagaan pengantaraan perlu menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori lesen vokasional dalam talian ditetapkan JPJ sepenuhnya.

    “Pihak JPJ akan menetapkan syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform dalam talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon,” katanya.

    Beliau berkata, data dan maklumat kehadiran calon akan diintegrasi dengan sistem MySIKAP bagi membolehkan lesen vokasional dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke kaunter JPJ.

    Loke berkata, silibus kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional terutama melibatkan perkhidmatan e-panggilan dan teksi akan disemak semula dan ditambah baik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).

    Beliau berkata, penambahbaikan silibus itu akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

    Loke berkata, langkah penambahbaikan itu diambil ekoran keluhan syarikat pengendali e-panggilan (EHO) dan pemandu kerana terpaksa meluang masa terlalu lama untuk kelas teori yang kini dibenarkan secara dalam talian dan dikecualikan ujian teori.

    Beliau berkata, langkah itu dilihat akan menambah jumlah pemandu untuk menampung permintaan sekali gus menstabilkan harga tambang.

    Ditanya tanpa ujian teori akan menjejaskan aspek keselamatan, Loke berkata pemandu e-panggilan dan teksi mempunyai lesen memandu dan proses penambahbaikan itu dibuat bersama JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pemegang taruh bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan aspek keselamatan.

    Loke juga mengumumkan had usia maksimum penggunaan kenderaan dalam kelas teksi dan e-panggilan dilanjutkan kepada 15 tahun daripada 10 tahun berkuat kuasa 1 Jan 2023.

    Selaras pengumuman itu, katanya had usia melesen akan dikemas kini kepada 14 tahun.

    “Dengan itu, kerajaan membenarkan kenderaan yang mencapai had usia 10 tahun terdahulu namun masih belum mencapai usia 15 tahun untuk kembali beroperasi,” katanya.

    Loke berkata, walaupun had usia kenderaan ditingkatkan namun pemandu mesti memastikan aspek kebersihan dan keselamatan dipatuhi dengan membuat pemeriksaan berkala setiap tahun.

    Dalam perkembangan lain, Loke berkata terdapat penambahan lesen perubahan sementara untuk bas beroperasi sebagai bas ekspres sempena Aidilfitri.

    Langkah itu, katanya akan melihat penawaran perkhidmatan bas ekspres bertambah untuk menampung permintaan di saat-saat akhir.